Butiran IPO
3REN Berhad dibuka untuk permohonan dan akan disenaraikan di pasaran Ace Bursa Malaysia pada 6 November 2024. Mengikut prospektus, syarikat ini bakal menerbitkan sebanyak 110 juta saham baharu dan menjual 45 juta saham sedia ada yang akan diagihkan kepada beberapa pihak. Sebanyak 32.5 juta saham akan diagihkan kepada orang umum dan sebanyak 30 juta saham akan dikhususkan untuk pengarah dan pekerja yang layak. Selain itu, sebanyak 3.8 juta akan diagihkan kepada pelabur Bumiputera melalui tawaran MITI dan baki sebanyak 43.7 juta akan dibahagikan kepada pelabur terpilih melalui tawaran persendirian. 3REN turut mendapat kelulusan patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Securities Commisions. 3REN ditawarkan pada harga RM 0.28 sen seunit.
Latar Belakang Syarikat
3REN BERHAD merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam menyediakan penyelesaian automatik dan perkhidmatan kejuruteraan dengan fokus utama kepada industri semikonduktor dan elektronik. Antara servis yang ditawarkan syarikat ialah khidmat sokongan bagi pemasangan dan pengujian IC (integrated circuit). Selain itu, 3REN turun menjalankan segmen reka bentuk, pembangunan dan penjualan penyelesaian digital, servis kejuruteraan dan juga penjualan peralatan automatik.
Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:
Prestasi Kewangan
Laporan kewangan yang dipaparkan di prospektus menunjukkan, syarikat 3REN menunjukkan peningkatan dari segi pendapatan dari tahun FYE2021 hingga FYE2022. Kenaikan drastik dilihat dari tahun FYE2021 ke FYE2022 dari RM74 juta ke RM103 juta disebabkan oleh peningkatan dari segmen servis sokongan disebabkan pertambahan pesanan dari kumpulan Intel. Untuk FYE2023 terdapat kejatuhan sebanyak RM8.71 juta dari segi pendapatan syarikat jika dibandingkan FYE2022. Ia dipengaruhi oleh kejatuhan permintaan cip global yang menyebabkan kejatuhan pesanan dari pelanggan dalam dan luar negara untuk segmen ic assembly and testing dan design. Contohnya, pesanan Intel yang menurun sebanyak RM6.51 juta untuk segmen design, development & sale of digitilised solutions, manakala untuk segmen IC assembly, pesanan syarikat turun sebanyak RM10.48%. Namun, jika kita ke margin keuntungan syarikat, keuntungan 3REN pada FYE2023 adalah lebih baik berbanding FYE2022.
Dari segi segmen dan geografi pelanggan, untuk FPE2024 segmen reka bentuk, pembangunan dan penjualan penyelesaian digital menjadi penyumbang utama kepada pandapatan 3REN iaitu sebanyak 37.22%. Ia diikuti dengan segmen servis sokongan untuk pemasangan dan pengujian IC sebanyak 35.55%. Pasaran Malaysia menjadi penyumbang utama kepada pendapatan 3REN dengan lebih dari 90% daripada pendapatan 3REN datang dari Malaysia. Selebihnya datang dari pelanggan antarabangsa.
Penggunaan Dana
Mengikut prospektus, 3REN bercadang untuk menggunakan sebanyak RM7.2 juta (23.38%) dari dana untuk menyediakan 2 buah pusat penghantaran yang baru bagi meningkatkan lagi kecekapan syarikat. Pusat ini akan menjadi sebuah tempat yang akan memenuhi keperluan pelanggan dari segi keselamatan rangkaian . Salah satu pusat penghantaran akan dikhususkan untuk pelanggan utama syarikat iaitu Intel dan sebuah dikhusukan untuk prospek pelanggan yang akan datang. Sekurang-kurangnya 40 pekerja tetap akan diambil pekerja bagi pusat terbaru ini.
