IPO

09-FEB-2021

IPO Mobilia - Dana Pembinaan Kilang dan Belian Mesin


FN    


mobilia building
Gambar: Mobilia

Mobilia Holdings Berhad atau Mobilia adalah sebuah syarikat pembuatan perabot yang mempunyai rangkaian eksport yang luas. Butiran IPO Mobilia ini adalah seperti di bawah:

Harga IPO:
RM 0.23
Status syariah:
Tidak dinilai oleh SAC
Pasaran:
ACE Market
Market Capitalisation:
RM 92.0 juta
Nisbah PE:
11.5 (FYE 2019)
Permohonan ditutup:
9 Februari 2020
Cabutan saham:
19 Februari 2020
Tarikh penyenaraian:
23 Februari 2020

Ini adalah IPO kedua untuk disenaraikan di Bursa Malaysia tahun 2021.

Gambaran keseluruhan bisnes Mobilia

IPO Mobilia akan disenaraikan dalam sektor Consumer Products & Services, lebih spesifiknya, dalam sektor perabot. Syarikat ini menawarkan pelbagai jenis perabot rumah dengan rekabentuk yang baharu. Rangkaian eksportnya luas, meliputi Amerika Utara dan Selatan, Afrika Utara dan Timur, Eropah, Australasia dan Asia.

mobilia segmental geographical market

Sebahagian besar jualannya melebihi 60% memasuki pasaran eksport antarabangsa. Terbaru, pandemik Covid menempatkan Amerika Utara sebagai destinasi eksport terbesar syarikat dengan bahagian 45% untuk tempoh kewangan (FPE) 2020.

Mobilia membuat reka bentuk perabot dan proses pengeluaran sendiri. Terdapat sebahagian kerja yang memerlukan perkhidmatan pihak ketiga. Apabila siap, perabot akan dihantar kepada ejen, peruncit dan penjual.

mobilia business model

Mobilia juga menggunakan teknologi automasi dalam pengeluaran mereka. Antaranya untuk menyembur warna, CNC, mesin pengamplas (sanding), pengering UV dan pelbagai lagi. Ada juga mesin baru untuk ditambah ke dalam aset mereka dengan IPO ini.

Segmen utama perabot mereka adalah perabot ruang makan yang menyumbang 55.1% daripada keseluruhan pendapatan. Ia diikuti dengan ruang tamu dengan bahagian 21.7% dan bilik tidur 20.8%. Sebahagian kecil yang lain ditumpukan pada bahagian (alat ganti) perabot dan lain-lain.

segmen produk jualan mobilia
Gambar: Mobilia

Kesan Covid-19 terhadap bisnes

Pandemik Covid-19 telah mengakibatkan kelewatan penghantaran yang melibatkan kerja subkontrak dan juga pembatalan pesanan ke atas Mobilia. Kesemua kelewatan akhirnya dapat disempurnakan, namun terdapat 2 pesanan yang bernilai USD 173 ribu telah dibatalkan.

Acara pameran perabot yang tidak dapat berjalan juga memberi kesan kepada jualan yang berkurang. Kekangan ini mengehadkan aktiviti pemasaran mereka dari mencapai rangkaian potensi yang lebih luas. Pun begitu, pihak pengurusan merasakan tahun kewangan penuh (FYE) 2020 akan menunjukkan pendapatan dan keuntungan yang serupa dengan FYE 2019.

prestasi kewangan disebabkan covid mobilia

Dalam prospektus pula ditulis tentang perancangan mereka untuk membuat ujian RTK untuk semua pekerja asing mereka yang bakal berlangsung bulan Februari ini. Sekiranya terdapat kes dan kilang diarahkan untuk ditutup, mereka berikan anggaran kerugian operasi sebanyak RM 35 ribu sehari.

