Sebelum ini kami pernah menyentuh serba sedikit tentang syarikat InNature Berhad yang akan terbitkan IPO. Hari ini, mereka telah pun memutuskan tarikh untuk IPO ini seperti berikut:
- Permohonan dibuka:
- 29 Jan 2020, 10.00 pagi
- Permohonan ditutup:
- 6 Feb 2020, 5.00 petang
- Cabutan saham:
- 10 Feb 2020
- Agihan saham:
- 19 Feb 2020
- Tarikh penyenaraian:
- 20 Feb 2020
Permohonan untuk IPO InNature ini dibuka pada harga RM 0.68 dan akan disenaraikan dalam papan utama Bursa Malaysia.
Perniagaan boleh menjadi kuasa untuk kebaikan
InNature menjalankan aktiviti perniagaan dalam industri kosmetik dan penjagaan diri melalui francais The Body Shop, dan akan datang, Natura. Jenama The Body Shop (TBS) melalui InNature telah menapak di Kuala Lumpur sejak tahun 1984 lagi. TBS tidak asing lagi sebagai jenama yang "mementingkan kesedaran terhadap alam sekitar dan sosial". Produk TBS menikmati kesedaran jenama (brand awareness) dan kepercayaan yang tinggi dari pengguna di seluruh dunia.
"Perniagaan boleh menjadi kuasa untuk kebaikan". Itulah yang boleh diterjemahkan daripada muka hadapan prospektus IPO InNature ini. Itulah juga nilai yang dipercayai oleh syarikat InNature ini. Selama beroperasi, mereka pernah memulakan dan menyusun kempen untuk pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar dan haiwan, dan juga hak asasi manusia dan wanita, di Malaysia dan Vietnam.
Struktur kumpulan syarikat
Struktur operasi syarikat InNature ini tidak begitu rumit. InNature yang berpusat di Malaysia membahagikan operasi francais TBS mengikut negara Malaysia, Vietnam dan Kemboja. Di Malaysia, Rampai-Niaga mengendalikan francais TBS, manakala Ola Beleza pula untuk jenama yang akan dibangunkan selepas ini iaitu Natura.
Jenama Natura
Natura adalah jenama di bawah syarikat tersenarai awam global Natura Cosmeticos S.A. yang berasal dari Brazil. Syarikat ini memiliki sebahagian pegangan dari jenama produk penjagaan diri TBS, Avon dan Aesop di serata dunia. Jenama yang kukuh di peringkat global ini akan dibawa ke Malaysia melalui kemudi InNature Berhad.
Sasaran pengguna
Jenama TBS berada pada kedudukan "masstige", iaitu produk yang memiliki nilai tambah dari perspektif pengguna yang dijual pada harga yang berpatutan. Kedudukan jenama TBS ini menjadikan ia tarikan kepada pengguna dalam kelas pendapatan sederhana.
Ringkasan Maklumat Bisnes
InNature telah menjalankan operasi selama lebih 35 tahun dalam perniagaan produk kosmetik dan penjagaan diri. Mereka memiliki 89 point-of-sale di Malaysia, 34 di Vietnam, dan baru sahaja bermula dengan 1 di Kemboja.
* Point-of-sale merujuk kepada saluran jualan sama ada kedai di shopping mall, lapangan terbang, kedai dalam pasar raya dan kedai di kawasan tumpuan.
- Penyenaraian: Pasaran Utama
- Market Capitalization: RM 480 juta
- PE ratio: 13.3 (FYE 2018)
- Polisi Dividen: 30%
- Aktiviti: Perniagaan runcit melalui francais The Body Shop ketika ini dan Natura di masa akan datang
- Sektor perniagaan: Produk kosmetik dan penjagaan diri / Cosmetic and personal care (CPC)
- Operas perniagaan:
- The Body Shop:
- Malaysia - 89 point-of-sale
- Vietnam - 34 point-of-sale
- Kemboja - 1 point-of-sale
- Natura:
- Malaysia
- The Body Shop:
- Status syariah: Disahkan patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti.
Prestasi Bisnes
InNature telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM 159.9 juta pada tahun kewangan 2016 dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM 26.8 juta. Margin keuntungan daripada tahun 2016 ini adalah pada 16.9% selepas cukai.
Pendapatan InNature ini menunjukkan peningkatan setiap tahun secara konsisten dan mencatatkan sebanyak RM 184.5 juta pada tahun kewangan 2018. Ini adalah bersamaan dengan peningkatan sebanyak 15.4% dalam jangka masa 2 tahun.
Keuntungan selepas cukai pula menunjukkan angka yang memberangsangkan iaitu RM 45.6 juta. Ini adalah bersamaan dengan peningkatan sebanyak 70.1% dalam tempoh 2 tahun. Keuntungan ini juga menunjukkan margin yang lebih baik iaitu 19.6% selepas cukai.
Tempoh kewangan untuk tahun terbaru iaitu FPE 2019 untuk InNature adalah sehingga September 2019. Berbanding dengan tahun 2018, ia menunjukkan sedikit penurunan. Namun, dalam tempoh yang sama, mereka menunjukkan peningkatan aset daripada RM 87.7 juta pada FPE 2018 kepada RM 96.1 juta pada FPE 2019.
