Malaysia adalah antara negara yang terkedepan dalam bidang kewangan Islam. Tahun lepas, pengendali pasaran saham Malaysia, Bursa Malaysia dinobatkan sebagai "Pasaran Saham Terbaik untuk Penyenaraian Islamik 2018". Ada banyak usaha Bursa dan badan-badan fungsi kerajaan yang lain untuk menjadikan pasaran kita mesra syariah.
Mungkin ada yang masih berasa ragu dengan kepatuhan syariah dalam pelaburan saham ini. Baca lebih lanjut untuk lebih yakin dengan ekosistem syariah di Malaysia.
1. Hukum melabur syariah
Hukum melabur saham itu sendiri adalah harus. Ini adalah dipersetujui oleh pelbagai sarjana dan badan penasihat syariah dari pelbagai negara. Di Malaysia, urusan pelaburan sekuriti seperti saham, ETF, sukuk dan sebagainya dipantau oleh Shariah Advisory Council (SAC) di bawah Securities Commission (SC). SAC akan mengeluarkan senarai saham yang syariah dan tak patuh syariah, dan anda boleh melabur ke dalam saham yang patuh syariah.
2. Saham patuh syariah
Metodologi saringan kepatuhan syariah bagi saham dan sekuriti di Malaysia adalah satu usaha yang konsisten oleh Shariah Advisory Council dalam SC. Dengan menggunakan metodologi ini, SAC dapat menyaring atau mengklasifikasikan saham yang baru nak tersenarai sama ada sebagai syariah atau tidak. SAC akan perbaharui senarai saham syariah ini dua kali setahun kerana keadaan semasa syarikat boleh berubah-ubah dan mempengaruhi status kepatuhan syariah. Bursa Malaysia sebagai pengendali pasaran saham di Malaysia pun sahamnya kini patuh syariah.
Saringan syarikat-syarikat dibuat berlandaskan beberapa elemen dalam perniagaan, dan sebuah saham itu akan dianggap tak patuh syariah sekiranya mereka terlibat dalam aktiviti teras seperti di bawah:
- Perkhidmatan kewangan berdasarkan riba (faedah);
- Perjudian;
- Pembuatan atau penjualan produk bukan halal atau produk berkaitan;
- Insurans konvensional;
- Aktiviti hiburan yang tidak dibenarkan menurut Syariah;
- Pembuatan atau penjualan produk berasaskan tembakau atau produk berkaitan;
- Pembrokeran saham atau perdagangan saham pada sekuriti tidak patuh Syariah, dan
- Aktiviti lain yang dianggap tidak dibenarkan menurut Syariah.
3. Akaun patuh syariah
Dalam membina sebuah ekosistem mesra syariah, Bursa telah menggalakkan kewujudan Islamic Participating Organisation iaitu broker yang bercirikan kepatuhan syariah. Dengan Islamic PO ini, kita boleh buka akaun CDS yang patuh syariah. Akaun ini akan menghalang pembelian saham yang tak patuh syariah. Selain itu, prosedur penjelasan tunai di sebalik tabir juga adalah berlandaskan prosedur yang patuh syariah.
Senarai broker yang menawarkan akaun patuh syariah adalah seperti berikut:
- Affin Hwang Investment Bank Berhad
- AmInvestment Bank Berhad
- BIMB Securities Sdn Bhd
- CGS-CIMB Securities Sdn Bhd
- Hong Leong Investment Bank
- Inter-Pacific Securities Sdn Bhd
- Kenanga Investment Bank Berhad
- Malacca Securities Sdn Bhd
- Maybank Investment Bank Berhad
- MIDF Amanah Investment Bank Berhad
- Public Investment Bank Berhad
- RHB Investment Bank Berhad
- TA Securities Holdings Berhad
- UOB Kay Hian Securities Sdn Bhd
- KAF Equities Sdn Bhd
4. Bursa Malaysia-i
Apabila anda membuka akaun patuh syariah, anda akan melabur dalam saluran yang berbeza dari akaun konvensional. Pengasingan ini dapat mengelakkan dana bercampur antara proses syariah dan konvensional. Penyelesaian (settlement) untuk pelaburan antara broker islamik dan Bursa Malaysia akan dibuat melalui Institusi Kewangan Islam. Pelaburan anda akan melalui kesemua proses yang patuh syariah ini apabila anda membuka akaun CDS patuh syariah.
Bursa Malaysia-i juga memberikan banyak fokus kepada pasaran Islam di Malaysia. Pelbagai kelas dianjurkan untuk menggalakkan pelaburan bersifat syariah. Antaranya dianjurkan oleh mereka sendiri. Ada juga kelas-kelas yang ditaja oleh mereka untuk membolehkan ilmu pelaburan saham ini disampaikan secara lebih meluas.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Bursa Malaysia dan badan berkanun seperti SC memainkan peranan penting untuk menggalakkan pelaburan patuh syariah di Malaysia. Pelbagai inisiatif yang telah diambil untuk menjadikan pelaburan di Malaysia patuh dan diyakini syariah. Dengan keyakinan yang tinggi terhadap pasaran syariah di Malaysia, ia dapat menarik minat ramai pelabur syariah global untuk melabur di pasaran Malaysia.