Bila baru saja nak mula melabur mungkin anda rasa agak tercengang sekejap sebab rasa ilmu belum cukup di dada. Namun hari-hari kita dengar ada saham yang naik, tapi kita di depan platform trading tak tahu apa nak buat dan apa nak beli. Ilmu saham dirasakan belum cukup untuk melabur.
Macam-macam benda yang kita tak tahu. Kita cuma tahu dengan melabur, kita berpeluang untuk menjana pendapatan lebih. Kalau anda boleh merasai situasi seperti ini, baca lebih lanjut untuk tahu ilmu apa yang sekurang-kurangnya anda perlu ada untuk buat pelaburan yang baik.
Asas saham
Ilmu yang pertama sekali anda perlu tahu adalah tentang saham tu sendiri. Saham adalah pegangan seseorang pelabur dalam sesebuah perniagaan. Pegangan ini pula boleh dijual beli antara pelabur-pelabur lain.
Antara perkara yang membuatkan harga saham itu bergerak ialah adanya penjual dan pembeli untuk saham itu. Namun anda juga perlu tahu yang pergerakan saham bukan berlaku dalam garis lurus. Apabila ia naik, ada masanya ia akan turun. Malah, saham yang dirasakan mahal itu pun masih boleh mengalami kenaikan. Maka sekiranya anda terlepas satu peluang, tak bermakna ia terlepas selamanya.
Sesebuah saham itu boleh dilihat dari aspek potensi perniagaan untuk masa yang akan datang. Sekiranya keadaan pasaran sama ada mikro atau makroekonomi, perolehan projek baru, pengarah baru dilihat dapat memberikan potensi yang bagus kepada syarikat, maka kita boleh jangkakan pergerakan yang positif pada harga saham.
Trend pergerakan saham
Pertama sekali apabila kita nak beli saham, satu perkara yang kita harapkan daripada saham itu adalah kenaikan harga. Maka di sini, satu perkara yang masuk di akal untuk dilakukan adalah melihat pada corak pergerakan saham pada carta saham. Adakah ia menaik atau menurun?
Saham mempunyai kecenderungan untuk meneruskan pergerakannya sama ada menaik (uptrend) atau menurun (downtrend). Oleh itu, carilah saham yang uptrend, lagi bagus kalau dapat menunjukkan kenaikan sekurang-kurangnya 2 bulan. Kajian corak pergerakan saham boleh dibuat dengan semudah melihat pada carta saham.
Membuat saringan awal
Nak tunggu syarikat dapat projek bukanlah suatu perkara yang pasti. Ada tahun syarikat dapat banyak projek, tahun lain mungkin tak sebanyak mana. Jadi, kriteria yang paling asas kita boleh gunakan sebagai garis panduan adalah prestasi pendapatan dan untung rugi syarikat.
Kita boleh nilai sama ada syarikat sentiasa mencari jalan untuk menambah keuntungan atau sekadar cukup untuk bertahan. Mencari syarikat yang mempunyai pendapatan dan keuntungan yang sentiasa meningkat adalah satu saringan yang sesuai digunakan sekiranya anda baru mula melabur.
Dalam iSaham, trend prestasi pendapatan dan untung rugi ini boleh dilihat di bawah carta di bahagian analisis fundamental. Saham yang bagus akan menunjukkan trend prestasi yang menaik. Penilaian ini boleh dilihat pada ukuran FCON dan cadangan FCON yang bagus adalah pada 0.6 ke atas. Untuk cari saham dengan skor FCON yang bagus, boleh lihat pada screener FCON (Premium).
Support dan Resistance
Tadi, kami telah pun beritahu bahawa saham yang naik ada turunnya. Paras di mana harga saham ini cenderung untuk turun dan membuat lantunan adalah pada paras support. Sebaliknya, paras di mana saham cenderung untuk bertahan dari meneruskan kenaikan adalah dipanggil paras resistance.
Di iSaham, carian paras support dan resistance ini telah dipermudahkan dalam jadual di bahagian analisis teknikal.
Gunakan ilmu support ini sebagai titik masuk atau harga belian saham. Semakin dekat anda beli dengan support, semakin rendah risiko untuk kerugian. Kriteria support ini juga ada di iSaham dalam bentuk screener yang dapat mencari saham yang berhampiran dengan paras support.
Jaga emosi
Sebenarnya agak kerap juga kita jumpa pelabur yang terikut emosi dalam melabur. Bila nampak saham naik saja, mula terikut terbeli sekali dengan harapan harga naik semakin tinggi. Padahal bila tengok dari carta saham, harga dah jauh dari support. Untuk yang baru belajar saham, tak digalakkan buat begini, takut-takut anda tak tahu nak buat apa kalau saham terjunam.
Akhir kata, gunakan peringkat permulaan anda sebagai proses mencari pengalaman dan membiasakan diri dengan pasaran saham. Apabila pengalaman dan pengetahuan semakin membukit dan menggunung, anda boleh berdagang dengan lebih yakin. Yang penting sekali, anda mencuba dan sentiasa majukan diri.