Aurelius Technologies Berhad (ATech) adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang menumpukan pasaran industri elektronik. Butiran IPO ATech adalah seperti di bawah:
- Harga IPO:
- RM 1.36
- Status syariah:
- Dinilai syariah oleh SAC
- Pasaran:
- MAIN Market
- Market Capitalisation:
- RM 487.12 Juta
- Nisbah PE:
- 32.4 (FYE 31 January 2021)
- Permohonan ditutup:
- 3 Disember 2021
- Cabutan saham:
- 7 Disember 2021
- Tarikh penyenaraian:
- 16 Disember 2021
Bisnes ATech
Aurelius Technologies Berhad diperbadankan pada 9 Februari 2021 secara private limited company dan kemudian ditukarkan kepada public limited company pada 8 Julai 2021. ATech menjalankan aktiviti perniagaan melalui anak syarikat tunggal iaitu BCM Electronics. BCM bertanggungjawab dalam penyediaan EMS (electronic manufacturing service).
Syarikat yang bertapak di Kulim Hi-Tech Park, Kedah sejak tahun 2000 menawarkan perkhidmatan sokongan kejuruteraan prototaip, pemasangan papan (board assembly), peranti Internet of things (IOT) dan pelbagai lagi. Dari segi EMS, ATech terlibat dalam 3 kategori produk iaitu produk komunikasi dan IoT, peranti elektronik serta komponen semikonduktor.
Bukan itu sahaja, ATech juga menawarkan perkhidmatan pembuatan EMS melibatkan beberapa syarikat multinasional yang merentasi 11 buah negara termasuklah Asia Pasifik, Amerika dan Eropah. Negara Asia Pasifik seperti Malaysia, Hong Kong, Australia, Singapura dan China.
Kesan Covid-19 terhadap bisnes
Apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membendung wabak pandemik Covid-19, ia menyebabkan beberapa syarikat terjejas dari segi pengoperasian termasuklah syarikat ATech. Operasi EMS ATech telah terganggu buat sementara waktu, malah mereka juga mengalami masalah dalam rantaian bekalan dari pasaran global.
Kesannya, ATech terpaksa menangguhkan pesanan pengeluaran pelanggan mereka untuk FYE 31 Januari 2021. Kebanyakkan bahan input untuk operasi pembuatan PCB, komponen semikonduktor, elektrik dan pelbagai lagi diimport dari luar negara. Walau bagaimanapun, tiada sebarang pembatalan pesanan jualan atau tuntutan kerugian daripada pihak pelanggan ATech. Penangguhan ini menyebabkan pendapatan ATech telah menurun sebanyak 7% atau RM 27.1 juta pada FYE 31 Januari 2021.
ATech juga mempunyai nilai buku pesanan belum tertunai (unbilled order book) sebanyak RM 482.68 juta daripada berdasarkan laporan terbaru propektus. Pesanan ini akan dihantar bermula penghujung tahun 2021 sehingga tahun 2023. Namun begitu, pihak ATech berpandangan pandemik Covid-19 tidak akan memberi kesan buruk terhadap material adverse effect (MAC) dalam jangka masa panjang. Pandangan ini mengambil kira ekonomi Malaysia kembali pulih secara beransur-ansur.
Prestasi kewangan
ATech menunjukkan pendapatan tidak konsisten selama 3 tahun dari tahun 2019 sehingga 2021. Sepanjang 3 tahun ini, mereka mencatatkan pendapatan tertinggi pada tahun 2020 sebanyak RM 389.31 juta berbanding RM 358.17 (2019) dan RM 362.16 juta (2021).
Pada tahun 2021, syarikat ini mencatatkan keuntungan terendah sebanyak RM 15.1 juta berbanding dua tahun sebelumnya mencatat paras keuntungan konsisten sekitar RM 23 juta. Penurunan keuntungan ini disebabkan operasi pengeluaran ATech terjejas disebabkan penularan wabak Covid-19 yang berlaku ketika PKP 1.0 dilaksanakan.
Margin keuntungan selepas cukai adalah lebih baik pada tahun 2019 sebanyak 6.17% berbanding tahun 2020 (6.1%) dan 2021 (4.7%). Berdasarkan graf kita dapat lihat peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) dari RM 5.25 juta pada FPE 2020 ke RM 13.20 juta pada FPE 2021.
Pendapatan ATech diperolehi melalui 3 segmen produk iaitu communication and IoT, peranti elektronik serta semikonduktor. Jika dilihat, pendapatan dari peranti elektronik mengalami fasa turun dan naik selama 3 tahun. Pada tahun 2021, syarikat ini mevmperoleh hasil terendah sebanyak RM 34.1 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM 89.1 juta (2020) dan RM 71.7 juta (2019). Penurunan ini disebabkan ATech menerima jumlah pengeluaran yang rendah pada tahun tersebut daripada salah satu pelanggan mereka. Kesannya, jumlah jualan telematic instrumentation devices merosot sebanyak 53.7% pada FYE 31 Januari 2021.
