Tidak perlu lagi terlibat dalam pelaburan emas yang mencurigakan di media sosial. Bursa Malaysia baru-baru ini melancarkan platform baru untuk pelaburan emas yang patuh syariah, dikenali sebagai Bursa Gold Dinar (BGD). Pelabur kini boleh menjual dan membeli emas melalui aplikasi mudah alih BGD.
Pelabur mempunyai fleksibiliti untuk berdagang atau menebus emas digital yang mereka miliki dengan syiling fizikal. Bagi menukar ke syiling fizikal, pelabur perlu memiliki sekurang-kurangnya 4.25g emas digital.
Tutorial: Cara Mendaftar akaun Bursa Gold Dinar
Ikuti langkah-langkah ini untuk memulakan pelaburan emas digital anda melalui Bursa Gold Dinar (BGD).
Pendaftaran pengguna baru
Selepas memuat turun aplikasi Bursa Gold Dinar, anda perlu daftar akaun anda dengan melengkapkan semua 4 langkah seperti berikut:
- Isi maklumat peribadi anda seperti yang diminta. Tekan 'continue' dan masukkan kod OTP yang diterima ke dalam ruang yang disediakan. Klik 'verify' untuk pengesahan.
- Masukkan alamat email dan kata laluan anda, dan klik butang 'continue'.
- Jika ada kod promo, masukkan dan klik 'submit'. Jika tidak, klik 'skip'.
- Baca dan fahami Terma dan Syarat (T&C), tandakan kotak kecil untuk bersetuju, dan klik 'Submit'. Periksa email anda untuk pengesahan dari Bursa Malaysia. Buka email dan klik 'verify'.
Upgrade akaun
Untuk membeli dan menjual emas secara digital di BGD, anda perlu 'upgrade' akaun dagangan dengan melakukan 6 langkah seperti berikut:
- Log masuk ke akaun BGD anda dan klik pada 'Tap to upgrade your account today'. Isikan maklumat peribadi yang diminta dan klik 'continue'.
- Isikan butiran hubungan, alamat kediaman, dan alamat surat-menyurat (jika sama, boleh klik kotak kecil). Kemudian, klik 'continue'.
- Isikan butiran pekerjaan anda dan klik 'continue'.
- Isikan butiran undang-undang dan klik 'continue'.
- Isikan butiran kewangan dan harta anda.
- Selepas itu, anda perlu mengisytiharkan Foreign Account Tax Compliance Act (FACTA) & Common Reporting Standard (CRS). Tandakan kotak yang berkaitan dan klik 'submit'. Ambil gambar Kad Pengenalan (IC) dan rakam video selfie untuk pengesahan identiti anda. Selepas menghantar Kad Pengenalan (IC) dan Video Selfie, pengesahan identiti anda akan diproses, ia mengambil masa kurang dari seminit atau 1-3 hari bekerja.
Setelah akaun anda dinaik taraf dan disahkan, anda dah boleh memulakan perdagangan emas di Bursa Gold Dinar.