Pada 3 Disember baru ini, ketua penganalisis Bank Islam, Dr Afzanizam dijemput untuk memberi sedikit perkongsian di Twitter Bursa Malaysia-i dalam slot Social Media Takeover. Dr Afzanizam telah pun berkongsi mengenai cabaran 2021, dan dalam perkongsian ini pula, beliau berkonsi pemerhatian kesan dan juga ekonomi untuk diperhatikan pasca Covid-19.
1. Apa yang kita pelajari
Pada mulanya, Dr Afzanizam menimbulkan satu persoalan tentang apa yang kita pelajari setelah wabak ini berlaku. Jawapannya ialah betapa pentingnya literasi kewangan. Dengan ilmu yang cukup, kita boleh mempersiapkan diri dengan pelbagai cabaran.
Untuk mengukur situasi kewangan semasa, seseorang itu boleh mendaftar eCCRIS dengan BNM untuk menyemak jumlah hutang berbaki dengan bank. Dari sini, kita boleh kira nilai bersih kita (aset ditolak dengan liabiliti).
Untuk mempersiapkan diri dengan keadaan ekonomi yang akan datang, kita perlu cakna dengan situasi ekonomi dan dasar yang bakal dilaksanakan. Apabila kita faham dengan keadaan ekonomi sekarang dan yang akan datang, kita boleh buat penilaian yang lebih rasional. Antara yang disebut oleh Dr Afzanizam adalah berkaitan dengan defisit fiskal dan penurunan taraf kredit.
Defisit fiskal yang besar
Malaysia akan mempunyai defisit fiskal yang besar iaitu 5.4% pada tahun depan. Sebahagian perbelanjaan kerajaan telah digunakan untuk pakej stimulus ekonomi. Sekiranya defisit ini tidak mengecil apabila ekonomi sudah pulih, ia secara langsungnya memberi maksud ekonomi itu terlalu bergantung kepada campurtangan kerajaan. Ini boleh memberi kesan kepada produktiviti dan daya saing ekonomi.
Penurunan taraf kredit
Agensi penarafan kredit seperti S&P, Fitch dan Moodys bakal menurunkan penarafan hutang kerajaan Malaysia (dan ia sudah pun berlaku). Dalam kes ini, ia boleh memberi kesan kepada nilai ringgit dan kos pinjaman di pasaran. Pelabur asing akan merasakan sentimen yang negatif dan dana pelaburan dalam negara akan berkurang.
2. Keadaan ekonomi semasa dan terdekat
Dr Afzanizam selaku ketua penganalisis ekonomi di Bank Islam berkongsikan unjuran mereka untuk prospek ekonomi. Dipukul dengan wabak Covid-19, GDP tahun 2020 diunjurkan berada pada -4.7% berbanding tahun 2019.
Namun, unjuran yang besar diberikan untuk tahun 2021 dengan kenaikan GDP 7.3% berbanding 2020. OPR dijangka kekal pada 1.75% dan ringgit bakal mengukuh ke paras RM 4 (berbanding USD) pada hujung tahun 2021. Secara keseluruhannya, prospek tahun 2021 dilihat sebagai positif.
3. Ekonomi yang boleh diperhatikan
Dalam norma baharu, ramai yang dilihat mula berniaga. Dr Afzanizam mengutarakan fakta bahawa negara kita lebih banyak mengimport makanan dari negara luar, dan menyusuli perbincangan dengan sektor pertanian yang mempunyai potensi yang baik. Selain itu, perkhidmatan kewangan juga menunjukkan peluang yang banyak.
Sektor pertanian
Satu metrik yang kita boleh lihat untuk sektor pertanian adalah pada Kadar Sara Diri (Self-Sufficiency Ratio) untuk barang makanan asas. Sekiranya kadar ini tidak mencapai 100%, bermakna kita terpaksa mengimport dari luar kerana bekalan barangan ini tak mencukupi untuk negara secara keseluruhan. Contoh yang disebut adalah:
- Lembu - 23.7%
- Kambing - 12.1%
- Cili - 30.8%
- Kobis - 36.2%
- Halia - 16.2%
Sekiranya berminat untuk bercucuk tanam, Dr Afzanizam menyarankan kaedah fertigasi kerana terdapat insentif yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 yang baru diluluskan ini.
Sektor perkhidmatan kewangan
Dalam sektor ini, peluang dilihat lebih banyak dalam bidang melibatkan khidmat nasihat kewangan dan pelaburan.
Dr Afzanizam juga menyelitkan pesanan penting untuk kita:
Umumnya, kita tak boleh duduk diam. Kena sentiasa peka terhadap peluang yang ada. Dan yang paling penting kena sentiasa happy dan bermotivasi serta positif.
— Bursa Malaysia-i (@icm_bursa) December 3, 2020
4. Kegembiraan dan produktiviti
Dr Afzanizam pernah membuat kajian hubungan antara pertumbuhan GDP dan kegembiraan di Malaysia menggunakan data Consumer Sentiment Index.
Dapatan ini menunjukkan sekiranya rakyat Malaysia gembira, pertumbuhan GDP boleh mencecah 7%. Sekiranya tak gembira, GDP bertumbuh pada kadar 2% sahaja.
5. Prospek tahun 2021
FBMKLCI disasarkan pada paras 1,750 mata berdasarkan forward PE 18.3x dengan jangkaan earnings 11.5% pada 2021.
Sektor yang (akan) banyak membantu naikkan KLCI tahun depan:
- Perbankan (26.9%)
- Sarung tangan getah (10.2%)
- Telekomunikasi (12.0%)
- Perladangan (11.0%)
Perladangan kelapa sawit
Perladangan kelapa sawit ada potensi tinggi pada tahun 2021 dan seterusnya. China menyatakan komitmen untuk mendapatkan bekalan 1.7 juta tan kelapa sawit dari Malaysia menjelang 2023.
India pula kurangkan duti import minyak sawit dari 37.5% kepada 27.5%. Tindakan ini dijangka akan menambah eksport minyak sawit Malaysia ke India.
Setakat itu sahaja perkongsian Dr Afzanizam yang menyentuh pelbagai perkara yang boleh mempersiapkan kita menempuh keadaan ekonomi ke hadapan. Dapatan kajian oleh Bank Islam boleh didapati di website mereka.
Sumber: Bursa Malaysia-i (Twitter)