Apa yang positifnya, segmen produk yang lain telah mengalami fasa peningkatan permintaan daripada pelanggan. Hal ini dapat dilihat, apabila produk communication and IoT mencatatkan hasil sebanyak RM 23.9 juta (8%) daripada RM 300.2 juta untuk tahun 2020 kepada RM 324.1 juta pada tahun 2021.
ATech juga telah mula menumpukan dalam pasaran komponen pembuatan semikonduktor multicomponent IC semasa FYE 31 Januari 2020. Hal ini menyebabkan pendapatan dalam segmen ini telah meningkat dari RM 1,000 tahun 2020 kepada RM 4.0 juta pada tahun 2021.
Strategi IPO dan masa depan
ATech akan mengumpul dana sebanyak RM 104.73 juta melalui IPO ini. Dana ini akan digunakan untuk tujuan seperti:
Dana | Nilai (Juta) | Peratusan (%) |
---|---|---|
Pembelian peralatan dan mesin | 40.00 | 38.2 |
Bayaran hutang bank | 29.52 | 28.2 |
Modal kerja | 28.192 | 32.6 |
Perbelanjaan penyenaraian | 7.085 | 6.7 |
Jumlah | 104.73 | 100.0 |
Jika dilihat hampir 38.2% daripada jumlah dana IPO iaitu sebanyak RM 104.73 juta akan digunakan dalam pembelian peralatan dan mesin. Ia melibatkan mesin dan peralatan dalam pembuatan komponen semikonduktor seperti SMT lines, AGVs dan Automated backed inline testing.
Penambahan ini disebabkan pihak ATech ingin memenuhi permintaan pelanggan dan pertumbuhan pada masa hadapan. Mesin baharu ini berupaya meningkatkan pengeluaran jumlah pengeluaran apabila pembinaan kilang baharu siap dibina pada penghujung tahun 2021 dan bakal memulakan operasi pada pertengahan tahun 2022. Kilang pembuatan baharu ini melibatkan keluasan penambahan 61,909 kaki per segi yang akan meningkatkan ruang lantai pembuatan operasi EMS sekitar 69% kepada 132,821 kaki per segi secara keseluruhannya.
Bukan itu sahaja, ATech juga bakal membeli mesin dalam industri pembuatan elektronik seperti SMT lines. Pembelian ini berupaya meningkatkan kapasiti sebanyak 642 juta placement point. Ini menjadikan jumlah kapasiti tahunan mereka meningkat daripada 1002 juta placement point kepada 1644 placement point menjelang tahun 2023.
RM 29.52 juta diperuntukkan untuk pembayaran hutang bank. Bayaran ini dijangka dapat menjimatkan syarikat daripada faedah tahunan berjumlah RM 1.38 juta. Selain itu, dana ini juga digunakan dalam modal kerja sebanyak RM 28.19 juta. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu pembelian bahan mentah operasi EMS sebanyak RM 25.13 juta dan perbelanjaan utiliti sebanyak RM 3 juta. Selebihnya, dana IPO digunakan dalam perbelanjaan penyenaraian.
Analisis bisnes dan industri ATech
Pasaran ATech
Pendapatan ATech bukan sahaja diperolehi dari dalam negara, malah melibatkan jualan eksport ke luar negara. Jika dilihat pada analisis pendapatan di bawah, kita dapat melihat pendapatan tertinggi diperolehi melalui benua Amerika sebanyak (49.1%) yang melibatkan negara Amerika Syarikat dan Brazil. Selain itu, pendapatan juga diperolehi melalui negara di Asia Pasifik (45.4%) dan Eropah (4.2%).
Permintaan eksport Malaysia terhadap produk E&E
Sektor elektrik dan elektronik (E&E) merupakan sektor pembuatan terbesar di Malaysia dengan menyumbang 29.7% daripada jumlah KDNK industri pembuatan. Ia memperoleh hasil eksport sebanyak RM 386.1 bilion pada tahun 2020 bersamaan nilai eksport kasar 39.4% di Malaysia. Pada tahun yang sama juga, nilai produk eksport kasar E&E meningkat sebanyak 3.5% berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh permintaan eksport melibatkan litar bersepadu elektronik (electronic intergrated circuit), radas (apparatus) untuk penghantaran atau penerimaan suara, imej dan data melibatkan bahagian litar bersepadu elektronik untuk menyokong peralatan bekerja dari rumah (WFH).
Menurut Malaysia Economic Outlook 2022 yang diterbitkan pada Oktober 2021 oleh Kementerian Kewangan, pasaran eksport produk E&E dijangka berkembang sebanyak 12.8% pada tahun 2021 disebabkan permintaan yang tinggi untuk semikonduktor, alat ganti peralatan telekomunikasi serta peralatan mesin elektronik. Ia selari dengan perubahan pasaran global untuk pendigitalan dan pengembangan teknologi.
Pembuatan produk elektronik di Malaysia
Disebabkan ATech menumpukan dalam pembuatan seperti:
- Pembuatan PCBA
- Sub pemasangan dan produk elektroniik siap
- Pembuatan semikonduktor (multicomponent IC) untuk aplikasi IoT
Prestasi akan memfokuskan dalam sektor ini sahaja di Malaysia. Semua pembuatan yang dihasilkan oleh ATech dikelaskan sebagai pembuatan komponen dan papan elektronik.
