IPO

17-JUL-2023

KGW - Penyedia Perkhidmatan Logistik


 


kgw content thumbnail

Butiran IPO syarikat KGW

butiran syarikat kgw

Latar belakang perniagaan

KGW Group Berhad merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan logistik iaitu perkhidmatan pengangkutan laut, perkhidmatan pengangkutan udara dan perkhidmatan penghantaran barang. Melalui anak syarikatnya, KGW memberi fokus kepada perkhidmatan logistik ke rantau Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Selain itu, KGW juga turut terlibat dalam aktiviti pergudangan dan pengedaran produk berkaitan penjagaan kesihatan dan peranti di Malaysia.

Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:

model perniagaan kgw

Prestasi kewangan syarikat

Secara keseluruhan, pendapatan dan keuntungan syarikat KGW mencatat peningkatan dari tahun kewangan 2019 hingga 2022. Segmen perkhidmatan pengangkutan laut merupakan segmen utama yang menyumbang lebih daripada 97% kepada pendapatan syarikat pada tahun kewangan 2022.

kewangan syarikat
segmen pendapatan

Walaupun terdapat peningkatan pendapatan, namun jumlah kapasiti kargo (kontena) yang dicatatkan melalui segmen pengangkutan laut berlaku penurunan. Jumlah kapasiti kargo pada tahun kewangan 2022 telah merekodkan penurunan sebanyak 13.26% iaitu daripada 17,106 TEU kepada 14,837 TEU.

Jumlah ini berkurang kerana ruang muatan kargo yang terhad untuk penghantaran kontena yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global yang berlaku selepas pandemik terutamanya pada separuh pertama tahun 2022. Selain itu, ia juga disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah untuk perkhidmatan ini pada separuh kedua tahun 2022.

kapasiti kargo

Pelanggan utama syarikat

KGW mempunyai pangkalan pelanggan yang terdiri daripada pengeksport, pengimport dan syarikat penghantaran barang, sama ada tempatan atau luar negara. 

Syarikat Press Metal merupakan pelanggan terbesar syarikat pada tahun kewangan 2019 dan 2020 yang telah menyumbang masing-masing sebanyak 25.37% dan 19.88% kepada pendapatan syarikat. Walau bagaimanapun, pelanggan ini tidak lagi menjadi pelanggan terbesar mereka pada tahun-tahun kewangan seterusnya, berikutan ia mungkin memilih untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan laut daripada syarikat perkhidmatan lain yang menawarkan harga yang lebih kompetitif.

pelanggan FY2019
pelanggan FY2020

Pada tahun kewangan seterusnya, syarikat Rierden Chemical & Trading Company menjadi pelanggan teratas yang juga menyumbang lebih daripada 10% kepada pendapatan syarikat. Pelanggan ini juga merupakan pelanggan sedia ada syarikat dan mempunyai hubungan perniagaan selama sembilan tahun. 

Selain itu, anak syarikat PMB Techology Berhad iaitu PMB Silicon Sdn Bhd juga merupakan salah satu pelanggan utama syarikat KGW. 

pelanggan FY2021
pelanggan FY2022

Strategi IPO dan masa depan

Dana IPO akan digunakan untuk tujuan seperti pengubahsuaian bangunan, pembayaran pinjaman bank, modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

utilisation proceed

Dana sebanyak RM 2 juta akan digunakan untuk mengubahsuai bangunan pejabat syarikat dan gudang untuk mencapai keperluan operasi perniagaan. Dengan pengubahsuaian ini, syarikat KGW juga merancang untuk meningkatkan jumlah pekerja mereka untuk mengukuhkan lagi operasi perniagaan mereka. Di samping itu, ruang gudang yang telah diubah suai akan digunakan untuk perkhidmatan gudang kepada pelanggan mereka selain digunakan untuk perniagaan gudang dan pengedaran produk berkaitan penjagaan kesihatan dan peranti.

Kelebihan daya saing

Syarikat KGW merupakan syarikat pembekal perkhidmatan logistik yang mempunyai rekod perkhidmatan pengangkutan laut yang panjang dari dan ke Amerika Syarikat iaitu sejak tahun 2005. Melalui rekod ini, KGW telah membina rangkaian dengan pembekal perkhidmatan logistik lain di pelbagai kawasan Amerika Syarikat untuk mengendalikan penghantaran kepada pelanggan mereka, memudahkan pelepasan kargo dan mengatur pengangkutan darat kargo. 

Rekod ini juga boleh dilihat menerusi pendapatan syarikat berdasarkan destinasi penghantaran.

segmen destinasi

Berdasarkan jadual di atas, penghantaran dari dan ke Amerika Utara menyumbang lebih daripada 70% kepada pendapatan syarikat pada tahun kewangan 2022.

Selain mempunyai hubungan yang lama dengan pelanggan sedia ada, KGW juga mempunyai pelanggan daripada pelbagai industri seperti industri produk logam, sarung tangan dan produk kimia. Mereka juga terus memperluaskan pangkalan pelanggan mereka, dengan mencatatkan lebih kurang 400 pelanggan baru dalam setiap tahun kewangan. Bagi tahun kewangan 2022, KGW telah memberi perkhidmatan kepada 1,357 pelanggan. 

Risiko kadar pengangkutan yang tidak menentu

Memandangkan pendapatan utama syarikat diperoleh melalui perkhidmatan pengangkutan laut untuk penghantaran antarabangsa, operasi perniagaan dan prestasi kewangan syarikat tertakluk kepada kadar pengangkutan laut. Bagi tahun kewangan 2019 hingga 2022, caj pengangkutan laut masing-masing menyumbang kira-kira 72.32%, 75.55%, 89.4% dan 91.47% daripada jumlah kos jualan. 

Kenaikan inflasi dan kadar faedah yang meningkat juga boleh mempengaruhi permintaan pengguna yang menyumbang kepada penurunan permintaan dan boleh menyebabkan kadar pengangkutan turut menurun. 

Perbincangan

KGW Group Berhad adalah syarikat logistik yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan laut, udara dan penghantaran barang. Syarikat mencatatkan pendapatan dan keuntungan yang baik walaupun jumlah kapasiti kargo bagi segmen utama syarikat mengalami penurunan yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global akibat pandemik dan permintaan yang lebih rendah daripada pelanggan. 

Melalui dana IPO, KGW merancang untuk menggunakan dana tersebut untuk pembayaran pinjaman bank dan pengubahsuaian pejabat dan gudang untuk meningkatkan operasi perniagaan. Selain mempunyai hubungan lama dengan pelanggan sedia ada, syarikat KGW juga mempunyai rekod hubungan yang panjang dengan Amerika Syarikat. Dengan hubungan ini, KGW percaya mereka dapat memberi ruang untuk bersaing secara berkesan dan mengembangkan perniagaan mereka pada masa hadapan.


< kembali ke laman blog utama