Dalam saham, analisis teknikal merujuk kepada kajian pergerakan saham untuk mencari harga terbaik berdasarkan potensi kenaikan saham ke hadapan. Kajian ini dibuat dengan melihat pada corak pergerakan saham dan volume transaksi terdahulu berdasarkan carta harga saham. Kaedah ini berbeza dengan penilaian fundamental yang menumpukan pada kekuatan syarikat dan perniagaan syarikat tersebut. Dari sudut lain, analisis teknikal melihat pada sentimen pelabur terhadap saham yang diperhatikan.
Kaedah analisis teknikal yang diketahui umum ini asalnya diperkenalkan oleh Charles Dow dan Dow Theory pada lewat abad ke-19. Teori ini juga turut disumbangkan oleh tokoh-tokoh seperti William P. Hamilton, Robert Rhea, Edson Gould dan John Magee.
Falsafah analisis teknikal
Di sebalik pemerhatian carta saham untuk analisis teknikal, terdapat falsafah yang menjadikan ianya sebuah kaedah yang boleh diguna pakai. Falsafah analisis teknikal ini adalah seperti di bawah:
- Pasaran mengambil kira semua perkara
- Harga bergerak dalam suatu trend
- Sejarah berulang
Pasaran mengambil kira semua perkara
“Market action discounts everything”. Itulah yang tertulis dalam kitab-kitab para penganalisis teknikal dan ini adalah penyataan yang paling penting dalam analisis teknikal. Ia membawa maksud bahawa segala perkara yang boleh menyebabkan harga saham itu bergerak telah pun dan akan dicerminkan pada harganya. Ini bermakna kekuatan fundamental syarikat, keadaan politik, tanggapan dan sebagainya - semuanya menyumbang kepada pergerakan harga pasaran saham.
Kadang-kadang dalam melabur saham, tiba-tiba kita lihat sesebuah saham yang entah dari mana boleh naik. Kita tertanya-tanya “kenapa saham ni naik”? Kita nampak harga beratur yang kita tak pernah terfikir, dan kita tanya “kenapa beratur harga sekian”? Inilah yang dimaksudkan dalam falsafah pertama ini - bahawa psikologi, fundamental, berita dan apapun aspek - segalanya telah pun diambil kira. Sebenarnya orang biasa macam kita mungkin tak tahu kenapa, dan sebenarnya bukan menjadi tumpuan ahli teknikal pun. Maka apa yang perlu dibuat adalah untuk kaji pergerakan saham sahaja.
Harga bergerak dalam suatu trend
Pergerakan saham akan mengikuti suatu trend. Dalam tulisan asalnya, “Price moves in trends”. Ini bermaksud apabila sesebuah saham itu berada dalam trend menaik, ia akan terus mengikuti trend ini. Sama juga apabila saham itu dalam trend menurun atau mendatar, ia akan mengikuti trend tadi. Dan trend ini boleh jadi berkekalan untuk jangka masa pendek, sederhana, ataupun panjang.
Sejarah berulang
Ahli teknikal percaya bahawa perkara yang terjadi dalam sejarah adalah berulang: "History repeats itself". Sifat ini sebenarnya diambil dari psikologi manusia itu sendiri. Manusia mempunyai sifat takut dan tamak, pesimis dan optimis. Ini adalah suatu kualiti yang ada pada manusia dan tak dapat diubah. Maka dari sifat ini, suatu pergerakan saham itu dapat dianalisa seperti kita menganalisa “mood” pasaran. Ia juga bermaksud pergerakan saham ke hadapan boleh diramal berdasarkan apa yang telah berlaku pada masa yang lalu.
Analisis Teknikal dan Fundamental
Ahli fundamental lebih menumpukan pada kewangan dan potensi syarikat, manakala ahli teknikal hanya melihat pada pergerakan harga saham. Setelah baca semua perenggan di atas, mungkin anda sedar bahawa tak ada penyataan pun yang membincangkan tentang untung rugi syarikat. Ahli teknikal menganggap semua ini telah pun dikira dalam harga saham. Maka boleh dikatakan penelitian dari segi teknikal juga mengambil kira fundamental syarikat (seperti dalam falsafah pertama tadi) dalam melihat pada pergerakan harga saham.
Walaupun analisis dari sudut teknikal telah pun mengambil kira fundamental sesebuah syarikat, namun ia bukanlah analisis yang lebih baik secara mutlak. Seorang ahli fundamental yang bagus dapat melihat lebih banyak pada sesebuah syarikat dan boleh menilai harga saham dengan lebih baik. Persoalan analisis mana yang lebih baik adalah lebih kepada kelebihan dan kepakaran seseorang dalam menggunakan ilmu tersebut.
Instrumen analisis teknikal
terdapat pelbagai instrumen yang boleh digunakan dalam ilmu analisis teknikal. Antaranya adalah seperti berikut:
- Support dan Resistance
- Trend harga
- Moving Average
- Oscillator
- Chart Pattern
- Volume dan Momentum
Setiap instrumen ini boleh memberikan maklumat yang berbeza kepada penilaian pergerakan harga saham. Tajuk-tajuk ini akan dibincangkan di masa akan datang.