IPO

01-AUG-2023

Glostrext - Dana IPO untuk Mengembangkan Perniagaan di Singapura


 


glostrext content thumbnail

Butiran IPO syarikat Glostrext 

butiran ipo glostrext

Latar belakang perniagaan syarikat

Glostrext Berhad merupakan syarikat pakar instrumentasi dan pengujian geoteknikal yang menyediakan perkhidmatan instrumen, ujian dan pemantauan untuk projek pembinaan, bangunan dan infrastruktur yang telah selesai seperti kedai, pangsapuri, kompleks membeli-belah, pencakar langit, lebuh raya dan terowong.

Model perniagaan syarikat adalah seperti di bawah:

model perniagaan syarikat

Rekod prestasi perkhidmatan syarikat

Sejak permulaan perniagaan pada tahun 1992, Glostrext mempunyai rekod prestasi lebih daripada 30 tahun dalam perkhidmatan instrumentasi dan pengujian geoteknikal. Prestasi ini boleh dilihat melalui penglibatan syarikat dalam projek perkhidmatan untuk bangunan Merdeka PNB 118 dengan anggaran nilai projek sebanyak RM 2.7 juta. Selain itu, Glostrext juga terlibat dalam projek perkhidmatan untuk pembinaan stesen MRT di Singapura dan stesen MRT2 dan LRT3 di Malaysia.

rekod projek prestasi

Ia juga disokong dengan 13 projek perkhidmatan yang sedang dan telah berjaya diselesaikan dengan setiap nilai projek melebihi RM 0.50 juta. Setakat 30 Jun 2023, Glostrext mempunyai jumlah buku pesanan (order book) sebanyak RM 8.94 juta.

Prestasi kewangan syarikat

Secara keseluruhan, pendapatan syarikat mencatatkan sedikit penurunan dari tahun kewangan 2020 hingga 2023 kerana jumlah pendapatan yang lebih rendah dicatatkan pada tahun kewangan 2023 diperoleh daripada segmen penyediaan peralatan instrumentasi dan perkhidmatan ujian beban statik.

prestasi kewangan

Segmen perkhidmatan instrumentasi cerucuk dan ujian beban statik merupakan segmen perniagaan yang menyumbang lebih daripada 80% kepada pendapatan syarikat. Dari jumlah sumbangan ini, Singapura menyumbang lebih daripada 60% kepada pendapatan syarikat. 

prestasi kewangan2
prestasi kewangan3

Pelanggan utama syarikat

Syarikat Glostrext mempunyai lima pelanggan utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan syarikat. Sepanjang empat tahun kewangan, syarikat Asia Piling Co Pte Ltd, Pintary Foundations Pte Ltd, Aneka Jaringan Sdn Bhd, TPW Engineering Pte Ltd dan Enconpile (M) Sdn Bhd (anak syarikat Econpile Holdings Berhad) merupakan pelanggan-pelanggan utama yang menyumbang kepada pendapatan syarikat. 

pelanggan utama Glostrext

Kelebihan daya saing

Selain mempunyai pengalaman dalam industri perniagaan yang dijalankan, operasi Glostrext di Singapura dan Malaysia memberi kedudukan yang baik untuk memperoleh manfaat daripada kewajiban dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan masing-masing dalam pengujian cerucuk dan pemantauan struktur dan tapak pembinaan. Selain itu, dengan memanfaatkan pengalaman selama 31 tahun dan kepakaran dalam industri perniagaan, Glostrext juga telah melancarkan platform WiNA pada tahun 2022 menggunakan teknologi IoT bagi memenuhi keperluan industri. Oleh yang demikian, melalui kelebihan daya saing yang dimiliki oleh Glostrext ini, syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk mengeksploitasi peluang-peluang perniagaan ini. 

Strategi IPO dan masa depan

Dengan dana sebanyak RM 11.7 juta, syarikat Glostrext merancang untuk mengembangkan perniagaan di Singapura dalam perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan, dan keperluan modal kerja untuk menampung pengembangan perniagaan. 

Selain itu, dana yang diperoleh daripada IPO juga akan digunakan untuk membiayai aktiviti kajian dan pembangunan untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada termasuklah menaiktaraf platform WiNA. 

Dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan dan modal kerja, kajian dan pembangunan dan lain-lain lagi. 

dana IPO Glostrext

Berdepan dengan risiko cukai pendapatan 

Memandangkan Glostrext mempunyai anak syarikat di Singapura, Glostrext mungkin akan berdepan dengan risiko cukai pendapatan daripada sumber luar negara yang  akan dikenakan pada masa akan datang. Hal ini demikian kerana dividen yang diterima sebelum 1 Januari oleh anak syarikat mereka, Glostrext Singapura dikecualikan daripada cukai pendapatan. 

Berdasarkan pengumuman daripada Kementerian Kewangan Malaysia, Glostrext Singapura masih mendapat pengecualian cukai pendapatan yang tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan tertentu. Walau bagaimanapun, tiada jaminan bahawa pengecualian cukai ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Kesimpulan

Glostrext Berhad merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam instrumentasi dan pengujian geoteknikal untuk projek-projek pembinaan dan infrastruktur di Singapura dan Malaysia. Berdasarkan tahun kewangan yang dikaji, walaupun syarikat mempunyai rekod prestasi yang kukuh selama lebih daripada 30 tahun, prestasi kewangan syarikat menunjukkan sedikit penurunan dalam pendapatan pada tahun kewangan 2023 yang disebabkan oleh pendapatan yang rendah daripada salah satu segmen perniagaan syarikat. Glostrext juga menghadapi risiko cukai pendapatan yang mungkin akan dikenakan terhadap anak syarikat mereka di Singapura. Walau bagaimanapun, dengan kelebihan daya saing yang dimiliki oleh mereka, mereka merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka di Singapura dengan menggunakan dana IPO yang bakal diperoleh. 


< kembali ke laman blog utama