AGM

13-JUL-2021

Frontken Bersiap untuk Keluaran Cip 3nm Menjelang 2022


 


Frontken merupakan sebuah syarikat yang menunjukkan pertumbuhan kewangan yang baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pendapatan dan keuntungan menunjukkan kenaikan yang kukuh, manakala pergerakan saham pula telah menaik melebihi 500% sejak awal 2019 hingga ke hari ini. Dalam post kali ni, kita akan kenal lebih dalam tentang syarikat yang bernama Frontken ini.

prestasi kewangan frontken 2020

Aktiviti perniagaan

Perniagaan yang diceburi oleh Frontken mempunyai tahap teknikal yang agak tinggi pada awalnya. Namun, kita akan lihat satu per satu dengan lebih terperinci. Secara ringkasnya, kita boleh fahami teknologi yang digunakan Frontken adalah untuk memanjangkan hayat peralatan.

Surface Metamorphosis Treatment

Surface metamorphosis adalah sebuah istilah umum yang digunakan untuk apa-apa perkhidmatan rawatan permukaan bahan. Bagi Frontken khususnya, mereka menawarkan khidmat Thermal Spray Coating untuk menyalut sesebuah bahan atau peralatan dengan lapisan mengikut keperluan pelanggan. Bahan yang disalut ini terdiri daripada pelbagai penggunaan kejuruteraan termasuk piston rod, paip besi, valve, pressure vessel dan sebagainya. Industri yang terlibat dalam perkhidmatan ini boleh terdiri daripada oil & gas, janakuasa tenaga dan marine.

Perkhidmatan surface metamorphosis ini membolehkan sesebuah permukaan itu diubah untuk meningkatkan kecekapan, hayat atau rupa. Proses ini adalah salah satu penyelesaian kepada pemilik bahan, peralatan atau kelengkapan untuk menyelesaikan masalah penggunaan dari segi kehausan, hakisan dan sebagainya. Ia dikatakan sebagai satu penyelesaian yang berpatutan berbanding membelanjakan R&D mencipta bahan baru untuk memanjangkan hayat bahan. Frontken merupakan pendahulu pasaran dalam perkhidmatan ini di pasaran Asia Tenggara.

Pasaran thermal spray coating secara khususnya terbahagi kepada pasaran utama (primary), dan kedua (secondary). Pasaran utama merujuk kepada pasaran OEM untuk produk yang dilengkapi dengan teknologi ini untuk memanjangkan hayat produk. Pasaran kedua merujuk kepada pasaran penyelenggaraan dan baikpulih peralatan yang mengalami kesan gunaan.

Precision Cleaning

Perkhidmatan pembersihan jitu atau precision cleaning merupakan proses pembersihan berpiawai tinggi, meninggalkan kurang dari 0.3 micron zarah bahan pencemar. Dalam kebanyakan industri kejituan berteknologi tinggi (high-tech precision industry), pembersihan jitu adalah proses keperluan sebelum pemasangan dibuat. Perkhidmatan ini juga merupakan aktiviti rutin penyelenggaraan untuk mengelakkan pencemaran zarah yang boleh jadi memakan kos.

Proses ini boleh jadi proses pelengkap dalam perkhidmatan Thermal Spray Coating tadi, kerana sesebuah permukaan itu perlulah dibersihkan dahulu sebelum disalutkan. Namun, perkhidmatan ini juga boleh berdiri dengan sendirinya dalam industri semikonduktor. Bahan asas semikonduktor yang bermula dari wafer adalah bahan yang sensitif terhadap apa-apa pencemaran. Ia dihasilkan dalam cleanroom di mana tiada apa zarah pencemaran boleh dijumpai di dalamnya. Peralatan yang mengendalikan wafer ini juga perlulah bebas daripada pencemaran zarah bagi mengelakkan kerosakan pada wafer.

frontken precision cleaning
Peralatan CVD dan senarai peralatan dikendalikan Frontken

Dalam segmen ini, Frontken mempunyai beberapa kaedah pembersihan iaitu spray cleaning, immersion cleaning, dan ultrasonic cavitation and implosion. Selain semikonduktor, perkhidmatan ini juga ditawarkan kepada industri oil & gas dan perubatan.

