IPO

18-JUN-2024

IPO UUE: Penyedia Solusi Penggerudian Bawah Tanah


AA    




Butiran IPO Syarikat UUE

 

 

Merujuk kepada prospektus UUE Holdings Berhad, syarikat ini akan menawarkan 124.90 juta saham baharu serta pada masa yang sama sebanyak 37.46 juta unit saham sedia ada yang ditawarkan pada harga terbitan berjumlah RM0.24 seunit. Syarikat ini disahkan patuh Syariah oleh Securities Commissions dan akan mula didagangkan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2 Julai 2024.

Latar Belakang Perniagaan Syarikat

 

UUE Holdings Berhad merupakan sebuah syarikat gabungan pegangan antara Kum Fatt, Konnection dan PPI pada tahun 2009 dan 2017. UUE khususnya menyediakan perkhidmatan utiliti kejuruteraan dengan memfokuskan aktiviti penggerudian bawah tanah untuk pemasangan paip dan juga kabel. Selain itu, syarikat ini turut membuat paip HDPE  yang banyak digunakan untuk projek utiliti bawah tanah. UUE memfokuskan perkhidmatannya di Malaysia dan Singapura dengan fokus perkhidmatan tertumpu kepada industri elektrik dan juga telekomunikasi.

Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:

 

 

Prestasi Kewangan Syarikat



Berdasarkan prospektus kewangan syarikat, UUE merekodkan prestasi pendapatan yang agak baik dengan peningkatan direkodkan dari tahun 2021 hingga 2023 manakala jika dilihat pendapatan terkini FPE 2024, UUE dilihat membuat kenaikan yang agak drastik  yang berpunca dari kenaikan pendapatan sebanyak RM27.1 atau 41.2% juta dari segmen kejuruteraan utiliti. Ia melibatkan projek-projek pemasangan kabel antaranya, Google Tower 1B di Singapura, PPU Seremban dan Kulai Iskandar Data Exchange.

 


UUE turut merekodkan peningkatan sebanyak RM3.3 juta atau 43.4% untuk segmen pembuatan paip HDPE jika dibanding FPE 2024 (RM 10.9 juta) dan FYE 2023 (RM7.6 juta) manakala dari segi sumber pendapatan dari segi pasaran, Malaysia masih menjadi penyumbang utama kepada pendapatan UUE dengan peningkatan direkodkan dari RM52.7 juta (FYE 2023) ke RM78.1 juta (FPE 2024), kenaikan sebanyak 48.2%. Begitu juga untuk pasaran Singapura yang menyumbang pendapatan sebanyak RM25.7 juta (FPE 2024) yang turut merekodkan kenaikan sebanyak RM5 juta dari tahun sebelumnya.

Selain itu, UUE turut merekodkan nilai order book bernilai RM223 juta dengan majoritinya  bersumberkan projek-projek di Malaysia. Mengikut prospektus, nilai order book ini akan direalisasikan untuk tempoh 3 tahun kewangan syarikat.

 

Penggunaan Dana IPO

 

 

Berdasarkan prospektus, UUE memfokuskan penggunaan dana yang diterima melalui IPO untuk membeli mesin dan juga peralatan. Sejumlah RM15.75 juta atau 52.6% diperuntukkan untuk membeli membeli mesin dan peralatan merangkumi 3 mesin HDD bernilai, 1 mesin Maxi HDD digunakan untuk penggerudian bawah laut, 21 lori untuk pengangkutan dan juga 5 excavator. Pembelian mesin ini dianggap sebagai salah satu cara mengembangkan lagi keterlibatan dan kecekapan UUE dalam projek-projek penggerudian tanah di Malaysia dan Singapura. Selain itu, dengan pembelian mesin penggalian bawah laut Maxi HDD yang pertama untuk syarikat ini, ia menandakan kesediaan UUE untuk mengembangkan lagi servis penggerudian bukan sahaja untuk bawah tanah bahkan untuk bawah laut. UUE turut bercadang untuk memasarkan servis penggerudian di bawah laut sebaik sahaja menerima mesin ini dan dijangka bermula pada suku ketiga 2024.

 

 

Selain itu, UUE turut bercadang untuk menggunakan 36.3% atau RM10.89 juta untuk modal kerja merangkumi pembayaran kepada sub-kontraktor dan juga pembekal bahan asas. Baki dana iaitu sebanyak RM3.33 juta akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.

Analisis Bisnes dan Industri

 

UUE secara jelas terlibat dalam menyediakan infrastruktur utiliti seperti seperti pemasangan paip dan kabel bawah tanah. Dengan kepakaran melibatkan aktiviti penggerudian tanah, kebanyakan projek UUE digunakan untuk penyambungan elektrik dan komunikasi.

Prestasi Industri

 

Sektor infrastruktur utiliti boleh diukur berdasarkan nilai modal yang dibelanjakan untuk penjanaan dan penyambungan elektrik. Mengikut laporan IMR, industri ini merekodkan peningkatan modal yang dibelanjakan dari RM5.7 bilion pada tahun 2016 kepada RM11.1 bilion pada tahun 2023 dengan CAGR sebanyak 9.8%.

 

 

Industri ini dijangka untuk terus berkembang seiring dengan peningkatan dari segi populasi di Malaysia dan juga pelaburan yang diterima. Dengan populasi meningkat, jumlah penggunaan elektrik turut meningkat. Mengikut data, penggunaan elektrik di Malaysia

meningkat dari 132,199 gigawatt per jam (GWh) pada tahun 2015 kepada 77,745 gigawatt per jam (GWh) pada tahun 2023. Keterlibatan UUE dalam menyediakan infrastruktur untuk komunikasi turut dilihat menjadi salah satu pemangkin kepada pengembangan syarikat ini dengan pengenalan rangkaian 5G di Malaysia.

Perbincangan

 

Sebagai rumusan, UUE dilihat mempunyai potensi untuk terus berkembang melalui penawaran IPO ini. Dari segi kewangan, UUE dilihat mempunyai kewangan yang baik dengan peningkatan dari segi pendapatan yang direkodkan dari FYE 2021 hingga FPE 2024. UUE turut merekodkan nilai order book melebihi RM200 juta, menunjukkan potensi pendapatan syarikat untuk 3 tahun kewangan syarikat. Walau bagaimanapun, sedikit penurunan direkodkan dari segi margin keuntungan bersih dan kasar syarikat dari FYE2022 ke FYE2023.

Untuk penggunaan dana, fokus utama UUE tertumpu kepada pembelian mesin dan peralatan seperti mesin HDD, mesin Maxi HDD dan juga lori untuk pengangkutan. Langkah ini dijangka untuk mengembangkan lagi kecekapan untuk aktiviti penggerudian di samping mengembangakan lagi servis untuk aktiviti penggerudian bawah laut. Adakah langkah ini dapat meningkatkan lagi prestasi semasa syarikat UUE? Sama-sama kita nantikan.

 


< kembali ke laman blog utama