TEKNIKAL

04-JAN-2024

5 Jenis Bullish Candlestick


FF    


Sebelum memasuki dalam dunia pelaburan, penting bagi pelabur atau pedagang untuk tahu asas teknikal analisis supaya dapat membuat keputusan sendiri bila nak beli dan bila nak jual sesuatu saham.

Kalau corak carta fokus pada bentuk keseluruhan data harga atau candlestick dalam tempoh yang lebih lama, seperti harian, mingguan atau bulanan. Corak candlestick pula fokus pada satu atau beberapa bentuk candle dalam tempoh masa yang pendek, seperti harian, jam dan minit.

Dalam blog kali ini, kami akan menerangkan tentang beberapa corak candlestick yang pelabur perlu tahu.

Mengenali candlestick

Terdapat 4 data penting dalam candlestick iaitu Open, High, Low dan Close atau selalu juga dipendekkan menjadi OHLC. Definisi OHLC adalah seperti berikut:

Open (O) - Harga buka

High (H) - Harga tertinggi

Low (L) - Harga terendah

Close (C) - Harga tutup

Body atau badan candlestick adalah kawasan segi empat tepat antara harga buka dan tutup. Candlestick hijau menandakan bahawa harga tutup lebih tinggi dari harga buka. Manakala, candlestick merah menandakan bahawa harga tutup lebih rendah dari harga buka.

Basic Candlestick

Bullish candlestick

Corak candlestick ini ialah gabungan satu atau lebih candlestick pada carta harga yang menunjukkan potensi pembalikan harga menaik (bullish) atau penerusan trend menaik. Contoh corak candlestick ini ialah seperti di bawah:

Bullish Engulfing

Corak candlestick ini selalunya dapat dilihat pada akhir downtrend atau di paras sokongan. Ia terdiri daripada dua candle iaitu:

Candle pertama menunjukkan candle berwarna merah dimana harga tutup lebih rendah dari harga buka. Badan (body) atau ekor (shadow) candlestick ini agak kecil.

Candle kedua pula menjadi candle terpenting kerana ia memberikan pengesahan bahawa harga akan naik. Candle ini terdiri dari candle hijau yang panjang, dan candle tersebut mestilah lebih besar dari candle merah (candle sebelumnya). Semakin tinggi atau besar candle kedua ini, semakin kuat potensi pembalikan arah dari downtrend ke uptrend.

Bullish Engulfing

Bullish Hammer

Candle hammer senang dilihat pada carta kerana bentuknya seakan tukul. Badan (body) candle ini kecil dan mempunyai ekor (shadow) yang panjang. Ia menunjukkan tekanan belian yang kuat untuk penutupan harga yang lebih tinggi selepas penjual menolak harga ke bawah.

Warna candle boleh berbeza-beza, namun candlestick hammer yang berwarna hijau menunjukkan kekuatan harga yang cenderung untuk naik. Selain itu, kekuatan candle ini bergantung kepada seberapa panjang ekor (shadow) yang berjaya dibuat oleh candle tersebut. Lower shadow/ekor yang lebih panjang adalah lebih baik, dan upper shadow yang lebih kecil (atau tidak terlihat sama sekali) adalah lebih baik.

Bullish Hammer

Morning Star

Morning star menandakan potensi pembalikan arah aliran daripada downtrend ke uptrend. Ia terdiri daripada tiga candle:

Candle pertama ialah merah atau bearish candlestick, menunjukkan bahawa momentum jualan masih kuat.

Candle kedua pula ialah candlestick yang berbadan kecil (sama ada menaik atau menurun), bentuknya seakan candle doji. Ia menggambarkan ketidakpastian arah tuju sesuatu saham itu, tetapi menunjukkan tekanan jualan yang lemah.

Candle ketiga ialah bullish candlestick yang kuat, menandakan potensi pembalikan ke uptrend.

Morning Star

Piercing Line

Piercing line adalah corak candlestick menaik yang menunjukkan potensi pembalikan arah aliran menurun. Ia terdiri daripada dua candle:

Candle pertama bermula dengan candle merah, menunjukkan tekanan jualan semasa masih ada.

Candle kedua pula ialah candle hijau, yang dibuka di bawah paras rendah candle pertama tetapi ditutup lebih separuh ke dalam body candle pertama. Ini menandakan potensi peralihan dalam sentimen daripada menurun kepada menaik.

Piercing Line

Bullish Harami

Bullish Harami adalah corak candlestick yang menandakan potensi pembalikan dari downtrend ke uptrend. Ia terdiri daripada dua candle, diibaratkan seperti ibu mengandung.

Candle pertama ialah candle merah yang agak besar, menunjukkan tekanan jualan sedia ada.

Candle kedua pula ialah candle hijau, di mana body candle ini lebih kecil daripada candle pertama. Candle kedua ini terkandung sepenuhnya dalam badan candle pertama. Ini menunjukkan potensi kelemahan aliran menurun dan peralihan sentimen ke arah kenaikan harga.

Bullish Harami

Kesimpulan

Corak candlestick merupakan salah satu teknik yang boleh digunakan oleh pedangang untuk mengesan pergerakan harga semasa membuat analisa teknikal. Walau bagaimanapun, ia adalah sekadar untuk membantu pedagang mencari peluang, dan tidak semestinya boleh memberi isyarat yang tepat untuk melakukan pembelian atau penjualan.

Oleh itu, anda sentiasa perlu mempunyai pelan dagangan sendiri supaya risiko kerugian yang dihadapi berada di dalam keadaan yang terkawal.


< kembali ke laman blog utama