IPO

31-MAY-2024

IPO KTI Landmark Berhad - Pemaju Hartanah Bersepadu


FA    


 

 Butiran IPO Syarikat KTI

 

 

Berdasarkan prospektus syarikat, KTI bakal menerbitkan sebanyak 160 juta saham baharu serta 45 juta saham sedia ada ditawarkan untuk jualan pada harga terbitan RM0.30 seunit.

Daripada 160 juta saham baharu tersebut, sebanyak 40 juta saham disediakan untuk rakyat Malaysia melalui pengundian manakala 40 juta saham lagi diperuntukkan kepada pengarah yang layak serta pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan KTI di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu. Baki 80 juta saham selebihnya dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI).

Daripada 45 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan pula, 20 juta saham diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI. Baki 25 juta saham lagi dikhususkan secara persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Latar Belakang Perniagaan Syarikat

KTI ditubuhkan di Malaysia pada 10 Mac 2016 dengan nama KTI Property Berhad sebagai syarikat awam berhad. Syarikat ini kemudian bertukar nama kepada KTI Landmark Berhad pada 14 Julai 2022. Melalui anak syarikatnya, KTI terlibat dalam aktiviti penyediaan perkhidmatan pembinaan reka bentuk dan binaan serta pembangunan hartanah.

KTI bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri Sabah, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) yang menawarkan perkhidmatan pembinaan reka bentuk Projek pembangunan hartanah.

Projek pembinaan yang mereka jalankan terdiri daripada hartanah kediaman, hartanah komersial, dan pembangunan bercampur.

Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:

 

 

Prestasi Kewangan Syarikat

 

 

Berdasarkan laporan kewangan tahunan dalam prospektus syarikat, KTI merekodkan hasil jualan yang meningkat sepanjang tahun 2020 hingga 2023. Keuntungan selepas cukai mereka juga menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 hingga 2021. Walau bagaimanapun, angka ini menurun pada tahun 2022 terutamanya disebabkan oleh penurunan jumlah pendapatan lain serta kos jualan dan pemasaran yang tinggi. KTI kemudian berjaya meningkatkan semula keuntungan mereka pada tahun 2023.

Pendapatan KTI diperoleh daripada beberapa segmen seperti berikut:

1. Penyediaan perkhidmatan pembinaan reka bentuk dan binaan kepada LPPB:

2. Pembangunan hartanah sendiri:

 

 

Di sini kita dapat lihat bahawa sepanjang tahun kewangan berakhir 2020-2023, pendapatan syarikat kebanyakannya diperoleh daripada penyediaan perkhidmatan pembinaan reka bentuk dan binaan kepada LPPB terhadap pembangunan yang sedang berlangsung. Projek ini menyumbang sebanyak 76.7% kepada pendapatan syarikat pada tahun kewangan berakhir 2023.

 

Penggunaan dana IPO

KTI menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM48 juta melalui IPO ini. Dana tersebut akan digunakan untuk tujuan seperti berikut:

 

 

KTI merancang untuk menggunakan majoriti daripada dana tersebut iaitu sebanyak 43.1% untuk menambah keperluan modal kerja untuk projek The Logg seperti kos pembinaan (kos bangunan dan infrastruktur), bayaran kepada perunding dan profesional, serta bayaran kepada pihak berkuasa tempatan untuk projek yang sedang berjalan.

The Logg merupakan projek pembangunan bercampur pertama yang dijalankan oleh KTI serta projek pembangunan bersama pertama mereka dengan LPPB. Ia terdiri daripada dua blok kondominium, satu blok pangsapuri, sebuah hotel empat bintang, dan bangunan komersial.

Menurut KTI, peruntukan untuk menambah keperluan modal kerja tersebut akan mengurangkan kebergantungan mereka terhadap pembiayaan luar serta membolehkan mereka menjalankan lebih banyak projek secara serentak.

 

Analisis Bisnes dan Industri

KTI dan anak syarikatnya terlibat dalam industri pasaran hartanah, perhotelan, dan pembinaan.

Prestasi Industri

Industri Pasaran Hartanah di Sabah

 

 

Prestasi industri pasaran hartanah kediaman di Sabah diukur dari segi nilai transaksi. Berdasarkan gambar rajah di atas, nilai transaksi hartanah kediaman secara keseluruhannya meningkat dari RM1.84 bilion (2018) kepada RM2.39 bilion (2023) pada kadar CAGR 5.37%. Walau bagaimanapun, prestasi ini sedikit menurun pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19 yang memberi kesan negatif terhadap ekonomi secara keseluruhan.

 

Industri Perhotelan di Sabah

 

 

Prestasi industri perhotelan di Sabah diukur berdasarkan jumlah pelanggan yang menginap di hotel dalam negeri tersebut. Berdasarkan rajah di atas, industri mencatatkan peningkatan dari tahun 2017 hingga 2018. Kemudian, pada tahun 2019 hingga 2021, prestasi industri ini jatuh merudum, juga disebabkan oleh pandemik COVID-19. Pada tahun 2022, prestasi industri ini semakin pulih. Industri dijangka akan mencatatkan peningkatan yang positif selari dengan pertambahan bilangan pelancong domestik yang hadir ke Sabah.

 

Industri Pembinaan di Sabah

 

 

Industri pembinaan dipengaruhi oleh pembangunan ekonomi negara serta pertumbuhan pasaran hartanah. Pertumbuhan dalam pasaran hartanah secara amnya mengakibatkan peningkatan permintaan untuk aktiviti pembinaan kerana lebih banyak hartanah dibina untuk memenuhi keperluan pasaran.

Prestasi industri pembinaan di Sabah  diukur dengan nilai kerja pembinaan yang telah selesai. Prestasi ini meningkat daripada RM6.90 bilion pada 2018 kepada RM7.33 bilion pada 2023 pada CAGR sebanyak 1.22%, menunjukkan permintaan yang positif untuk aktiviti pembinaan. Walau bagaimanapun, sama seperti industri-industri lain di atas, terdapat penurunan prestasi pada tahun 2020, yang turut disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Pesaing Syarikat

Antara pesaing atau syarikat yang terlibat dalam industri yang sama dengan syarikat KTI adalah seperti berikut:

 

 

Daripada senarai pesaing KTI di atas, syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah ASIAPAC, HOHUP, SBCCORP, dan WMG.

 

Perbincangan

Secara keseluruhan, KTI merekodkan hasil jualan yang meningkat sepanjang tahun 2020 hingga 2023. Keuntungan selepas cukai mereka juga menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 hingga 2021. Walau bagaimanapun, angka ini menurun pada tahun 2022 terutamanya disebabkan oleh penurunan jumlah pendapatan lain serta kos jualan dan pemasaran yang tinggi. KTI kemudian berjaya meningkatkan semula keuntungan mereka pada tahun 2023.

Tambahan lagi, majoriti dana yang diperoleh melalui IPO ini membolehkan KTI menambah keperluan modal kerja bagi projek-projek hartanah yang mereka jalankan seperti The Logg. Namun begitu, syarikat KTI perlu memainkan peranan penting untuk membuktikan keberkesanan segala rancangan dan strategi mereka selepas penyenaraian di Bursa Malaysia.


< kembali ke laman blog utama