IPO

21-OCT-2024

IPO Azam Jaya: Pemaju Infrastruktur di Sabah


AA    


 

Butiran IPO

 

Azam Jaya Berhad akan disenaraikan di pasaran Main Bursa Malaysia pada 11 Novem ber 2024. Melalui penyenaraian ini, sebanyak 78.8 juta saham baharu akan diterbitkan dan 50 juta saham sedia ada akan dibahagikan kepada beberapa kategori. Sebanyak 25 juta saham akan dibahagikan kepada umum dan sebanyak 10 juta saham akan dikhususkan untuk pangarah dan pekerja syarikat Azam Jaya yang layak. Baki sebanyak 93.3 juta akan dikhususkan kepada pelabur terpilih melalui tawaran persendirian. Securities Commision turut mengesahkan syarikat ini berstatus patuh Syariah dan syarikat ini ditawarkan pada harga RM0.78 seunit.

 

Latar Belakang Syarikat

 

Azam Jaya Berhad merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam servis pembinaan. Telah beroperasi melebihi 30 tahun, Azam Jaya mempunyai kepakaran dalam pembuatan jalan termasuk lebuh raya, jambatan, jejambat, dan terowong dengan fokus operasi di negeri Sabah. Perkhidmatan yang ditawarkan syarikat termasuk kontraktor utama ataupun sub-kontraktor. Antara projek yang sedang dijalankan termasuk pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Sabah. Selain projek berkaitan jalan raya, Azam Raya turut menjalankan projek pembangunan infratruktur lain seperti membaik pulih Sekolah Kerajaan di Sabah. 

 

Prestasi Kewangan

 

 

Berdasarkan prospektus pendapatan syarikat, pendapatan syarikat Azam Jaya dilihat meningkat dari FYE2021 hingga FYE2023 dari RM231 juta kepada RM280 juta. Kenaikan sebanyak RM65 juta direkodkan dari FYE2021 hingga FYE2022 disebabkan oleh peningkatan projek berkaitan pembinaan seperti lebuh raya Pan Borneo dan Jalan Lintas. Walau bagaimanapun pendapatan syarikat berkurang dari FYE2022 ke FYE2023 sekitar RM16 juta disebabkan oleh kejatuhan pendapatan dari kedua-dua segmen syarikat.  Contohnya projek pembinaan Pan Borneo yang mengalami kelewatan disebabkan perubahan design menyebabkan pendapatan projek ini jatuh sebanyak RM11.89 juta. Jika dilihat dari segi margin keuntungan syarikat, untuk FYE2021 hingga FYE2023, margin keuntungan dilihat berkurang dipengaruhi oleh peningkatan kos jualan.  

 

 

Penggunaan Dana

 

 

Melalui penyenaraian ini, Azam Jaya Berhad dijangka menerima RM61.46 juta dana yang akan digunakan untuk beberapa perkara. Pecahan terbesar iaitu sebanyak 46.21% atau RM28.4 juta digunakan untuk dana kerja bagi projek pembinaan antaranya pembelian bahan asas untuk pembinaan, pembayaran kepada sub-kontraktor dan juga pembayaran kos pekerja.

Selain itu, syarikat ini turut bercadang untuk menggunakan sebanyak 32.54% dari dana bersamaan RM20 juta untuk pembayaran sebahagian hutang. Untuk rekod, pinjaman semasa syarikat berjumlah RM58.98 juta. Pinjaman ini adalah untuk membiayai projek Pembinaan AJ pada tahun 2018. Sebagai tambahan, Azam Jaya dijangka menggunakan 13% dana bersamaan RM8 juta untuk meningkatkan keupayaan pembinaan syarikat. Sebanyak RM6 juta akan digunakan untuk mengembangkan peralatan dan mesin pembinaan syarikat manakala sebanyak RM2 juta akan digunakan untuk pelaburan dari segi teknologi seperti modul kawalan kenderaan autonomi dan  dron dilengkapi LiDAR. Dengan pembelian mesin dan juga peralatan ini, ia dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi syarikat. Baki dana iaitu sebanyak RM5.064 juta atau 8.64% akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.

 

Industri & Bisnes

Azam Jaya Berhad adalah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembinaan di Sabah yang khusus dalam pembinaan infrastruktur jalan raya termasuk lebuh raya, jambatan, jejambat, dan terowong. Kira-kira 97.9% daripada hasil syarikat Azam Jaya bagi tahun kewangan berakhir 2023 diperolehi daripada pembinaan. Jadi syarikat ini secara jelas terlibat dalam industri pembinaan.

 

 

Prestasi Industri

 

 

Berdasarkan laparan IMR yang dikeluarkan oleh Infobusiness Research & Consulting Sdn Bhd, prestasi industri pembinaan boleh diukur menggunakan peratusan sumbangan kepada GDP dan juga jumlah projek yang dilaksanakan dengan fokus khusus di Sabah sebagai tempat operasi utama syarikat Azam Jaya Berhad. Untuk rekod, nilai projek kejuruteraan sivil dari tahun 2019 hingga 2023 berjumlah RM51.3 bilion dengan Sabah merekodkan nilai projek RM3.9 bilion. Nilai yang disumbangkan di Sabah meningkat dari 4.9% pada tahun 2019 kepada 8.9% pada tahun 2023. Dari segi trend semasa, selepas penyebaran wabak Covid-19, trend industri dilihat meningkat.

 

Pesaing-pesaing dalam industri:

 

Perbincangan

Sebagai rumusan, Azam Jaya Berhad merupakan  sebuah pemaju infrastruktur dengan fokus perkhidmatan di Sabah. Syarikat ini pakar dalam pembinaan infrastruktur jalan dengan antara projek yang dilaksanakan ialah projek Lebuh Raya Pan Borneo yang diberikan kerajaan. Dari segi kewangan syarikat, pendapatan Azam Jaya dilihat meningkat dari FYE2021 hingga FYE2023 dengan kejatuhan direkodkan dari FYE2022 hingga FYE2023. Dari segi penggunaan dana, Azam Jaya dilihat memfokuskan penggunaan dana kepada dana kerja dan juga pembayaran sebahagian pinjaman. Dengan harga yang ditawarkan 0.78 sen sesaham, sama-sama kita nantikan prestasi Azam Jaya apabila disenaraikan kelak. 


< kembali ke laman blog utama