Istilah Dead Cat Bounce
Dead cat bounce (DCB) adalah satu istilah dalam pelaburan saham yang bermaksud lantunan sementara harga saham atau pasaran yang sedang menurun dan disusuli dengan sambungan pergerakan menurun.
Dalam erti kata lain, saham atau pasaran yang menurun dan mencuba untuk naik, tapi kenaikan itu tak pergi jauh. Kenaikan harga saham tidak dapat berkekalan dan selalunya tidak membentuk "higher high higher low" pun.
Ia dipanggil dead cat bounce atau kucing mati melantun kerana seekor kucing yang mati pun akan melantun apabila ia jatuh teruk.
Bahaya DCB
Fenomena DCB ini merupakan amaran besar kepada mereka yang suka "bottom fishing" dan tidak menunggu "uptrend confirmation" terlebih dahulu.
Pedagang yang merasakan kenaikan ini adalah bentuk reversal mungkin akan beli ketika harga telah naik. Namun, sebenarnya ia bersifat sementara dan harga boleh jatuh lebih rendah dari harga semasa. Selalunya, mereka yang tersangkut dalam situasi ini takut terlepas peluang kalau tidak dapat lagi beli pada harga murah selepas ini. Sebenarnya, lebih elok berjaga-jaga ketika pasaran sedang jatuh merudum.
DCB banyak berlaku pada sektor/industri yang lebih berisiko seperti sektor teknologi & small cap dan kurang berlaku pada sektor yang kurang berisiko seperti makanan & utilities. Jadi, kalau nk beli saham dalam sektor lebih berisiko, lebih baik tunggu uptrend confirmation terlebih dahulu.
Mengenal pasti DCB
Pergerakan ini pada mulanya kelihatan seperti pembalikan corak pergerakan saham. Namun, ia akan terus disusuli dengan pergerakan saham menurun. Jika melihat secara keseluruhan, saham masih bergerak dalam pergerakan menurun atau downtrend.
Dalam keadaan pasaran yang menurun, anggapan yang mudah adalah pergerakan kenaikan yang berlaku hanyalah DCB. Namun, boleh jadi anggapan ini salah dan pasaran sememangnya sedang membuat pergerakan reversal. Maka, kita belum dapat mengenal pasti dengan sepenuhnya sekiranya saham atau sesebuah pasaran mengalami DCB. Kalau dapat kenal pasti, memang dah kaya pun orang tu.
Bagaimana nak menghadapi DCB
Dalam keadaan pasaran yang menurun, pedagang perlu lebih berhati-hati dan tegas dengan trading plan yang dirancang. Keadaan pasaran yang tak menentu juga mencadangkan bahawa pelaburan jangka masa pendek adalah lebih selamat.
Peluang untuk mendapatkan keuntungan masih ada. Contohnya, pedagang short-term akan mengambil peluang ini untuk mengaut saham dalam jangka masa pendek. Ada sebab pedagang ini hanya mengambil posisi short-term. Antaranya adalah sentiment keseluruhan terhadap pasaran masih belum positif.