Secara keseluruhannya, nilai jualan pembuatan komponen dan papan elektronik di Malaysia telah meningkat pada CAGR 3.9% antara tahun 2018 dan 2020. Nilai jualan segmen ini pada tahun 2020 mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berjumlah RM 225.0 bilion.
Pada tahun 2020, nilai jualan produk E&E perkilangan di Malaysia telah merosot disebabkan pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, ia dijangka kembali pulih tahun 2021 berikutan perubahan transformasi digital pada peringkat global disebabkan kebanyakkan kerja dilaksanakan dari rumah (WFH). Ia memerlukan kemudahan teknologi digunakan untuk komunikasi secara maya.
Prestasi industri E&E secara global
Pasaran jualan global semikonduktor telah mengembang 6.8% dan mencapai USD 440 bilion pada tahun 2020 yang disumbang melalui produk sensors, memory dan intergrated circuits.
Pada tahun 2020, 3 negara tertinggi pengeksport dan pengimport bagi produk E&E adalah China, Hong Kong, dan USA. Berdasarkan laporan kewangan bagi 3 tahun terkini, ATech menerima pendapatan tertinggi melalui negara Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura.
Prestasi alat penyiaran radio secara global
ATech juga terlibat dalam pembuatan elektronik untuk komunikasi dan produk IoT. Hasil daripada produk komunikasi dan IoT termasuklah radio dua hala dan aksesori serta peranti IoT. Dalam segmen ini menyumbang sebahagian besar pendapatan bagi ATech untuk 3 tahun terkini iaitu 2019, 2020 dan 2021.
Menurut laporan Victor dalam propektus, antara 2016 dan 2020 jumlah import serta eksport alat penyiaran global mengalami penurunan. Hal ini disebabkan peningkatan penggunaan jalur lebar untuk penghantaran bunyi dan imej kepada peranti individu alih seperti komputer, komputer riba dan peranti mudah alih. Langganan jalur lebar tetap dan mudah alih global meningkat pada CAGR 2016 (6.7%) dan 2020 (10.8%).
Pada tahun 2020, Amerika merupakan pengimport terbesar peralatan penyiaran radio di dunia sebanyak 35.9%. Manakala, China adalah pengeksport terbesar dengan menyumbang 34.0% daripada eksport global.
Persaingan
Antara pesaing atau syarikat yang terlibat dalam industri yang sama dengan ATech telah disenaraikan dalam propektus berikut:
Syarikat dalam industri EMS terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, syarikat tempatan berskala besar dan syarikat multinasional asing. Misalnya, Jabil Inc merupakan salah satu pembekal terbesar bagi EMS yang disenaraikan di Bursa Saham New York (NYSE). Jabil telah beroperasi di 30 negara termasuklah di Pulau Pinang, Malaysia. Jabil mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak USD 27.3 bilion pada FYE 31 Ogos 2020.
Seperti yang dilihat di atas, ATech merupakan antara pemain industri yang agak meningkat naik dalam industri EMS. Jika dilihat pada pendapatan, ATech memperoleh pendapatan sekitar RM 362.17 juta berada di atas syarikat JHM dan Salutica. Namun itu bukan satu ukuran dalam penentuan prestasi syarikat.
Perbincangan
Melihat secara keseluruhannya, ATech menunjukkan pendapatan tidak konsisten dan penurunan keuntungan terutamanya laporan kewangan FYE 31 Januari 2021 disebabkan faktor wabak pandemik Covid-19. Namun disebalik penurunan ini, ada juga produk pengeluaran ATech mengalami fasa peningkatan yang melibatkan segmen peranti elektronik dan komponen semikonduktor.
Berdasarkan laporan kewangan 2021, syarikat ini dinilai pada nisbah PE 32.4 lebih tinggi sedikit jika dibandingkan dengan median sektor EMS sebanyak PE 20.4. Secara umumnya, dana ini membolehkan ATech mengembangkan sayap pasaran lebih baik pada masa hadapan, tertakluk bagaimana cara keberkesanan dana ini diuruskan oleh pihak pengurusan.
Dari sudut positifnya, ATech telah berada dalam fasa pengembangan kilang pengeluaran dan dijangka memulakan operasi pada suku pertama tahun 2022. Pengembangan ini akan meningkat jumlah production lines sebanyak 15 SMT lines dan peningkatan pengeluaran sebanyak 198.7% pada penghujung tahun 2023.
Selain itu, ATech merancang menaik taraf kemudahan mesin pembuatan ke arah Industri 4.0. Bukan setakat itu sahaja, ATech mempunyai perancangan untuk menghasilkan sistem pek bateri lithium-ion yang akan digunakan untuk kenderaan ringan adalah seperti golf carts, forklifts, AGV dan mobile robot serta kemudahan electric carts di lapangan terbang, taman tema dan kompleks membeli belah.