UMUM

22-JUN-2020

Idea untuk Pemelbagaian Portfolio Pelaburan


FN    


Kepelbagaian portfolio atau portfolio diversification adalah satu cara yang boleh membantu mengurangkan risiko dalam pelaburan. Ada pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mempelbagaikan portfolio, sama ada mempelbagaikan kelas aset atau instrumen pelaburan. Ada juga yang menumpukan satu jenis pelaburan seperti membeli saham sahaja, tapi mempelbagaikan jenis strategi belian, ataupun jenis saham itu sendiri.

eggs diversified

Mungkin anda pernah dengar “don’t put all your eggs in one basket”. Dalam pelaburan, anda boleh bayangkan meletakkan telur sepapan dalam satu bakul. Kalau satu bakul tu jatuh, maka pecahlah kesemua telur tadi. Maka untuk mengurangkan risiko, letaklah telur anda dalam beberapa bakul. Kalau satu bakul jatuh, kita masih ada bakul yang lain untuk dibuat makan.

Bagaimana untuk pelbagaikan portfolio?

Seperti yang disebut tadi, pemelbagaian dapat membantu mengurangkan risiko pelaburan. Dari sudut statistik, memegang 5 saham adalah lebih baik daripada memegang satu saham sahaja. Namun, memegang lebih dari 5 saham tidak memberi begitu banyak perbezaan. Malah, anda mungkin akhirnya membuat kesilapan dengan over-diversify portfolio anda. Kita akan lihat jenis-jenis pemelbagaian ini dengan lebih lanjut.

1. Pelaburan dalam pelbagai Kelas Aset

Kelas aset ini boleh terdiri dari ekuiti saham, amanah saham, sukuk, emas, hartanah dan lain-lain. Pembahagian portfolio yang agresif akan melebihkan pada aset pegangan saham. Ketidaktentuan pada ekonomi pula akan memberikan kelebihan pada aset emas. Hartanah iaitu REIT pula merupakan aset yang lebih stabil tak mengira waktu.

2. Saluran pelaburan

Simpanan dalam institusi seperti KWSP, Tabung Haji dan ASB juga adalah salah satu saluran untuk pelaburan. Pulangan dari pelaburan ini adalah agak rendah, namun, kita boleh jangkakan risiko yang sangat rendah, jika ada sekalipun.

asb tabung haji kwsp

Selain itu, Wahed Invest juga adalah sebuah saluran yang boleh digunakan untuk melabur dalam saham dengan portfolio yang terurus. Portfolio ini terdiri daripada pegangan sukuk, emas, saham Malaysia dan juga Amerika yang patuh syariah.

Seterusnya, sudah tentu ekuiti saham syarikat. Pelaburan saham adalah yang paling berisiko tinggi antara yang lain di atas. Sebuah portfolio yang agresif akan melebihkan pegangan saham berbanding pelaburan berisiko rendah seperti yang disebut tadi.

Dua jenis pemelbagaian yang kita telah sebut setakat ini tidak hanya mengambil kira pegangan dalam ekuiti saham. Seterusnya, kita lihat pemelbagaian yang boleh dikhususkan kepada pegangan saham pula.

3. Kekuatan Sektor

Sekiranya anda melabur dalam saham, anda boleh perhatikan bahawa ada sektor yang lebih terkesan dengan keadaan ekonomi semasa berbanding yang lain. Kita boleh susun portfolio dengan melebihkan saham pada portfolio dalam sektor yang mengalami impak yang positif.

Dalam keadaan sekarang, sarung tangan getah mendapat permintaan yang tinggi, seterusnya memberi kelebihan pada harga saham syarikat dalam sektor ini. Secara umum pula, sektor teknologi adalah perniagaan yang boleh mendapatkan margin keuntungan yang tinggi, dan boleh mencatatkan peningkatan yang cepat. Namun, risiko penurunan juga boleh memberikan impak negatif yang dahsyat. Maka terdapat risiko tertentu daripada sektor-sektor tertentu.

