Terdapat lebih 900 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia. Anda mungkin ada pendapat sendiri untuk menentukan sesebuah syarikat atau saham itu bagus ataupun tak bagus. Apa yang kita lihat sebagai bagus atau tak bagus ni mungkin agak subjektif mengikut pandangan masing-masing. Namun, Bursa Malaysia ada definisi atau kriteria mereka sendiri untuk mengenalpasti syarikat-syarikat yang bermasalah. Apa yang dimaksudkan dengan 'masalah' ni?
Syarikat yang bermasalah
Istilah yang Bursa gunakan untuk syarikat ini adalah PN17 untuk syarikat dalam pasaran utama (main market) dan GN3 untuk syarikat dalam pasaran ACE. Dalam Bursa, terdapat beberapa kriteria yang membolehkan sesebuah syarikat tersenarai, terus tersenarai, dan terkeluar dari senarai dalam Bursa. PN17 dan GN3 adalah satu langkah ke arah terkeluar dari tersenarai dalam pasaran saham Bursa. Contoh yang kita dapat lihat baru-baru ini adalah Utusan Melayu yang dikategorikan sebagai PN17 sebelum terkeluar dari pasaran saham.

Kriteria syarikat PN17
Bursa Malaysia telah menggariskan beberapa kriteria untuk sesebuah syarikat itu dikategorikan sebagai bermasalah. Di antara kriteria syarikat PN17 dan GN3, tak banyak beza, dan kita akan anggap sebagai sama dalam perbincangan kali ini. Antara kriteria tersebut adalah seperti di bawah:
- Ekuiti terkumpul pegangan saham oleh syarikat yang tersenarai itu berada pada atau kurang daripada 25% daripada modal berbayar (paid-up capital)
- Penerima atau pengurus dilantik untuk menguruskan aset syarikat atau anggota syarikat dengan nilai terkumpul lebih 50% daripada aset syarikat
- Anak syarikat dan syarikat bersekutu gulung tikar sehingga 50% nilai terkumpul daripada aset syarikat
- Juruaudit mempunyai pendapat yang tak memihak kepada syarikat dalam laporan kewangan
Inilah dia antara kriteria yang dituliskan dalam Practice Note 17 (PN17). Secara ringkasnya, ia menunjukkan bahawa syarikat yang berkenaan mempunyai kuasa yang kukuh pada pegangan syarikat. Selain itu, ia menggambarkan bahawa pengurusan syarikat tidak mampu berjalan dengan berkesan.

Syarikat-syarikat PN17 dan GN3
Sebagai badan yang berkuasa untuk menjaga dan mengawal selia pasaran saham di Malaysia, Bursa Malaysia akan mengeluarkan senarai kemas kini syarikat PN17 dan GN3 dari semasa ke semasa. Ini adalah antara usaha mereka bagi memastikan transaksi yang dilakukan dalam pasaran saham berlaku dengan adil. Link untuk syarikat bermasalah ini boleh dijumpai dalam laman web Bursa. Setakat 7 Julai 2024, senarai terbaru syarikat-syarikat dalam kategori PN17 dan GN3 adalah seperti di bawah.
Syarikat PN17
- AGESON BERHAD
- ALAM MARITIM RESOURCES BERHAD
- ANNUM BERHAD
- BARAKAH OFFSHORE PETROLEUM BERHAD
- BERTAM ALLIANCE BERHAD
- BINTAI KINDEN CORPORATION BERHAD
- CAPITAL A BERHAD (FORMERLY KNOWN AS AIRASIA GROUP BERHAD)
- E.A.TECHNIQUE (M) BERHAD
- IQZAN HOLDING BERHAD
- IREKA CORPORATION BERHAD
- IVORY PROPERTIES GROUP BERHAD
- KHEE SAN BERHAD
- KNM GROUP BERHAD
- MERIDIAN BERHAD
- MMM GROUP BERHAD (FORMERLY KNOWN AS ASIA MEDIA GROUP BERHAD)
- PERAK CORPORATION BERHAD
- PHARMANIAGA BERHAD
- REACH ENERGY BERHAD
- RENEUCO BERHAD
- SAPURA ENERGY BERHAD
- SARAWAK CABLE BERHAD
- SCOMI ENERGY SERVICES BERHAD
- ZELAN BERHAD
Syarikat GN3
- LAMBO GROUP BERHAD
- WAJA KONSORTIUM BERHAD
Link: Senarai syarikat PN17 dan GN3 dari Bursa
Macam mana nak tengok kaunter macam ni kat iSaham?
Untuk mendapatkan senarai terkini, kami kumpulkan senarai syarikat PN17 dan GN3 dalam bahagian iSaham Sector - PN17. Pada setiap page saham pula, kami paparkan PN17 di bahagian atas sekali (rujuk gambar di bawah) supaya anda dapat berfikir dua kali sebelum tertekan beli pada saham tersebut.

Kalau nak beli saham syarikat PN17 dan GN3
Perkara yang anda perlu buat apabila terjumpa syarikat-syarikat ini adalah elakkan terlebih dahulu. Sebabnya berdasarkan definisi atau kriteria PN17, syarikat-syarikat ini bukanlah boleh buat pusingan-u dengan mudah. Jadi sekiranya anda melabur dalam saham ini, risiko yang anda akan hadapi adalah lebih tinggi. Anda juga perlu ingat bahawa syarikat ini berkemungkinan untuk dikeluarkan daripada pasaran saham. Jika perkara ini terjadi ketika modal anda sudah pun dilaburkan ke dalam syarikat ini, maka hanguslah pelaburan tadi. Akhir sekali, fikirkan sebaiknya dalam pelaburan anda untuk dapatkan yang terbaik.