FamilyMart merupakan rangkaian francais kedai serbaneka Jepun. Rangkaiannya kedua terbesar di Jepun di belakang kedai serbaneka 7-Eleven. Pada hari ini terdapat 24,000 lebih kedai FamilyMart di seluruh dunia. Di antara negara terdapatnya FamilyMart ini adalah Jepun, Taiwan, China, Filipina, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.
FamilyMart berkembang maju
Cawangan FamilyMart tumbuh bak cendawan selepas hujan di merata tempat khasnya di Lembah Klang. Apa yang menyebabkan FamilyMart popular adalah makanan yang dijual di FamilyMart sangat unik dan mengikut selera terkini rakyat Malaysia. Oden dijual. Begitu juga ais krim lembut (soft serve). Selain itu, ada juga udon.

Makanan sebegini adalah sebab jualan di FamilyMart adalah tinggi kerana tidak boleh didapati di kedai serbaneka lain. Di 7-Eleven tidak ada makanan sebegini, yang ada mee segera dan Slurpie. Hal ini menyebabkan golongan urban yang sibuk suka singgah sebentar di FamilyMart untuk mengalas perut sambil membeli barangan runcit keperluan harian.
Di Malaysia, franchisee FamilyMart dimiliki QL Resources yang mempunyai perjanjian dengan franchisor dari Jepun selama 20 tahun. Dari tahun ke tahun keuntungan QL Resources meningkat. Sedikit nota penting di sini, keuntungan konsisten FamilyMart belum cukup besar dalam QL Resources untuk ada segmen sendiri dalam laporan tahunan QL Resources.

Sejarah FamilyMart dan konsep
FamilyMart mula dibuka di Malaysia pada 11 November 2016 di Bukit Bintang. Sehingga November 2018, terdapat peningkatan mendadak jumlah kedai FamilyMart iaitu kepada 70 buah kedai.
Tuntasnya, FamilyMart mengambil konsep yang hampir sama dengan 7-Eleven tetapi makanannya segar dan harga produk-produknya sangat berpatutan. Oden, ais krim dan lain-lain menjadi barang yang laris dijual. Di Malaysia, akibat populariti K-pop, J-pop, dan sebagainya, trend pengambilan makanan telah menular kepada makanan Korea atau Jepun seperti Oden dan Udon. Ini sebenarnya berita baik buat pekerja urban kerana dapat makan makanan popular di pejabat jika memesan Oden dari FamilyMart ketika waktu rehat tengah hari.