4. Saiz syarikat

Saiz syarikat mempunyai peranan kepada pergerakan saham. Sekiranya saham itu bersaiz besar, saham syarikat kebiasaannya lebih lambat untuk bergerak. Ini disebabkan oleh jumlah pelabur yang banyak dalam saham tersebut. Dalam pasaran saham, saiz syarikat ini boleh dikelaskan sebagai saham Blue Chip, mid cap dan small cap.

big mid small company building

Blue Chip adalah lebih stabil dari segi kenaikan, tapi agak perlahan untuk bergerak. Saiz syarikat yang semakin kecil dari mid cap ke small cap akan lebih mudah untuk bergerak, namun mempunyai risiko yang lebih tinggi secara perbandingan.

Susunan portfolio yang lebih stabil akan melebihkan pegangan Blue Chip. Portfolio agresif pula akan menumpukan lebih pegangan dalam small dan mid cap.

5. Tempoh Pegangan

Tempoh pegangan saham sama ada untuk jangka masa panjang, sederhana dan pendek juga adalah salah satu cara untuk pelbagaikan portfolio. Sebuah portfolio yang berisiko rendah akan melebihkan pegangan jangka masa panjang, diikuti dengan jangka masa sederhana.

Pegangan jangka pendek adalah lebih bersifat risiko tinggi. Jika ada modal lebih, bolehlah peruntukkan dalam jangka pendek ini untuk meng'goreng' saham. Sekiranya pelaburan jangka pendek ini dapat memberikan pulangan yang baik dalam jangka masa pendek, ia boleh menjadi 'booster' untuk menambah keuntungan. Namun, sekiranya pelaburan ini tidak memberikan pulangan yang baik pula, ia boleh menjadi setback kepada portfolio anda.

Peruntukan modal

Modal adalah satu aspek yang subjektif dalam pelaburan. Ia bergantung kepada apa yang kita ada dan berbeza mengikut individu. Sebagai sebuah idea dan garis panduan yang umum, kita boleh wakilkan modal dalam bentuk carta pai. Kita bahagikan carta ini kepada 4 - 5 bahagian. 3 - 4 bahagian utama sama ada untuk portfolio yang stabil, agresif atau sederhana. Bahagian yang berbaki boleh diperuntukkan untuk seimbangkan pegangan.

Untuk membina sebuah portfolio saham yang kurang berisiko, lebihkan jenis pegangan yang lebih stabil seperti sektor yang kukuh dan saham pegangan jangka panjang. Pegangan saham pula dipecahkan kepada 3 - 4 saham yang berlainan dalam kategori pegangan jangka panjang. Selebihnya boleh diseimbangkan dengan pegangan yang sederhana atau yang agresif mengikut selera anda.

portfolio breakdown pie chart

Portfolio yang agresif pula boleh dibina dengan melebihkan pegangan saham dalam sektor teknologi dan sektor semasa yang mengalami impak yang positif. Antara pegangan agresif yang lain adalah pegangan saham untuk jangka masa pendek. Peruntukkan 3 - 4 bahagian dengan saham yang berlainan untuk kategori ini. Baki untuk seimbangkan portfolio, boleh masukkan pegangan untuk jangka masa panjang atau sederhana mengikut kehendak masing-masing.

Ini hanyalah idea secara umum untuk mempelbagaikan portfolio. Idea ini secara umumnya bertujuan untuk membentuk sebuah portfolio sama ada stabil, sederhana atau agresif mengikut cita rasa sendiri. Anda ada kawalan yang penuh untuk tentukan portfolio jenis apa yang nak dibentuk. Jenis portfolio ini pula boleh berubah mengikut keadaan ekonomi semasa. Maka sekiranya keadaan memaksa anda untuk membentuk portfolio yang lebih stabil, boleh ubah jenis pegangan mengikut panduan umum seperti di atas.


< kembali ke laman blog utama