Khidmat kejuruteraan

Selain proses yang khusus tadi, Frontken juga menawarkan khidmat kejuruteraan yang lebih umum. Perkhidmatan ini juga bertujuan melengkapi kerja-kerja baikpulih peralatan, maka mereka juga membuat kerja seperti pembikinan (fabrication) spare part. Mereka juga membuat dynamic balancing untuk peralatan berputar seperti turbin, generator, enjin, pam dan sebagainya.

Pendapatan lebih banyak di Taiwan

Frontken memiliki 5 buah anak syarikat yang menawarkan perkhidmatan yang dibincangkan tadi di beberapa buah negara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Taiwan. Di Taiwan, Frontken memiliki Ares Green sebanyak 91.25% yang menyumbangkan sebanyak 65% daripada pendapatan pada tahun 2020.

Bila sebut Taiwan, secara automatik kita boleh bayangkan sebuah negara utama semikonduktor. Dalam konteks Frontken, kita boleh ingat pada TSMC, syarikat pengeluar semikonduktor terbesar di Taiwan, dan salah satu terbesar dunia. Taiwan merupakan penyumbang pendapatan Frontken terbesar sejak tahun 2016. Semikonduktor pula menunjukkan pendapatan yang semakin naik sejak tahun 2011 dari sekitar RM 99 juta sehingga mencecah RM 300 juta pada 2020. Sekiranya kita gabungkan kedua-dua kata kunci ini, kita boleh bayangkan mereka berada dalam perniagaan yang baik.

tsmc main office
Pejabat utama TSMC. Gambar: TSMC

Taiwan bukanlah satu-satunya geografi di mana mereka tawarkan perkhidmatan untuk industri semikonduktor. Di Malaysia dan Singapura juga, perkhidmatan ini ditawarkan. Namun, pelanggan utama Frontken merupakan syarikat Taiwan dan pada tahun 2020, menyumbangkan 36% daripada pendapatan tahun keseluruhan. Pelanggan mereka di Taiwan sahaja terdiri daripada lebih 150 syarikat. Mereka juga mempunyai perancangan pengembangan perniagaan di Taiwan.

Kilang baru di Taiwan

Pada April baru ini, Ares Green membeli kilang baru di Kaohsiung Science Park, Taiwan bernilai RM 53 juta dengan bangunan berkeluasan 10,972 kaki persegi. Keluasan ini membolehkan pemasangan ruang pengeluaran sebesar 2.5 kali ganda fasiliti sedia ada. Setakat ini, fasiliti mereka telah pun dianggap sebagai fasiliti terbesar dunia (untuk advanced cleaning).

kaohsiung science park
Kaohsiung Science Park. Gambar: Ministry of Science and Technology, Taiwan

Kilang ini dijangka akan mula beroperasi pada separuh kedua 2022, sejajar dengan pengeluaran cip node 3 nm. Mereka akan menggunakan teknologi pembersihan termaju untuk node 3nm ini, dan juga untuk 2 nm dan 1.4 nm yang akan datang. Perkembangan teknologi ini akan memberi pertumbuhan yang baik kepada mereka dalam 5 hingga 8 tahun akan datang.

Menimbang peluang di Arizona

Perkembangan peristiwa TSMC membuka kilang wafer di Arizona menjemput pelbagai persoalan sekiranya Frontken akan turut menjejakkan tapak di sana. Frontken berada dalam perbincangan yang berterusan bersama pelanggan mereka untuk membuka kilang di sana untuk memberikan perkhidmatan sokongan.

