Butiran IPO
Elridge Energy Holdings akan disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Ogos 2024. Berdasarkan prospektus syarikat, tarikh tutup permohonan IPO ini ialah pada 12 Ogos 2024 dan ditawarkan pada harga RM0.29 sen seunit. Untuk IPO ini, Elridge akan menerbitkan sebanyak 350 juta saham baharu yang dibagikan kepada beberapa bahagian. Sebanyak 250 juta akan diagihkan kepada pelabur Bumiputera melalui tawaran MITI manakala sebanyak 80 juta akan diagihkan kepada orang umum. Baki sebanyak 20 juta akan dikhususkan kepada pengarah dan pekerja syarikat yang layak. Selain itu, sejumlah 350 juta saham sedia ada akan di buka untuk jualan melalui tawaran tertutup kepada pelabur terpilih. IPO Elridge disahkan patuh Syariah oleh Securities Commisions.
Latar Belakang Syarikat
Syarikat ini bermula pada tahun 2011 apabila Yeo Hock Choon dan Loh Mun Wah menubuhkan BESB. Elridge merupakan syarikat yang terlibat dalam aktiviti Biomass. Di bawah anak syarikat tunggalnya iaitu BESB, syarikat ini terlibat dalam penghasilan dan perdagangan produk bahan bakar biomass, terutamanya "palm kernel shells" (PKS) dan palet kayu. Bahan bakar biomass digunakan dengan cara pembakaran untuk menjana haba atau elektrik. PKS diperoleh melalui sisa cangkerang kelapa sawit yang telah diekstrak manakala pallet kayu terhasil dari bahan seperti sisa kayu. Pada waktu ini, segala aktiviti pemprosesan produk bahan bakar biomass dilakukan di kilang sekitar Port Klang dan sebahagian lagi di bawah pihak ketiga iaitu MBSB sebuah syarikat di Kuantan.
Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:
Prestasi Kewangan
Berdasarkan data yang dikeluarkan dalam prospektus syarikat, Elridge menunjukkan peningkatan yang baik untuk pendapatan dari tahun FYE2021 hingga FYE2023 iaitu dari RM115 juta ke 335 juta. Peningkatan yang sangat ketara direkodkan dari tahun 2022 hinga FYE2023 iaitu lebih 130% dari RM144 juta pada tahun 2022. Peningkatan ini disebabkan oleh peningkatan ketara untuk segmen PKS yang datangya dari pelanggan luar negara iaitu dari Singapura, Indonesia, Jepun dan Thailand. Jumlah keseluruhan pesanan meningkat dari 178,662 MT kepada 531,812 MT. Walaupun segmen PKS menunjukkan peningkatan ketara, segmen palet kayu pula jatuh dari RM50.48 juta kepada RM16.81 juta. Untuk FPE2024 pendapatan syarikat juga adalah lebih baik berbanding FPE2023. Peningkatan pesanan direkodkan untuk kedua-dua segmen iaitu PKS dan palet kayu khususnya untuk pelanggan antarabangsa. Selain dari segi pendapatan, margin keuntungan juga meningkat secara positif. Jika dilihat dari segi segmen, PKS menjadi penyumbang utama kepada Elridge dan untuk FPE2024 segmen ini menyumbang sebanyak 83% daripada pendapatan syarikat dan baki sebanyak 16% disumbangkan oleh segmen palet kayu. Manakala dari segi geografi, pelanggan antarabangsa merupakan penyumbang utama kepada pendapatan Elridge dengan negara Indonesia, Singapura dan Jepun menyumbang lebih 90% kepada pendapatan syarikat dan Malaysia hanya 5% untuk FYE 2023.
Penggunaan Dana IPO
Laporan prospektus syarikat menyatakan sebanyak RM101.50 juta dana bakal diperoleh melalui IPO ini. Antara rancangan penggunaan dana yang diterima adalah seperti rajah di atas. Elridge dilihat memfokuskan penggunaan dana bagi tujuan mengembangkan perniagaan dengan sebanyak RM47 juta atau 46.31% dikhususkan untuk pembinaan kilang terbaharu di Kuantan dengan fokus utama untuk segmen PKS. Kos ini termasuk pembelian tanah dan kilang yang akan dibina dan dijangka berkeluasan 105,000 kaki persegi. Selain itu, sebanyak RM21 juta akan digunakan untuk membeli beberapa mesin dan peralatan untuk kilang sementara di Pasir Gudang, Kuantan dan Lahad Datu dan dijangka memberi kapasiti tambahan untuk menghasilkan 720,000 MT per tahun. Butiran pembelian adalah seperti berikut:
Selain dari itu, Elridge juga bercadang untuk untuk menggunakan sebanyak RM27 juta untuk dana kerja iaitu pembelian bahan mentah dan perbelanjaan pentadbiran umum. Baki sebanyak RM6.3 juta akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.
Analisis Bisnes & Industri
Elridge dan anak syarikatnya terlibat dalam penghasilan dan penjualan produk bahan bakar biomass dengan fokus kepada dua segmen iaitu palm kernel shells (PKS) dan palet kayu. Jadi, Elridge merupakan syarikat di bawah industri bahan bakar biomass.
Prestasi Industri
Berdasarkan laporan IMR yang dikeluarkan Providence, segmen bahan bakar PKS dan palet kayu menunjukkan peningkatan dari segi CAGR dari tahun 2019 hingga 2023. Untuk segmen palet kayu, CAGR meningkat 6.9% dengan saiz industri dari $7.5 bilion kepada $9.8 bilion. Untuk segmen PKS saiz industri turut meningkat dari $218.6 juta kepada $283.3 juta dengan CAGR 6.7%. Kedua-dua segmen ini dijangka akan terus berkembang sehingga tahun 2026.
Antara yang akan menjadi penyumbang kepada pengembangan industri ini ialah peningkatan eksport ke pelanggan luar negara antaranya, Jepun, Korea Selatan dan Belanda. Mengikut data, nilai eksport PKS meningkat dari RM277 juta pada tahun 2019 ke RM760 juta pada tahun 2023. Untuk segmen palet kayu pula, nilai eksport meningkat dari RM313 juta ke RM554 juta.
Perbincangan
Sebagai kesimpulan, Elridge merupakan syarikat yang menyediakan dan mendagangkan produk bahan bakar biomass. Segmen palm kernel shells (PKS) menjadi penyumbang utama kepada pendapatan syarikat dengan menyumbang lebih dari 80% pendapatan Elridge pada tahun 2023. Manakala segmen lain iaitu segmen palet kayu menyumbang kurang dari 20%. Dari segi kewangan, Elridge menunjukkn kewangan yang positif dengan peningkatan pendapatan dan margin keuntungan direkodkan dari 2021 hingga 2023. Peningkatan ketara iaitu lebih sekali ganda turut direkodkan dari tahun 2022 hingga 2023. Untuk penggunaan dana, Elridge ingin menggunakan sebahagian besar dana untuk tujuan mengembangkan lagi perniagaan dengan fokus kepada pembinaan kilang baharu di Kuantan dan pembelian beberapa mesin dan peralatan.