Difahami bahawa mereka sedang giat mengembangkan perniagaan mereka dengan TBS di Kemboja dan juga Natura yang sudah pun memulakan gerakan dalam tempoh laporan kewangan tersebut. Aset dijangka akan terus meningkat kepada RM 129.6 juta selepas IPO mengikut perancangan yang tertulis dalam prospektus.
Analisis Pasaran untuk InNature
Francais The Body Shop yang dikendalikan InNature berada dalam pasaran "masstige" iaitu barangan pengeluaran besar-besaran (mass-produced) yang dipasarkan sebagai berprestij. Kelas produk ini menjadi tarikan kepada golongan kelas berpendapatan sederhana.
TBS juga menerima persepsi sebagai syarikat yang menggunakan bahan natural. Persepsi ini sedikit sebanyak dapat menarik minat pengguna yang mempunyai kesedaran terhadap alam sekitar yang juga menjadi trend sejak kebelakangan ini.
InNature bersaing di bawah sektor cosmetic and personal care (CPC). Perniagaan InNature disaingi oleh syarikat-syarikat seperti Estee Lauder, L'Oreal dan Shiseido yang juga memiliki pelbagai aneka jenama di bawah mereka. Jika perhatian diberikan kepada syarikat yang mengedarkan jenama tunggal, TBS bersaing dengan SKII (P&G), Clarins, Bath & Body Works, KOSE, Elianto dan lain-lain.
Daripada laporan penyelidikan pasaran, InNature mendahului segmen jenama tunggal di Malaysia dengan bahagian pasaran sebanyak 11%. Peratusan ini adalah berdasarkan jualan sebanyak RM 1.48 bilion setakat FPE 2019. Mereka juga mempunyai point-of-sale terbanyak di antara pesaing dalam segmen yang sama.
Di Vietnam, mereka adalah antara pemain yang mendahului pasaran CPC. Mereka memiliki kehadiran online yang kukuh dan juga kedai-kedai fizikal di bandar-bandar utama. Tabiat membeli di Vietnam menunjukkan pengguna lebih gemar berkunjung ke kedai di bandar utama berbanding di shopping mall. Ini mungkin penyebab kepada dana modal yang lebih banyak di Vietnam berbanding Malaysia dan Cambodia dalam bahagian "Penggunaan Dana IPO" di bawah.
Secara keseluruhan, Frost & Sullivan menjangkakan prospek yang baik untuk InNature dengan perniagaan yang dijalankan di Malaysia, Vietnam dan Kemboja di masa akan datang. Populasi yang semakin tinggi, lebihan pendapatan, dan kesedaran yang lebih tinggi terhadap kecantikan menjadi faktor kepada jangkaan positif ini.
Penggunaan Dana IPO
InNature akan mengumpul dana sebanyak RM 50.4 juta. Dana ini akan dibahagikan kepada perkara seperti di bawah.
Jenis Dana | TBS yang kini berjalan (RM juta) | Natura yang akan berjalan (RM juta) | Peratus (%) | Jangkaan masa penggunaan dana dari tarikh IPO |
---|---|---|---|---|
Perbelanjaan modal | 27.3 | 7.2 | 68.5 | Dalam 48 bulan |
Modal kerja | 1.6 | 2.2 | 7.5 | Dalam 36 bulan |
Pembangunan perniagaan baru | - | 5.7 | 11.3 | Dalam 48 bulan |
Perbelanjaan untuk IPO | - | - | 12.7 | Dalam 3 bulan |
Kebanyakan dana IPO InNature akan dibelanjakan ke arah pengembangan perniagaan. Perbelanjaan modal akan menumpukan kepada infrastruktur aset seperti menaik taraf pejabat TBS di Ho Chi Minh City, pengubah suaian kedai, dan pembukaan kedai-kedai baru di tiga negara operasi TBS yang dikemudi oleh InNature. Untuk perniagaan Natura, sebanyak 6 point-of-sale baru akan dibangunkan, dengan sasaran pembukaan 2 point-of-sale setahun.
Selain perbelanjaan modal, dana untuk modal kerja akan digunakan untuk membeli inventori Natura dan khidmat pergudangan di Malaysia. Dana pembangunan untuk jenama Natura pula akan ditumpukan kepada aktiviti pemasaran dan upacara pelancaran.
Kesimpulan
Markah: 4/4
Berdasarkan maklumat dari prospektus, kami berikan IPO InNature dengan markah sebanyak 4/4. Syarikat ini mempunyai fundamental dan juga menunjukkan perkembangan yang bagus. InNature juga akan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dalam beberapa tahun selepas IPO ini dengan tujuan yang telah dibincangkan tadi.
Kesedaran terhadap produk natural yang semakin tunggi sejak kebelakangan ini boleh memberikan InNature satu lagi kelebihan kepada syarikat ini.
Sekiranya anda melihat pada laporan penyelidikan pasaran, anda juga akan mendapati bahawa CAGR untuk industri ini adalah sebanyak 17%. Maka, ia adalah satu sisi positif yang boleh ditunggu-tunggu.