Buat masa ini, pelbagai persoalan yang masih berada dalam perbincangan, seperti struktur kos, persoalan sama ada berbaloi atau tidak, dan sebagainya. Namun, mereka bersetuju dengan pelanggan untuk memberikan sokongan dari jauh. Sekiranya mereka memutuskan untuk memasuki Arizona pula, ia tak semestinya berlaku ketika awal pengeluaran dibuat.

Kelebihan perniagaan Frontken

Dalam AGM, terdapat beberapa persoalan, salah satunya (Q&A nombor 27) bertanyakan tentang bagaimana mudah atau susahnya klien mereka menukar vendor, contohnya menukar Frontken dengan penyedia perkhidmatan lain. Jawapan balasnya, proses untuk mendapatkan kelayakan ini memakan masa. Ia mengambil masa sekitar 3 bulan untuk membuat satu wafer. Bahagian peralatan yang bersih ini mestilah diuji untuk beberapa pusingan, maka hampir 6-12 bulan diperlukan sebelum pertukaran dibuat.

jabil wafer handler
Gambar: Jabil

Selain itu, penglibatan Frontken dalam industri semikonduktor ini adalah pada fasa front-end sebagai perkhidmatan sokongan. Fasa ini merupakan fasa awal pengeluaran semikonduktor, oleh itu, mana-mana cip sama ada untuk EV atau smartphone, secara tidak langsung disokong oleh perkhidmatan pembersihan jitu Frontken.

Untuk perkhidmatan thermal spray coating pula, ada kelebihan yang boleh dirasakan dalam industri janakuasa tenaga. Pemain industri besar seperti GE, Siemens, Alstom dan Mitsubishi Heavy Industries pada asalnya mempunyai bahagian perkhidmatan selepas jualan untuk kerja-kerja selepas penyelenggaraan. Namun, penghantaran mengambil masa yang lama kerana ia perlu dihantar ke kilang asal barangan ini dibuat.

siemens gas turbine
Gambar: Siemens

Pemain industri ini juga tidak mahukan peralatan mereka contohnya gearbox, compressor dan turbin dihantar ke pesaing mereka bagi mengelakkan teknologi kejuruteraan ditiru. Oleh itu, kehadiran penyelenggara pihak ketiga seperti Frontken merupakan satu penyelesaian yang baik bagi mereka. Kita boleh lihat pada awal penyenaraian Frontken, mereka mempunyai Siemens sebagai pelanggan utama dalam segmen perkhidmatan ini. Malah, pelanggan utama mereka sebelum tahun 2020 dilaporkan dari perkhidmatan kejuruteraan.

Kesimpulan

Frontken memasuki pasaran yang diceburi ketika penggunaan dalam pasaran belum lagi meluas. Ketika tersenarai pada tahun 2006, mereka merupakan antara pemain terawal industri untuk perkhidmatan yang mereka tawarkan. Kini, mereka merupakan antara pemain utama dan sangat dikenali untuk bidang kepakaran mereka. Dalam AGM baru-baru ini, CEO juga menyatakan keyakinan untuk pertumbuhan syarikat ke hadapan.

Antara perkara yang mungkin kurang disenangi tentang perniagaan Frontken ini ialah pertumbuhan mereka bergantung kepada pertumbuhan pelanggan mereka. Sekiranya pelanggan mereka mendapat lebih banyak projek, maka barulah ia akan memberikan kelebihan kepada Frontken. Walaubagaimanapun, kilang baru Ares Green berpeluang untuk memberikan perkhidmatan kepada kapasiti yang lebih banyak. Persoalan yang bermain sekarang ialah kebolehan mereka untuk menjayakan kilang baru ini supaya dapat memberikan pulangan yang optimum.

Penafian: Artikel ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat yang team iSaham pelajari tentang syarikat ini. Sebarang penilaian positif atau negatif haruslah dipertimbangkan oleh pelabur sendiri untuk membuat keputusan pelaburan.


< kembali ke laman blog utama