Butiran IPO
Menurut prospektus, Steel Hawk Berhad (HAWK) akan disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 27 Ogos 2024. Melalui IPO ini sebanyak 90 juta saham baharu akan diperuntukkan dengan harga penawaran sebanyak RM0.15 seunit. Dari jumlah tersebut sebanyak 24.5 juta akan dibahagikan kepada orang umum manakala sebanyak 12.25 juta saham akan diagihkan untuk pengarah dan pekerja yang layak. Baki sebanyak 53.25 juta saham akan dikhususkan untuk pelabur terpilih secara tertutup. HAWK disahkan patuh Syariah oleh Securities Commisions.
Latar Belakang Syarikat
Steel Hawk Berhad merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam minyak dan gas (O&G) dengan fokus kepada perkhidmatan servis sokongan. Syarikat ini bermula dengan penubuhan Steel Hawk Engineering pada tahun 2012. Pada tahun 2021, Steel Hawk telah disenaraikan di pasaran Leap Bursa menjadikan syarikat ini ditukarkan menjadi sebuah syarikat public limited. Antara servis yang ditawarkan HAWK ialah:
1. Perkhidmatan EPCC untuk chemical injection skid dan fasiliti penyelenggaraan.
2. Pemasangan dan penyelenggaraan peralatan oilfield.
3. Pembekalan peralatan oilfield.
Prestasi Kewangan
Berdasarkan laporan kewangan yang dikeluarkan dalam prospektus syarikat, HAWK merekodkan kewangan yang baik dengan peningkatan dari segi pendapatan dan keuntungan direkodkan dari FYE2021 ke FYE2023. Pendapatan meningkat dari RM24 juta kepada RM72 juta manakala keuntungan selepas cukai melonjak dari RM2 juta ke RM7 juta. Pendapatan HAWK naik mendadak untuk FYE21 ke FYE2022 disebabkan oleh peningkatan dari segmen servis EPCC dan segmen fasiliti penyelenggaraan sebanyak RM39.55 juta atau 216.83%. Ia berpunca dari peningkatan pengiktirafan pendapatan dari syarikat PETRONAS Carigali bernilai RM13.72 juta dan penerimaan 5 kontrak dari pelanggan baharu. Untuk rekod, hampir keseluruhan pendapatan syarikat adalah hasil dari pelanggan tempatan.
Penggunaan Dana
Menurut prospektus syarikat, sebahagian besar dana IPO iaitu 51.85% akan digunakan untuk pembinaan fasiliti kedua di Teluk Kalung. Untuk fasiliti terbaharu ini, Steel Hawk telah menandatangan perjanjian pajakan tanah bersama PMINT untuk tempoh 30 tahun dengan jumlah keseluruhan pajakan bernilai RM1.53 juta. Fasiliti yang dijangka berkeluasan 44,024 kaki persegi ini akan menempatkan 2 halaman fabrikasi, gudang dan juga pejabat. Selain dari itu, HAWK turut bercadang untuk menggunakan 14.81% dana untuk modal kerja dengan pembelian bahan asas seperti paip dan struktur. Sebanyak RM 1 juta pula akan diperuntukkan untuk pembayaran sebahagian hutang tertunggak yang setakat bernilai RM27.60 juta. Akhir sekali, baki sebanyak RM 3.5 juta akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.
Industri & Bisnes
Steel Hawk secara jelas terlibat dalam industri minyak dan gas dengan fokus kepada perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan EPCC atau lebih spesifik iaitu "Oil & Gas Services and Equipment" (OGSE). Jadi, ia sedikit sebanyak bergantung kepada prestasi harga minyak global dan juga prestasi PETRONAS sebagai pemain utama minyak dan gas di Malaysia.
Prestasi Industri
Berdasarkan laporan IMR yang dikeluarkan oleh Protege, prestasi industri OGSE dinilai berdasarkan prestasi CAPEX PETRONAS. Mengikut rekod, nilai CAPEX yang direkodkan PETRONAS meningkat dari tahun 2021 (RM 15 bilion) hingga 2023 (RM 26.20 bilion) dan menurut jangkaan akan terus meningkat hingga tahun 2028 dengan nilai CAGR 1.34%. Jadi, sebagai pelanggan utama kepada syarikat HAWK, ia mungkin menjadi salah satu pemangkin untuk pertumbuhan HAWK.
Sebagai salah satu pemain industri O&G, HAWK turut terdedah dengan beberapa risiko. Antaranya, peningkatan persaingan di dalam industri, kebertandungan terhadap pelanggan utama iaitu PETRONAS dan juga perubahan harga minyak global.
Perbincangan
Sebagai rumusan, HAWK merupakan pemain industri minyak dan gas. Pendapatan syarikat tertumpu kepada segmen sokongan EPCC dan servis penyelenggaraan. Berdasarkan laporan kewangan, HAWK mempunyai kewangan yang agak baik dengan merekodkan peningkatan dari segi pendapatan dan keuntungan dari FYE2021 hingga FYE2023. Dari segi penggunaan dana, fokus utama syarikat tertumpu kepada pembinaan fasiliti kedua di Teluk Kalung yang akan menempatkan halaman fabrikasi, gudang dan juga pejabat. Pertumbuhan syarikat HAWK dilihat berkait rapat dengan prestasi semasa PETRONAS sebagai pemain utama indusri minyak dan gas serta pelanggan utama syarikat. Sama-sama nantikan prestasi IPO ini apabila disenaraikan kelak.