Prestasi kewangan

Mobilia menunjukkan pertumbuhan yang stabil dari 2017 ke 2019. Namun, kita sedia maklum bahawa Covid-19 telah mengakibatkan kesan kewangan yang buruk bagi kebanyakan sektor perniagaan, terutamanya bagi tahun 2020. Mobilia turut terkesan dengan kelembapan ekonomi ini.

prestasi kewangan mobilia

Dari sini, terdapat sebuah kesukaran untuk menilai prestasi kewangan di masa hadapan. Kita tak dapat gambaran bagaimana Covid-19 telah memberi kesan kepada Mobilia secara keseluruhannya. Maka, ia bergantung kepada strategi mereka menyesuaikan diri dengan keadaan dunia sekarang.

Strategi IPO dan masa depan

Dana IPO sebanyak RM 13.8 juta ini akan digunakan untuk tujuan tersebut:

Dana Nilai (Juta) Peratusan
Pembinaan bangunan 5.8 42.03
Pembelian mesin 1.3 9.42
Bayaran hutang bank 1.8 13.04
Modal kerja 1.9 13.77
Perbelanjaan penyenaraian 3.0 21.74
Jumlah 13.8 100.0

Hampir separuh daripada perbelanjaan digunakan untuk aset baru, iaitu bangunan dan pembelian mesin. Dua fasa pembangunan yang akan berjalan, dan dijangka berjalan menjelang 2 tahun selepas tersenarai. Bangunan yang nak dibina ialah pejabat dan ruang pameran yang bernilai RM 2.5 juta. Fasa pembinaan seterusnya adalah penambahan blok kilang untuk menambah kapasiti pengeluaran yang bernilai RM 3.3 juta.

Mesin yang ingin dibeli ialah CNC, pemotong papan automatik, dan pembentang fabrik automatik. Kita boleh lihat syarikat ini mengutamakan kecekapan pengeluaran dengan pengambilan pelbagai mesin automasi kilang.

Analisis bisnes dan industri Mobilia

Mobilia akan tersenarai dalam Pasaran ACE di Bursa Malaysia dengan menjalankan aktiviti mereka bentuk, mengeluarkan dan mengeksport perabot ke serata dunia. Malaysia sendiri merupakan negara ke-11 terbesar di dunia sebagai pengeksport perabot.

Di Malaysia sendiri, pemain industri untuk sektor perabot ini mempunyai senarai yang panjang. Ini meletakkan Mobilia dengan bahagian pasaran bersaiz 0.58%, iaitu RM 50.17 juta nilai eksport daripada keseluruhan RM 8.71 bilion eksport perabut kayu di Malaysia, tahun 2019.

Gambar: Portfolio iSaham, disusun mengikut market cap

Prospek ke hadapan untuk Mobilia dilihat cerah dengan peningkatan populasi dunia dan beberapa perjanjian perdagangan (FTA) yang terjalin secara dua hala dan serantau antara Malaysia dan kuasa ekonomi yang lebih luas.

Antara statistik yang kita boleh lihat adalah pada CAGR penggunaan perabot (2.8%), dan perabot berasaskan kayu (2.0%) dari 2017 hingga 2019.

mobilia prospects outlook
Corporate presentation, Mobilia

Eksport perabot Malaysia membesar pada CAGR 5.0% dari 2017 hingga 2019. Secara khususnya perabot berasaskan kayu di Malaysia menunjukkan CAGR untuk eksport pada 7.3%.

Perbincangan

Skor iSaham: 4/4

IPO ini diberikan penilaian yang baik yang didasari peningkatan kewangan yang baik. Prospek industri juga dilihat sebagai positif seperti yang dibincangkan dalam segmen analisis bisnes tadi. Sebahagian besar dana IPO digunakan untuk pertumbuhan yang agresif.

Risiko yang ada dan perlu diteliti untuk Mobilia ialah persoalan sama ada strategi agresif ini akan membuahkan hasil. Dengan kapasiti kilang yang makin besar, kos akan bertambah untuk overhead. Sekiranya kadar penggunaan kilang adalah rendah, ia boleh memberi kesan negatif kepada syarikat. Pameran perabot yang tak dapat dijalankan juga mengehadkan aktiviti pemasaran syarikat.


< kembali ke laman blog utama