Satu dunia tak terkecuali berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19. Dengan ancaman yang kekal wujud ini, ia telah mula mengubah landskap ekonomi dunia. Antara aspek penting adalah interaksi yang mengurangkan kontak antara individu.
Sebuah firma strategi perniagaan bertaraf antarabangsa telah keluarkan laporan tentang bagaimana dunia akan berupah pada masa akan datang. Dalam laporan tersebut, ada 10 peralihan yang berlaku atau yang akan berlaku pada tabiat manusia dan senario masyarakat umumnya. Perubahan yang pada asalnya bersifat perlahan kini berlaku dengan pecutan.
1. Kegelisahan, kesunyian dan kemurungan yang meningkat
Disebabkan oleh wabak Covid-19 ini, ada yang hilang pekerjaan. Interaksi dengan rakan dan kenalan sudah tidak lagi bebas seperti sebelum ini. Situasi yang disebut tadi mungkin juga boleh dirasai serentak pada masa yang sama.
Kesan jangkaan:
- keperluan untuk terapi dan bimbingan menjadi semakin penting
- permintaan yang meningkat terhadap haiwan peliharaan sebagai peneman
- permainan sosial secara atas talian semakin berkembang
Antara saham yang boleh dipantau: Apex Healthcare Berhad, IHH Healthcare Berhad, KPJ Healthcare Berhad, AppAsia Berhad
2. Kesangsian terhadap kebersihan barangan dan juga orang lain
Satu cara untuk mengurangkan risiko jangkitan adalah dengan sentiasa berada dalam keadaan yang bersih. Namun, tiada siapa tahu sebersih mana orang di sekeliling kita dan barangan yang dibeli. Proses pembersihan ini bukan berlaku di depan mata. Maka, pengguna mengambil sikap lebih berhati-hati terhadap kebersihan orang lain atau kebersihan barangan.
Kesan jangkaan:
- rekaan semula bungkusan barangan
- perkongsian rekod kesihatan peribadi dan juga suhu badan
- perkhidmatan tambahan percuma bertumpukan kebersihan
- penghantaran bebas-kontak
Antara saham yang boleh dipantau: Public Packages Holdings Berhad, Master-Pack Group Berhad, BCM Alliance Berhad
3. Kawalan pergerakan yang berlanjutan
Sektor peranginan dan pelancongan dilihat menerima impak yang paling tinggi. Percutian ke suatu tempat dirasakan sebagai sebuah risiko sekiranya mereka tak dapat pulang ke rumah atas sebab kawalan pergerakan.
Kesan jangkaan:
- percutian ke luar negara hanya berbaloi untuk cuti panjang, dengan mengambil kira tempoh kuarantin
- kawasan pedalaman dan terpencil akan menjadi peranginan yang mewah
Antara saham yang boleh dipantau: Parlo Berhad, Sektor: Travel, Leisure & Hospitality
4. Kerja dari rumah yang lebih optimum
Syarikat-syarikat besar ingin mengurangkan pekerja di dalam pejabat. Syarikat kecil pula akan mengurangkan ruang pejabat. Pelaksanaan kerja dari rumah semakin meningkat dan merupakan pilihan yang lebih disarankan. Rumah pula perlu dilengkapi dengan kemudahan yang membolehkan keberkesanan kerja dari rumah.
Kesan jangkaan:
- rumah dilengkapi dengan peralatan khas, mesin, dan kelengkapan audio dan video
- polisi dan insuran baru akan dibentuk berpaksikan fenomena ini
Antara saham yang boleh dipantau: Pineapple Resources Berhad, EG Industries Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Sektor: Furniture
5. Ketegangan dan konflik yang meningkat
Banyak syarikat yang beroperasi dalam mod survival. Dalam operasi ini, banyak yang mungkin akan melanggar kontrak dan undang-undang.
Kesan jangkaan:
- kes perundangan akan meningkat
- peguam beralih ke arah gaya kerja digital
- lebih banyak alat diadakan untuk automasikan kerja perundangan
Antara sektor yang boleh dipantau: Software
6. Tahap pengangguran global yang tinggi
Ramai yang perlu memikirkan semula kerjaya kerana berpindah ke syarikat pesaing yang sama terkesan bukan lagi satu pilihan.
Kesan jangkaan:
- latihan dan kemahiran semula secara remote akan terus meningkat
- ramai mungkin menjadi usahawan kecil untuk dapatkan pendapatan lebih
Antara saham yang boleh dipantau: SEG International Bhd, Eduspec Holdings Berhad
7. Hantar semuanya ke rumah
Banyak perniagaan dan pengedar perlu menumpukan dan mengutamakan aspek penghantaran dalam strategi perniagaan. Peruncit sedia ada pula akan berevolusi.
Kesan jangkaan:
- lebih banyak khidmat penghantaran khas (contohnya titik penghantaran untuk makanan sejuk beku)
- rantaian bekalan yang lebih optimum (contohnya beberapa kedai menyekalikan penghantaran)
Antara sektor yang boleh dipantau: Logistics, Courier Service
8. Kontak terhad dengan generasi tua
Generasi tua atau warga emas adalah golongan yang lebih terdedah kepada krisis wabak yang berlaku. Mungkin lepas ini tiada lagi perjumpaan sosial, atau berlaku layanan yang berbeza untuk membantu golongan tua.
Kesan jangkaan:
- berlaku banyak peralihan digital pada aktiviti sosial
Antara saham yang boleh dipantau: LYC Healthcare Berhad, Sektor: Software
9. Identiti dalam ruang digital
Kebanyakan masa seseorang akan dihabiskan di rumah. Manifestasi identiti diri akan dibawa ke tahap yang baru.
Kesan jangkaan:
- fesyen sebagai cerminan identiti diri dibawa ke ruang digital dalam bentuk pengubahsuaian persona digital
Antara sektor yang boleh dipantau: Software
10. Nilai tambah pada golongan imun
Aktiviti yang bergantung kepada kehadiran pelanggan yang ramai sangat terkesan dengan krisis ini. Perniagaan seperti wayang, majlis, perayaan dan sebagainya tidak boleh berjalan melainkan ada faktor yang meyakinkan ketiadaan risiko.
Kesan jangkaan:
- perkhidmatan tanpa interaksi manusia
- tumbuhnya segmen pengguna baru dengan rekod kesihatan rasmi untuk membuktikan status imunisasi
Antara saham yang boleh dipantau: UCrest Berhad, LYC Healthcare Berhad, Apex Healthcare Berhad, IHH Healthcare Berhad, KPJ Healthcare Berhad
Apa yang perlu dibuat?
Perubahan ini adalah pasti. Kita perlu bersiap sedia untuk satu era di mana ekonomi digital dan teknologi AI akan menjadi dominan. Selagi mana vaksin untuk Covid-19 ini belum dijumpai, maka selagi itu kita boleh jangka norma baru ini akan mengambil tempat dalam kehidupan manusia.
Jika sebuah vaksin dijumpai sekalipun, pengalaman telah mengajar kita untuk terus memikirkan penyelesaian masalah ini. Kemajuan yang boleh dicapai dengan ekonomi berkontak rendah ini memudahkan kehidupan dan peralihan ini mungkin akan kekal dengan kita.