Industri solar Malaysia sedang mengalami pertumbuhan pesat, dengan pemain industri utama seperti Pekat Group Berhad (PEKAT), Teladan Setia Group Berhad (TELADAN), dan Solarvest Holdings Berhad (SLVEST) terus memacu ke hadapan.
Dalam berita terkini, Pekat Group berjaya memperolehi kontrak bernilai RM29.1 juta untuk projek photovoltaics (PV) solar di Johor, Teladan Setia mengumumkan perancangan untuk menawarkan rumah sedia-solar di Melaka, dan Solarvest bekerjasama dengan i-Ruma untuk menghasilkan hartanah berkeupayaan tenaga bersih.
Pekat Group Dapatkan Projek PV Solar di Johor
Pekat Group akan mengendalikan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan komisyen (EPCC) sistem PV solar di Johor. Projek ini dijangka bermula pada Mei 2023 dan akan siap pada Oktober 2023. Kontrak ini menunjukkan peningkatan permintaan terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui dan potensi kuasa solar di Malaysia.
Teladan Setia Tawarkan Rumah Sedia-Solar di Melaka
Teladan Setia melalui memorandum persefaham bersama Micro Energy Holdings akan menawarkan rumah sedia-solar di Melaka. Pemaju hartanah ini telah mengintegrasikan panel solar ke dalam reka bentuk projek kediaman, mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga tidak boleh diperbaharui dan mengurangkan bil elektrik bagi pemilik rumah.
Teladan Setia akan memasang sistem solar PV daripada 2 kilowatt-peak (KWp) ke 4 KWp untuk 352 unit rumah di Taman Bertam Heights Fasa 2. Ini menandakan langkah penting ke arah menggalakkan kehidupan hijau dan pembangunan lestari dalam pasaran hartanah Malaysia.
Solarvest Berkolaborasi dengan i-Ruma untuk Hartanah Berkeupayaan Tenaga Bersih
Solarvest telah bergabung dengan i-Ruma, penyedia penyelesaian pengurusan hartanah digital, untuk mendigitalisasi pengurusan hartanah berkeupayaan tenaga bersih. Kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi pemilik dan pengurus hartanah memantau dan mengoptimumkan penggunaan tenaga solar mereka, disamping menyediakan sistem tempahan EV charging.
Perkembangan terkini dalam industri solar dan tenaga hijau di Malaysia menunjukkan komitmen negara terhadap tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dan pertumbuhan lestari. Dengan pelaburan dan fokus yang terus diberikan oleh negara dalam sumber tenaga boleh diperbaharui ini, syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor ini akan terus mendapat manfaat daripada projek yang ada, kolaborasi dan pelbagai aspek yang lain.