UMUM

16-MAR-2020

Bagaimana Circuit Breaker Berfungsi di Bursa Malaysia


FN    


Circuit Breaker yang biasa kita faham dalam kehidupan seharian adalah mekanisma penyelamat perkakas elektrik apabila terdapat muatan tinggi yang boleh menyebabkan litar pintas. Konsep yang sama digunakan untuk Circut Breaker dalam pasaran saham untuk menahan sesebuah pasaran itu daripada terus mengalami kejatuhan terutamanya disebabkan jualan panik.

panic switch by sum+it

Ketika Circuit Breaker tercetus, semua saham dalam sesebuah pasaran saham (stock exchange) akan berehat daripada didagang. Dengan ini, anda mempunyai masa untuk menilai semula sama ada anda perlu panik atau tidak.

Kali terakhir Circuit Breaket tercetus pada Bursa Malaysia adalah pada 10 Mac 2008 dengan kejatuhan indeks sebanyak 130.01 mata, iaitu lebih 10% daripada indeks pada 1,296.33 mata.

Dalam post kali ini, kita akan lihat bagaimana Circuit Breaker Bursa Malaysia berfungsi.

Circuit Breaker dicetus berdasarkan indeks

Ketetapan Circuit Breaker untuk Bursa Malaysia adalah berdasarkan indeks FBMKLCI. Apabila indeks FBMKLCI jatuh dari indeks tutup hari sebelumnya pada nilai yang besar, Circuit Breaker akan tercetus untuk seluruh pasaran saham Bursa Malaysia. Ada tiga tahap Circut Breaker yang ditetapkan oleh Bursa berdasarkan kejatuhan peratusan indeks sebanyak 10%, 15% dan 20% seperti jadual di bawah:

Tahap cetusan Circuit Breaker Keadaan dan tempoh rehat dagangan saham
Tahap cetusan Penurunan KLCI 9.00 - 11.15 pagi 11.15 - 12.30 tghari 2.30 - 3.30 petang 3.30 - 5.00 petang
Tahap 1 10% 1 jam Sehingga habis sesi 1 jam Sehingga habis sesi
Tahap 2 15% 1 jam Sehingga habis sesi 1 jam Sehingga habis sesi
Tahap 3 20% Sehingga habis sesi Sehingga habis sesi

Circuit Breaker boleh berlaku tiga kali dalam sehari

Kejatuhan indeks FBMKLCI boleh berlaku dalam dua ragam:

  1. beransur
  2. mengejut

Dalam mana-mana situasi, setiap tahap hanya akan tercetus sekali sahaja dalam waktu sehari. Sekiranya tahap yang lebih tinggi tercetus terlebih dahulu, tahap yang lebih rendah tak akan tercetus.

Dalam situasi (i), penurunan indeks berlaku dalam ragam yang beransur. Sekiranya indeks beransur turun ke tahap seterusnya, Circuit Breaker tahap seterusnya akan tercetus. Jumlah Circuit Breaker yang boleh berlaku adalah tiga kali sekiranya indeks beransur turun hingga ke tahap 3.

Untuk situasi (ii) pula, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku digambarkan seperti di bawah:

  1. 10% dan 20%
  2. 15% dan 20%
  3. 20%

Berdasarkan senario di atas, indeks boleh menurun dengan mengejut hingga melangkau mana-mana tahap cetusan Circuit Breaker.

Kesan Circuit Breaker kepada dagangan

Apabila Circuit Breaker tercetus, semua dagangan saham akan berhenti dengan peraturan yang sama seperti waktu rehat. Sebarang transaksi yang telah berlaku sebelum Circuit Breaker tidak akan mengalami sebarang gangguan.

Pesanan yang telah dibuat sebelum Circuit Breaker masih boleh dipadankan selepas habis penghentian dagangan sementara. Dalam waktu penghentian dagangan ini juga anda boleh buat pesanan baru atau kemaskini pesanan sedia ada.

Macam mana nak tahu apabila Circuit Breaker tercetus

Apabila Circuit Breaker tercetus, Bursa Malaysia akan menyebarkan pengumuman dengan segera melalui website www.bursamalaysia.com dan juga broker yang tersenarai dengan Bursa.


< kembali ke laman blog utama