IPO

22-JUL-2024

IPO SCB: Pemain Industri Pembungkusan Semula Minyak Kelapa Sawit


AA    


 

Butiran IPO

 

Sik Cheong Berhad (SCB) akan disenaraikan di pasaran Ace Bursa Malaysia pada 13 Ogos 2024. Menurut prospektus syarikat, SCB akan menerbitkan 66 juta saham baharu yang akan diagihkan dengan keutamaan sebanyak 48.7 juta diberikan kepada pelabur terpilih secara tawaran persendirian. Selain itu, sebanyak 13.3 juta saham akan dibahagikan kepada orang umum dan baki sebanyak 4 juta saham akan diagihkan kepada pengarah dan pekerja yang layak. Untuk IPO ini, harga seunit saham yang ditawarkan ialah RM0.56 dan syarikat ini disahkan patuh Syariah oleh Securities Commisions. 

 

Latar Belakang Syarikat

 

Syarikat ini bermula pada tahun 1987 apabila pengarah terkini syarikat iaitu Wong Hin Loong memulakan perniagaan pembungkusan semula dan pengedaran minyak kelapa sawit dengan kerjasama perkongsian Sik Cheong iaitu sebuah perniagaan keluarga.  Walaupun perjanjian perkongsian ini berakhir pada tahun 2006, Sik Cheong melalui Sik Cheong Edible Oil (SCEO) mula mengambil alih perniagaan pembungkusan semula, pemasaran dan pengedaran minyak masak ini. Perniagaan ini terus berkembang dengan penambahan beberapa fasiliti dan pensijilan seperti Halal, HACCP dan ISO 22000. 

Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut: 

 

 

Prestasi Kewangan

 

Mengikut prospektus syarikat, prestasi kewangan syarikat khususnya kepada pendapatan menunjukkan prestasi yang agak positif dengan peningkatan direkodkan dari tahun FYE2021 hingga FPE2024. Kenaikan pada FPE2024 adalah berpunca dari kenaikan dari segmen utama syarikat iaitu minyak kelapa sawit RBD berpunca dari peningkatan permintaan dari pelanggan segmen hotel dan restoran (RM2.90 juta) dan pemborong (RM1.69 juta). Selain dari itu, keuntungan syarikat dari segi selepas cukai, margin dan lain-lain turut dilihat melakukan peningkatan dari tahun 2021 hingga 2024.

Jika dilihat dari segi segmen perniagaan, fokus utama SCB adalah pembungkusan semula, pemasaran dan juga pengedaran produk kelapa sawit yang telah diproses dengan sebanyak 99% dari pendapatan syarikat datang dari segmen ini. Antara produk yang dikeluarkan termasuk, minyak masak bersubsidi, tidak bersubsidi dan minyak pelita seperti jenama Sawit Emas, Vitamas dan Pingat Emas. Perniagaan lain syarikat ialah perdagangan produk pihak ketiga dengan sumbangan kepada pendapatan kurang dari 1%.

 

 

Penggunaan Dana IPO

 

Dari segi penggunaan dana, SCB dilihat bercadang untuk menggunakan sebahagian besar dari dana yang diterima untuk mengembangkan lagi perniagaan. Fokus utama untuk melakukannya ialah dengan memperluaskan lagi fasiliti pembungkusan dengan dana sebanyak RM7.18 juta (40.29%) akan digunakan. Fasiliti 3 tingkat ini akan dibina bersebelahan dengan kilang semasa dan dijangka berkeluasan 18,041 kaki persegi. Fasiliti terbaru ini turut dilengkap dengan beberapa mesin yang akan dibeli seperti berikut.

 

 

Selain itu, SCB turut bercadang untuk menggunakan 5% dari dana atau RM890 ribu untuk membeli trak bagi tujuan penghantran. Sebanyak 5 trak akan dibeli yang akan menambahkan liputan penghantaran produk SCB ke negeri-negeri jiran seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang. Seterusnya, dana yang diterima akan digunakan untuk dana kerja iaitu sebanyak RM5.95 juta bagi pembelian minyak masak dan pembelian bahan pembungkusan. Akhir sekali, baki sebanyak  RM3.8 juta akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.

 

Analisis Bisnes & Industri

Sik Cheong Berhad terlibat dalam produk minyak kelapa sawit dengan perniagaan tertumpu kepada pembukusan semula, pemasaran dan juga pengedaran minyak kelapa sawit. Antara jenama dibawah SCB ialah Sawit Emas dan Vitamas. 

 

Prestasi Industri

SCB merupakan salah seorang pemain industri pembungkusan semula minyak kelapa sawit. Mengikut laporan IMR yang dikeluarkan oleh Providence, industri ini menunjukkan peningkatan 40.6% CAGR dari tahun 2018 hingga 2023 dengan nilai pendapatan industri meningkat dari RM1.3 bilion kepada RM7.2 bilion, dan dijangka terus meningkat sehingga tahun 2026 dengan jangkaan nilai pendapatan RM12.7 bilion. Antara pemangkin pertumbuhan ini termasuk, program subsidi yang diperkenalkan Kerajaan Malaysia sejak tahun 2007. Selain itu, peningkatan permintaan dari indusri perhotelan, restoran dan juga katering yang mana minyak masak banyak digunakan dalam penyediaan makanan. 

Sebagai pihak yang terlibat dalam aktiviti pembungkusan semula minyak kelapa sawit, peranan pembekal minyak kelapa sawit memainkan peranan dalam pertumbuhan syarikat dan adalah berisiko jika jumlah yang seharusnya diterima tidak dipenuhi sama ada dari segi kuantiti atau kualiti. Antara risiko lain termasuk kebergantungan kepada 1 produk utama syarikat iaitu minyak kelapa sawit yang mana sekiranya pendapatan segmen ini terjejas, seluruh syarikat akan terkesan secara negatif. 

 

Perbincangan

Sebagai rumusan, Sik Cheong Berhad merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembungkusan semula, pemasaran dan juga pengedaran minyak kelapa sawit yang telah diproses. Antara produk utama syarikat ialah minyak masak kelapa sawit bersubsidi dan tidak bersubsidi, dan minyak pelita antaranya jenama Sawit Emas, Vitamas dan Cap Pingat Emas. Dari segi kewangan, SCB merekodkan kewangan yang agak baik dengan peningkatan direkodkan dari tahun 2021 hingga 2024 untuk pendapatan dan keuntungan selepas cukai syarikat. Dari segi penggunaan dana pula, SCB memfokuskan untuk memperluaskan lagi fasiliti sedia ada dengan pembinaan sebuah fasiliti 3 tingkat baharu yang disertakan dengan pembelian mesin-mesin dan trak. Langkah ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan aktiviti dan pengeluaran syarikat. Sama-sama kita nantikan prestasi syarikat ini apabila disenaraikan kelak.  

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

< kembali ke laman blog utama