Butiran IPO Syarikat Agricore
Berdasarkan prospektus syarikat, Agricore CS Holdings Berhad bakal menerbitkan 51.7 saham baharu pada harga terbitan RM0.50 seunit. Daripada jumlah tersebut, 10.1 juta saham baharu akan diperuntukkan untuk orang awam Malaysia melalui undian manakala 10.1 juta saham lagi disediakan untuk pengarah yang layak, pekerja, serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.
Di samping itu, sebanyak 25.4 juta saham baharu akan dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI). Baki selebihnya sebanyak 6.1 juta saham baharu akan diperuntukkan secara persendirian kepada pelabur terpilih.
Latar Belakang Perniagaan Syarikat
Agricore merupakan syarikat terkemuka dalam penyumberan dan pengedaran bahan makanan pertanian berasaskan tumbuhan seperti kanji, kekacang, bijirin, dan lain-lain. Selain itu, mereka juga menghasilkan serta menjual bahan tambahan makanan dan bawang goreng.
Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:
Prestasi Kewangan Syarikat
Berdasarkan laporan kewangan dalam prospektus syarikat, Agricore merekodkan hasil jualan yang meningkat sepanjang tahun 2020 hingga 2023. Keuntungan selepas cukai mereka juga menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 hingga 2022. Pada tahun 2023, angka ini sedikit menurun, dipengaruhi oleh margin untung kasar yang rendah disebabkan oleh kos jualan yang tinggi akibat penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat.
Pendapatan Agricore diperoleh daripada beberapa aktiviti perniagaan yang dibahagikan seperti berikut:
1. Penyumberan dan pengedaran produk pertanian berasaskan tumbuhan:
- Produk kanji
- Kekacang
- Produk bijirin
- Produk-produk lain seperti larutan nutrien, gula perang, bijan, dan kacang tanah
2. Penghasilan dan jualan bahan tambahan makanan dan bawang goreng
Di sini kita dapat lihat bahawa sepanjang tahun kewangan berakhir 2020-2023, majoriti pendapatan syarikat diperoleh daripada aktiviti penyumberan dan pengedaran produk pertanian berasaskan tumbuhan.
Penggunaan Dana IPO
Agricore menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM26 juta melalui IPO ini. Dana tersebut akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:
Syarikat ini bercadang untuk menggunakan majoriti daripada dana tersebut iaitu sebanyak RM18.9 juta (73.2%) untuk mengembangkan perniagaan penyumberan dan pengedarannya dengan meningkatkan tahap inventori di premis yang terletak di Bukit Minyak, Pulau Pinang serta kemudahan penyimpanan serantau yang baharu di Klang, Selangor.
Untuk tujuan mengembangkan lagi bisnes syarikat, sebanyak RM2.65 juta akan diperuntukkan untuk menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan fasiliti penyimpanan serantau berhampiran dengan Port Klang. Langkah ini dapat meningkatkan lagi efisiensi syarikat untuk menghantar produk secara terus ke pelanggan di kawasan Selatan dan Barat khususnya Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
Akhir sekali, sebanyak RM 580 ribu (2.2%) untuk merekrut lebih banyak staff untuk premis Bukit Minyak manakala sebanyak RM 3.7 juta (14.3%) akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.
Analisis Bisnes Dan Industri
Agricore secara jelas terlibat dalam industri makanan yang mana syarikat ini menyediakan produk bahan mentah makanan seperti kanji, kekacang dan juga bawang goreng.
Prestasi Industri
Industri makanan di Malaysia diukur berdasarkan CAGR iaitu compound annual growth rate. Mengikut statistik, industri makanan di Malaysia menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 hingga 2023. Smith Zander turut meramalkan industri ini akan terus berkembang kepada RM10.18 billion (2024) berbanding dengan RM9.15 billion (2023), peningkatan sebanyak 11.26%.
Namun, jika kita lihat dengan lebih mendalam, terdapat sedikit kejatuhan pada industri kekacang dari RM2.47 billion pada tahun 2022 kepada RM2.25 billion untuk tahun 2023. Smith Zander turut meramalkan industri ini akan berkembang pada kadar 7.56% kepada RM2.42 billion untuk tahun ini. Secara tuntasnya, industri makanan yang dipelopori oleh syarikat Agricor dijangka akan terus berkembang selari dengan pertumbuhan populasi di Malaysia dan kesedaran terhadap keselamatan makanan negara.
Perbincangan
Sebagai penutup, Agricore merekodkan peningkatan dari segi kewangan semasa syarikat dengan pendapatan meningkat dari 2020 hingga 2023. Walaupun begitu, syarikat ini turut mencatatkan sedikit kejatuhan untuk margin keuntungan kasar dan bersih khususnya untuk 2022 ke 2023.
Jika dilihat kepada penggunaan dana yang akan diterima melalui IPO ini, syarikat ini memfokuskan untuk mengembangkan lagi inventori dengan pembelian lebih banyak bahan asas makanan. Di samping itu, pembukaan fasiliti penyimpanan yang baru di sekitar Klang dijangka akan meningkatkan lagi kecekapan syarikat ini untuk penghantaran produk mereka khususnya di kawasan barat dan selatan semenanjung Malaysia. Adakah langkah ini dapat meningkatkan prestasi semasa syarikat Agricore? Sama-sama kita nantikan.