Bursa Anywhere adalah tool yang sangat membantu untuk anda yang melabur di pasaran Bursa Malaysia. Dibangunkan oleh Bursa Malaysia sendiri, aplikasi Bursa Anywhere telah menjalani beberapa kemaskini sejak pengeluaran Mei 2019. Kini, ia membolehkan anda untuk aktifkan semula akaun CDS tak aktif atau yang sudah dorman. Pengaktifan semula ini tidak dikenakan bayaran dari 10 April Sehingga 10 Julai iaitu selama 3 bulan.
Dengan pelancaran ciri baru ini, sesiapa yang nak aktifkan semula akaun CDS mereka tak perlu berurusan dengan pihak broker secara fizikal. Semuanya boleh diselesaikan dari telefon sendiri dari aplikasi Bursa Anywhere. Maka semakin mudahlah urusan pemegang akaun, dan di samping itu juga dapat mengurangkan pergerakan di kala pandemik COVID-19 ni merebak di luar sana.
Status akaun CDS
Akaun anda dikatakan tidak aktif sekiranya masih terdapat sekuriti di dalam akaun, tetapi tiada transaksi kredit atau debit yang dilakukan dalam masa 36 bulan. Akaun yang dorman pula tidak ada apa-apa sekuriti, ditambah pula dengan tiada transaksi dalam masa 36 bulan.
Bacaan lanjut boleh didapati di laman sesawang Bursa Malaysia.
Menyemak status akaun anda
Mungkin ada di antara anda yang terfikir bagaimana nak buat semakan akaun. Maklumlah, dah lama tak trade, dah tak tahu sama ada tak aktif atau dorman atau tidak. Mudah sahaja caranya. Boleh semak dengan Bursa Malaysia di page ini dengan hanya memasukkan nombor IC anda. Keputusan akan terus keluar sama ada akaun anda tak aktif ataupun dorman ataupun tiada dari kedua-dua ini.
Cara pengaktifan semula akaun
Muat turun Bursa Anywhere sekiranya anda belum berbuat demikian. Aplikasi ini sangat memudahkan untuk urusan yang berkaitan dengan akaun CDS.
Anda cuma perlu log masuk, pergi ke tab My Services
di bahagian bawah skrin, dan pilih Reactivate CDS Account
. Seterusnya, ikut sahaja langkah yang digariskan. Dalam situasi biasa, anda akan dikenakan caj sebanyak RM 5, namun bayaran ini kini dikecualikan buat masa 3 bulan.
Perkhidmatan yang ditawarkan Bursa Anywhere
Bursa Anywhere adalah aplikasi yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia sendiri. Maka aplikasi ini membolehkan anda mengendalikan pelbagai urusan yang berkaitan dengan CDS. Antara perkhidmatan yang ditawarkan melalui Bursa Anywhere:
- Pindah saham antara akaun via FPX
- Pandangan keseluruhan semua akaun CDS
- Nilai portfolio saham
- Kemas kini maklumat CDS secara layan diri
- Notifikasi Pengumuman Korporat untuk portfolio saham
- ePenyata dengan rekod 12 bulan
- [TERBARU] - Pengecualian bayaran pengaktifan semula akaun (untuk 3 bulan)
Sekiranya anda rasa sudah agak lama tak melabur, boleh dapatkan ilmu atau refresh ilmu tu di blog kami.