Corak carta atau chart pattern ialah bentuk dalam carta yang membantu pelabur meramal ke mana arah tuju sesuatu saham, berdasarkan corak yang pernah dibuat sebelumnya. Ini kerana salah satu falsafah teknikal mengikut teori Dow adalah "history repeats itself" yang bermaksud harga dalam pasaran boleh diramal kerana sejarah berulang. Jadi dengan menganalisis corak ini, pelabur boleh kenal pasti dan membuat jangkaan pergerakan saham sama ada naik atau turun.
Terdapat pelbagai corak yang terbentuk dalam pasaran saham, salah satu daripadanya adalah head and shoulder. Ia diantara corak yang popular dan mudah dikesan di dalam carta.
Maksud head & shoulder
Head and shoulder yang dimaksudkan di sini bukanlah jenama pencuci rambut yang terkenal itu, tetapi ia merupakan petunjuk teknikal yang membentuk seakan kepala dan bahu. Corak ini muncul dengan membuat 3 puncak iaitu bahu kiri (left shoulder), kepala (head) dan bahu kanan (right shoulder). Puncak kedua iaitu head lebih tinggi berbanding puncak pertama dan ketiga atau juga dipanggil sebagai shoulder.
Berdasarkan teori teknikal, corak ini merupakan corak reversal yang memberi isyarat bahawa pasaran berkemungkinan akan mula bertukar arah daripada bullish ke bearish atau bearish ke bullish.
Cara kenal pasti corak
Terdapat dua jenis corak head and shoulder yang boleh muncul dalam carta, iaitu top head and shoulder dan bottom head and shoulder atau juga dikenali sebagai inverted head and shoulder.
Top Head & Shoulder
Kebiasaanya bentuk corak ini dapat dilihat di puncak sesuatu saham. Ia biasa terjadi apabila saham itu telah lama membuat kenaikan yang banyak dan menandakan saham itu di fasa terakhir uptrend dan mungkin membuat trend baharu iaitu downtrend. Pembentukan corak seperti:
- Bahu kiri (left shoulder): Kenaikan harga berlaku hingga puncak dan kemudian membuat penurunan.
- Kepala (head): Kenaikan harga menaik semula membentuk puncak lebih tinggi berbanding bahu kiri dan diikuti dengan penurunan semula.
- Bahu kanan (right shoulder): Kenaikan harga berlaku sekali lagi tetapi lebih rendah daripada paras kenaikan sebelum ini iaitu kepala dan membuat penurunan harga.
Contoh disini boleh lihat pada carta saham syarikat Malayan Cement Bhd (MCEMENT).
Jika dilihat pembentukan corak mengambil masa selama 14 bulan dari bulan Oktober 2012 sehingga November 2013 untuk melengkapkan corak top head and shoulder. Sebelum pembentukan corak ini, saham MCEMENT dalam keadaan uptrend dan kemudian bertukar arah menjadi downtrend.
Inverted head & shoulder
Corak inverted head & shoulder pula terbalik dengan top head & shoulder. Corak ini kebiasaanya muncul apabila sesuatu saham itu telah lama membuat penurunan. Ia menandakan saham tersebut di fasa terakhir downtrend dan berkemungkinan akan bertukar arah membuat trend baharu iaitu uptrend. Pembetukan corak ini seperti:
- Bahu kiri (left shoulder): Penurunan harga terjadi dan kemudian diikuti dengan kenaikan harga.
- Kepala (head): Harga saham menurun sekali lagi membentuk bahagian bawah lebih rendah berbanding bahu kiri dan membuat kenaikan semula.
- Bahu kanan (right shoulder): Penurunan harga berlaku semula tetapi lebih tinggi daripada penunan sebelumnya iaitu bahagian kepala. Kemudian harga meningkat sekali lagi.
Untuk bentuk inverted head & shoulder pula boleh lihat pada carta saham syarikat FM Global Logistics Holdings Berhad (FM).
Corak ini terbentuk 2 kali di saham FM iaitu pada bulan Februari 2021 hingga April 2021 dan Julai 2021 hingga Ogos 2021. Pembentukan corak ini mengambil masa 2 bulan lebih sebelum memulakan pertukaran arah dari trend menurun ke trend menaik.
Kekurangan head & shoulder
Sama seperti corak carta yang lain, corak head and shoulder juga tidak lari dari kekurangan. Antara kekurangannya adalah seperti:
- Ia jarang membuat pembentukan corak yang sempurna. Hal ini kerana terdapat beberapa market noise atau naik turun harga jangka pendek semasa pembentukan corak tersebut, yang membuatkan bentuknya yang samar-samar.
- Pembentukan corak ini biasanya mengambil masa yang agak lama, bermakna tempoh menunggu peluang dagangan juga lama.
- Pembentukan corak ini juga boleh jadi membuat penanda palsu dan tidak mengikut seperti yang diramalkan.
Kesimpulan
Setiap corak carta dan teknik hanyalah berfungsi sebagai panduan untuk pelabur membuat keputusan jual atau beli sesuatu saham. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko, pelabur perlu membuat trading plan terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.