Hengyuan Refining Company Berhad atau Hengyuan pada asalnya adalah Shell Refining Company. Namun kita dengar berita bagaimana Shell mencatatkan kerugian dari 2011 hingga 2014. Ini diikuti pula dengan berita mereka ingin kurangkan aset pegangan mereka. Pada 2016, Shell Overseas Holdings Limited jual pegangan majoriti mereka sebanyak 51% dalam SRC kepada Malaysia Hengyuan International Limited (MHIL). Berikutan peralihan pemegang majoriti ini, MHIL pun menamakan semula SRC kepada HRC iaitu Hengyuan Refining Company.
Dipendekkan cerita, Shell Refining Company di Port Dickson kini dimiliki oleh Malaysia Hengyuan International Limited dan dinamakan semula sebagai Hengyuan Refining Company.
Produk dijual secara B2B
Di Malaysia, kita dapat lihat stesen minyak Petronas, Shell dan Petron sebagai 3 syarikat utama yang mengedar minyak kepada pengguna. Tapi kita tak nampak pun Hengyuan buka stesen pam. Ini disebabkan mereka hanya menjalankan proses penapisan yang berkapasiti 156,000 tong sehari, dan produknya dijual secara B2B.
Hengyuan membeli minyak mentah serata dunia dan ia ditapis kepada beberapa kategori produk termasuk diesel dan petrol. Sesetengah produk seperti naphta dan propylene dieksport ke pasaran Asia. Hengyuan mempunyai Product Offtake Agreement masa-panjang dengan pengedar-pengedar besar di Malaysia. Mereka sentiasa mencari pelanggan baru dan saluran bekalan secara aktif di dalam dan luar pasaran Malaysia.
Projek penyelenggaraan dan naik taraf
Major Turnaround
HRC baru sahaja selesai menjalankan rutin penyelenggaraan setiap 3 tahun yang disebut sebagai Major Turnaround (MTA 2018). Dengan rutin penyelenggaraan ini, loji penapisan mereka akan lebih mampan atau sustainable untuk masa panjang (long-term). Ia juga akan memastikan operasi di loji penapisan lebih selamat, reliable dan lebih berdaya keuntungan. Operasi MTA 2018 berjalan dalam masa 11 minggu dan berjaya dicapai dengan USD 4.46 juta di bawah bajet dan dua hari awal dari jadual.
Penapisan Euro 4M dan Euro 5
SRC sebelum ini ada menyatakan bahawa penaikan taraf loji untuk membolehkan penapisan kepada spesifikasi Euro 4M dan Euro 5 adalah satu komitmen yang tinggi bagi mereka. Jadi, MHIL dipilih sebagai pembeli pegangan terbesar kerana mereka menyatakan komitmen untuk menaik taraf loji penapisan HRC di Port Dickson. Komitmen ini terzahir di dalam Annual Report yang menunjukkan pelaburan-pelaburan yang dilakukan untuk penaikan taraf ini. Setakat ini, projek ini dilaporkan berjalan mengikut jadual.
Projek naik taraf ini akan menjadikan Hengyuan lebih berdaya saing dalam pasaran Malaysia dan luar negara. Ia juga bertujuan untuk mematuhi polisi kerajaan yang akan menguatkuasakan penggunaan Euro 4M dan Euro 5 menjelang tahun 2020. Spesifikasi ini akan digunakan sebagai polisi untuk mengurangkan pencemaran udara.
Prestasi kewangan
Pada tahun kewangan 2018, HRC mencatatkan revenue yang lebih rendah iaitu RM 11.2 bil berbanding RM 11.6 bil pada tahun 2017. Ini menunjukkan pengeluaran produk berjalan dengan lancar walaupun sedikit kekurangan disebabkan MTA. Keuntungan selepas cukai dicatatkan jatuh kepada RM 31 juta berbanding RM 930 juta, menjadikan pengurangan 96.6% daripada tahun 2017.
Keuntungan berkurang atas beberapa faktor, antaranya purata margin FIFO yang lebih rendah iaitu USD 3.0/tong berbanding USD 8.4/tong tahun 2017. Major Turnaround yang berjalan selama 11 minggu juga menyumbang kepada pengeluaran dan volume jualan yang lebih rendah. Gambaran maklumat selebihnya boleh dilihat di bawah.
Masa depan untuk HRC
Selepas Major Turnaround 2018, HRC sudah bersedia untuk menjalankan pengeluaran dengan lebih lancar. Naik taraf loji penapisan HRC di Port Dickson untuk Euro 4M dan Euro 5 akan menyediakan HRC untuk lebih berdaya saing di pasaran minyak yang lebih luas.