TEKNIKAL

10-APR-2020

Apakah VWAP dan Bagaimana Ia Digunakan


FN    


VWAP adalah terma dalam pasaran saham yang bermaksud Volume Weighted Average Price. Ia digunakan sebagai penanda aras yang memberitahu harga purata kepada sesebuah saham yang mengambil kira semua transaksi dalam sehari. Harga purata ini boleh digunakan sebagai pandangan keseluruhan kepada harga dan trend sesebuah saham.

Memahami VWAP

VWAP boleh difahami sebagai harga purata harian saham dengan mengambil kira semua transaksi yang berlaku. Pengiraan VWAP boleh diperoleh dengan menjumlahkan semua harga yang didagangkan untuk setiap transaksi dan dibahagikan dengan jumlah saham yang didagangkan.

persamaan definisi VWAP

Dalam erti kata lain, VWAP menunjukkan purata di mana harga sesebuah saham itu paling banyak didagang.

Bagaimana VWAP digunakan

Dalam platform dagangan (khususnya M+), VWAP hanya ditunjukkan sebagai sebuah angka. Namun pada hakikatnya, VWAP akan berubah mengikut masa. Perubahan VWAP ini disumbangkan oleh pergerakan harga dan volume saham yang didagangkan.

Pedagang menggunakan VWAP untuk mengenal pasti trend saham, dan digunakan untuk bina strategi dagangan. VWAP ini akan dibandingkan dengan harga saham semasa, dan panduan belian atau jualan digariskan berdasarkan VWAP ini.

contoh vwap - master Contoh menggunakan platform M+ Online. VWAP berada di bahagian bawah paparan.

Sebagai contoh, sekiranya harga semasa berada di bawah VWAP, ia memberikan petunjuk yang bagus untuk beli secara intraday. Sebaliknya, sekiranya harga semasa di atas VWAP, ia adalah petunjuk yang bagus untuk jual secara intraday.

Sekiranya anda ingin mengira VWAP secara manual, ada caranya, dan anda juga boleh pilih untuk tetapkan jangka waktu yang ingin diperhatikan. Pengiraannya adalah dengan mengambil Acc Val iaitu nilai terkumpul dibahagikan dengan Acc Vol iaitu volume terkumpul. Pengiraan ini perlu diambil untuk jangka waktu yang diperhatikan sahaja.

Sekiranya anda merasakan VWAP terlalu berat terhadap pergerakan sesi pagi, ada cara untuk mendapatkan VWAP yang berasingan untuk sesi pagi dan sesi petang. Caranya adalah dengan menggunakan paparan Overall seperti di bawah.

contoh vwap mengikut sesi - master

Kekangan penggunaan VWAP

VWAP menunjukkan harga purata untuk transaksi yang telah pun berlaku. Sekiranya berlaku perubahan harga yang drastik, VWAP akan mengambil masa untuk menunjukkan perubahan. Maka, ia berkemungkinan akan berikan penanda yang kurang tepat untuk pergerakan saham yang mendadak.

contoh vwap - kab

Berbeza dengan Moving Average, VWAP mengambil kira semua transaksi yang berlaku sehingga penutup pasaran. Kesannya, pergerakan harga untuk permulaan pasaran akan dibawa hingga ke penutup pasaran. Sebagai perbandingan pula, purata untuk Moving Average hanya berkesan untuk jangka waktu yang diperhatikan.

VWAP adalah instrumen analisis teknikal yang berasaskan data yang terdahulu. Ia dapat memberitahu apa yang telah pun berlaku pada pasaran, namun tidak memberikan kualiti atau pengiraan untuk menjangka pergerakan saham ke hadapan.


< kembali ke laman blog utama