IPO

26-JUN-2024

IPO BWYS: Penyedia Produk Kepingan Besi


AA    


 

Butiran IPO Syarikat BWYS

 

 

Menurut prospektus, BWYS akan disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Julai 2024. Melalui IPO ini sebanyak 256.30 juta saham baharu akan diperuntukkan dengan harga penawaran sebanyak RM0.22 seunit. Dari jumlah tersebut sebanyak 51.26 juta akan dibahagikan kepada orang umum manakala sebanyak 128.15 juta akan diagihkan untuk pemegang saham Bumiputera melalui MITI. Baki sebanyak 61.5 juta akan dibahagikan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta sebanyak 15.37 juta dikhususkan untuk pelabur terpilih secara tertutup.

 

Latar Belakang Syarikat

 

BWYS mula diperbadankan pada tahun 1999 dengan nama BW Yee Seng Hardware Trading Sdn Bhd sebelum berubah kepada nama terkini BWYS Steel pada tahun 2015. Syarikat ini merupakan syarikat yang berkepakaran dalam pembuatan produk kepingan besi dan juga pembekalan perancah atau juga dipanggil rangka bangunan. Antara kepingan besi yang dihasilkan termasuk atap zink,  paip besi, kekuda bumbung dan juga komponen untuk rak industri.

Model perniagaan syarikat BWYS adalah seperti berikut:

 

 

Prestasi Kewangan

 

 

Laporan kewangan prospektus menunjukkan syarikat BWYS menunjukkan peningkatan dari segi pendapatan syarikat dari tahun 2020 hingga tahun 2023. Peningkatan drastik dapat dilihat untuk pendapatan dan juga keuntungan BWYS pada tahun 2020 ke tahun 2021 iaitu dari RM130 juta kepada RM222 juta disebabkan oleh peningkatan harga besi sedunia yang menyumbang peningkatan pendapatan produk besi yang dibuat.

 

 

Jika dilihat dari pendapatan terkini syarikat untuk tahun 2023, terdapat sedikit peningkatan disebabkan oleh pertambahan pendapatan dari segmen perancah bangunan manakala segmen utama iaitu pembuatan produk berasaskan kepingan besi mengalami penurunan. Dari segmen geografi, Malaysia merupakan penyumbang utama kepada pendapatan BWYS dengan pendapatan melebihi 90% setiap tahun. Selain pasaran Malaysia, negara Singapura, Amerika Syarikat, dan Indonesia turut menjadi penyumbang kepada pendapatan BWYS.

 

 

Penggunaan Dana IPO

 

 

Melalui penyenaraian ini, BWYS bercadang untuk menggunakan majoriti daripada dana bagi tujuan mengembangkan lagi perniagaan. Antara perkara yang akan dilakukan merangkumi pembinaan sebuah kilang yang baharu di Penang dengan dana diperuntukkan sebanyak RM22.84 juta atau 40.4%. Dengan anggaran keluasan 197,153 kaki persegi, ia dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran dari 138 juta tan kepada 147 juta tan manakala kapasiti gudang meningkat dari 13 ribu kaki persegi kepada 150 ribu kaki persegi.

 

 

Selain pembinaan kilang yang baharu, BWYS turut bercadang untuk membeli mesin dan juga peralatan dengan keseluruhan kos RM7.7 juta atau 13.7% dari dana. Antara mesin yang akan dibeli adalah powder coating line, mesin roll forming dan juga mesin pembungkusan. Di samping itu, BWYS turut bercadang untuk melaksanakan sistem ERP (enterprise resource planning) dan sistem pengurusan pengeluaran dan inventori yang baharu bernilai RM10.8 juta atau 19.2% dari keseluruhan dana. Akhir sekali, baki dana akan dibahagikan untuk dana kerja, pembayaran kos penyenaraian dan juga pembayaran hutang bank.

 

Analisis Bisnes & Industri

BWYS merupakan pengeluar untuk produk berasaskan kepingan besi seperti bumbung dan juga perancah pembinaan bangunan. Jadi, kepakaran BWYS ialah dalam industri besi. 

Prestasi Industri

 

 

Laporan IMR menunjukkan sektor pembuatan produk logam menunjukkan kenaikan dari segi penjualan dan juga CAGR dari tahun 2020 hingga 2023. Pada tahun 2023, nilai CAGR berkembang pada 11% manakala untuk suku pertama tahun 2024, statistik dari DOSM menunjukkan nilai tersebut turut meningkat 12.7% berbanding suku pertama 2023. Dari perspektif subsektor iaitu produk utama BWYS iaitu atap besi, pertumbuhan penjualan direkodkan dari tahun 2019 hingga 2023 dengan CAGR 5.4%.  Peningkatan yang ketara dicatatkan antara tahun 2021 hingga 2023 dengan CAGR 12.8% disebabkan oleh kenaikan segmen pembinaan di Malaysia. Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan industri besi harga besi semasa global. Kenaikan harga besi menyebabkan kos bahan mentah lebih mahal untuk membuat sesuatu produk. Selain itu, disebabkan BWYS banyak terlibat dalam pembuatan besi untuk pembinaan seperti perancah dan juga kekuda untuk bumbung, industri pembinaan turut menjadi penyumbang kepada perkembangan segmen produk BWYS. 

 

 

Perbincangan

Sebagai rumusan, BWYS merupakan sebuah syarikat dalam industri besi dengan kepakaran dalam pembuatan produk kepingan besi seperti zink, kekuda bumbung dan juga membekalkan perancah untuk bangunan. Dari segi kewangan, BWYS dilihat mampu membuat peningkatan dari segi pendapatan dari tahun 2020 hingga 2023. Jika dilihat kepada keuntungan bersih syarikat, terdapat sedikit kejatuhan dicatatkan dari tahun 2022 hingga 2023. Ini disebabkan oleh peningkatan kos operasi penjualan syarikat. Dari segi penggunaan dana, fokus utama syarikat BWYS tertumpu untuk mengembangkan perniagaan dengan pembinaan kilang baharu yang dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan juga gudang. Selain itu, BWYS bercadang untuk membeli beberapa mesin dan juga peralatan dan juga melaksanakan sistem terbaharu untuk ERP dan juga inventori. Apa pandangan anda tentang IPO terbaru ini? 

 
 
 
 
 

< kembali ke laman blog utama