Selain itu juga, 3REN bercadang untuk menggunakan RM5.10 juta dana yang diterima untuk tujuan R&D. Antara perbelanjaan yang dicadangkan ialah pengambilan pekerja tambahan untuk R&D, seperti jurutera AI, awan, perisian dan data. Selain itu, 3REN akan membuat pembelian perkakasan dan perisian IT yang baru seperti infrastuktur awan.
Di samping itu, 3REN turut bercadang untuk menggunakan sebanyak RM3 juta untuk menubuhkan sebuah pejabat baharu di Singapura. Pejabat ini akan memudahkan syarikat untuk berhubung secara terus kepada pelanggan khususnya syarikat-syarikat semikonduktor yang banyak bertapak di negara Singapura sama ada untuk sokongan atau penjualan servis secara terus.
Bukan itu, sahaja, 3REN turut bercadang untuk menggunakan sebahagian dari dana untuk membayar sebahagian dari pinjaman bank yang bernilai RM11.6 juta. Sebanyak RM7.6 juta akan digunakan bagi mengurangkan hutang ini yang telah digunakan untuk pembelian dan juga penyediaan kilang dan juga pejabat.
Baki dana iaitu sebanyak RM3.90 juta akan digunakan sebagai dana kerja manakala RM4.00 juta akan dikhususkan untuk membayar kos penyenaraian.
Analisis Bisnes & Industri
3REN terlibat dalam servis kejuruteraan dan automatik yang banyak digunakan untuk industri semikonduktor dan elektronik. Antara servis yang ditawarkan 3REN ialah servis pemasangan dan pengujian IC untuk segmen semikonduktor.
Prestasi Industri
Mengikut IMR yang dikeluarkan oleh Providence, industri semikonduktor dan elektronik global menunjukkan peningkatan dari segi jualan dari tahun 2012 hingga 2023 iaitu dari $291 bilion ke $526.8 bilion. Peningkatan yang agak ketara direkodkan untuk tahun 2021 & 2022 dipengaruhi oleh peningkatan permintaan untuk peranti dan perkakasan walaupun dipengaruhi oleh Covid19. Walaupun terdapat penurunan untuk tahun 2023, industri ini dijangka untuk terus berkembang disokong oleh pembangunan teknologi seperti 5G dan AI.
Sebagai salah seorang pemain bagi reka bentuk, pemasangan, dan pengujian IC di Malaysia, 3REN dijangka mendapat manfaat yang positif selari dengan revolusi ini. Antara yang menjadi tumpuan di dalam laporan IMR ialah prospek pelanggan 3REN yang mana pelanggan utama syarikat ini ialah kumpulan Intel iaitu salah sebuah gergasi teknologi di dunia. Berdasarkan rekod untuk FPE2024, sebanyk 69.58% pendapatan 3REN datang dari syarikat Intel.
Perbincangan
Sebagai penutup, 3REN merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam industri semikonduktor dan elektronik. Dari segi kewangan, 3REN merekodkan peningkatan dari segi pendapatan FYE2021 hingga FYE2022. Walaupun terdapat kejatuhan untuk pendapatan FYE2023, namun margin keuntungan 3REN adalah lebih baik jika dibandingkan dengan FYE2022. Dari segi penggunaan dana, antara yang menjadi tumpuan ialah menyediakan 2 pusat penghantaran yang baharu yang salah satunya dikhususkan untuk pelanggan utama syarikat, Intel. Untuk pembayaran hutang pula, hutang yang digunakan adalah untuk pembelian dan penyedian kilang dan pejabat. Dengan kebergantungan syarikat terhadap kumpulan Intel, prestasi Intel dijangka menjadi salah satu faktor yang akan mendorong perkembangan 3REN. 3REN juga dilihat mempunyai potensi yang cukup besar khususnya dalam bidang teknologi, dengan keterlibatan dalam industri semikonduktor dan elektronik terutama sekali dengan peningkatan permintaan dalam teknologi baru seperti AI dan 5G. Sama-sama kita nantikan prestasi 3REN selepas disenaraikan kelak.