Butiran IPO
JPG akan mula disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia bermula 9 Julai 2024. Menurut prospektus syarikat, sebanyak 875 juta saham baru akan diterbitkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 312.5 juta akan diagihkan kepada pemegang saham melalui MITI, manakala 485 juta saham akan dikhususkan secara persendirian untuk pelabur terpilih. Selain itu, sebanyak 50 juta saham akan dibahagikan kepada orang awam melalui pengundian dan baki sebanyak sebanyak 27.5 juta akan dikhususkan untuk pengarah dan pekerja yang layak. Saham JPG ditawarkan pada harga RM0.84 seunit dan disahkan patuh Syariah oleh Securities Commission.
Latar Belakang Syarikat
Diperbadankan pada tahun 1978, syarikat ini bermula dengan nama Yule Catto Plantations Sdn Bhd. Pada tahun 1992, syarikat ini sekali lagi menukar nama ke Mahamurni Plantations Sdn Bhd kemudian, pada tahun 2023, namanya berubah kepada nama terkini Johor Plantations Group Berhad. JPG merupakan syarikat yang terlibat dalam aktiviti upstream perladangan kelapa sawit yang berpangkalan di Johor. Antara aktiviti yang dijalankan penanaman kelapa sawit, penjualan mesin pertanian dan benih tanaman serta membekalkan tenaga diperbaharui khususnya gas biomethane yang dihasilkan melalui sisa minyak kelapa sawit. Melalui IPO ini, JPG bercadang untuk mengembangkan aktiviti perladangan kelapa sawit ke arah aktiviti downstream.
Prestasi Kewangan Syarikat
Laporan kewangan yang dipaparkan di dalam prospektus menunjukkan pendapatan syarikat JPG meningkat dari tahun 2020 hingga 2022. Namun, dari tahun 2022 ke tahun 2023, pendapatan JPG mencatatkan penurunan yang drastik dengan nilai kejatuhan menghampiri RM500 juta. Keadaan ini disebabkan oleh kejatuhan jumlah penjualan CPO (crude palm oil) dan kejatuhan harga sawit. Selain itu, keadaan cuaca dan banjir turut memberi kesan kepada kualiti buah yang dikait. Dari segi keuntungan yang diperoleh, JPG dilihat mampu meningkatkan keuntungannya dari tahun 2020 hingga 2022, namun turut jatuh secara mendadak untuk tahun berikutnya, 2023.
Jika dilihat dari segmen, aktiviti penjualan CPO merupakan penyumbang utama kepada pendapatan JPG dengan nilai pendapatan dicatatkan melebihi 80% dari keseluruhan pendapatan tahun 2020 hingga 2023. Manakala segmen yang menjadi penyumbang kedua terbesar ialah segmen PK (palm kernel) iaitu pemprosesan benih buah sawit kepada minyak PK. Menariknya, untuk tahun 2023, JPG memperkenalkan satu segmen yang baru iaitu tenaga diperbaharui dengan pendapatan dicatatkan untuk tahun pertama sebanyak RM600 ribu.
Penggunaan Dana
Untuk penggunaan dana yang diterima, JPG memfokuskan 50.5% atau RM196 juta untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan tumpuan utama kepada pembinaan kompleks integrasi kelapa sawit yang merupakan langkah awal kearah segmen downstream. Dengan pembinaan kompleks ini, JPG berharap dapat menjadikannya fasiliti berskala besar yang akan menyatukan beberapa fasa dalam pemprosesan kelapa sawit di satu lokasi tunggal. Antara yang akan dilakukan di kompleks ini ialah POM (palm oil mill), penapisan untuk aktiviti downstream, dan juga pemprosesan tenaga diperbaharui. Berikut merupakan butiran anggaran kos yang terlibat dalam pembinaan kompleks ini:
Di samping itu, JPG juga bercadang untuk menggunakan sebanyak 43% atau RM167 juta dari dana bagi tujuan pembayaran hutang. Ia melibatkan 2 jenis pinjaman utama iaitu STF-i dan TF-i yang mencecah sebanyak RM1.5 bilion dan RM0.5 bilion. Akhir sekali, baki dana akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian iaitu sebanyak 4.8% atau RM18.7 juta serta dana kerja sebanyak 1.7% atau RM6.7 juta.
Analisis Bisnes & Industri:
JPG secara jelas terlibat dalam industri perladangan dengan fokus utama kepada aktiviti melibatkan penanaman dan juga pemprosesan buah kelapa sawit khususnya CPO.
Prestasi Industri
Industri kelapa sawit dijangka akan terus meningkat sehingga tahun 2040. Menurut data yang dikeluarkan oleh Glenauk Economics, pengeluaran minyak kelapa sawit meningkat dari tahun 2000 ke 2020 dengan nilai pertumbuhan CAGR 6.3%. Glenauk turut melaporkan, CAGR untuk tahun 2020 hingga 2030 akan turun ke paras 1.2% dan untuk CAGR tahun 2030 hingga 2040 akan naik sedikit ke paras 1.4%. Ini disebabkan oleh wujudnya persaingan dengan minyak yang boleh menggantikan minyak kelapa sawit seperti minyak kacang soya dan minyak bunga matahari. Selain itu, Malaysia sebagai pengeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar selepas Indonesia dijangka akan mengalami masalah kekurangan tenaga kerja dan juga peningkatan pokok kelapa sawit yang berumur.
Walau bagaimanapun, harga CPO di Malaysia dijangka terus meningkat dan akan mencapai paras tertinggi iaitu RM5500/tan pada tahun 2034 sebelum jatuh semula sehingga tahun 2040. Namun, pelbagai risiko perlu diambil kira yang akan menentukan prestasi industri ini antaranya faktor cuaca dan risiko kelestrarian yang mana sejak akhir-akhir ini dilihat peningkatan dari segi kesedaran orang ramai berkaitan kelestarian alam.
Perbincangan
Sebagai rumusan, JPG merupakan pemain dalam indutri perladangan kelapa sawit dengan fokus pasaran di Johor. Dari segi kewangan, pendapatan JPG meningkat dari tahun 2020 hingga 2022 namun turun secara mendadak iaitu menghampiri RM500 juta untuk tahun berikutnya. Kejatuhan ini disebabkan oleh kejatuhan penjualan penjualan CPO iaitu segmen utama bagi syarikat ini dan turut menyebabkan keuntungan syarikat berkurang. Dari perspektif penggunaan dana, JPG memfokuskan untuk membina sebuah kompleks mega yang akan memulakan langkah JPG ke arah aktiviti downstream dalam pemprosesan kelapa sawit. Kompleks ini juga merupakan langkah syarikat untuk ke arah mengekalkan kelestarian alam dan juga meningkatkan kecekapan pemprosesan di satu tempat yang sama. Selain itu, dana yang diterima juga turut tertumpu kepada pembayaran sebagian hutang yang berjumlah RM2.0 bilion. Apa pendapat anda tentang prestasi syarikat JPG selepas disenaraikan nanti? Sama-sama kita nantikan.