Econframe Berhad atau Econframe adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam penyediaan sistem pintu lengkap untuk pemaju hartanah. Sistem pintu ini merangkumi bingkai pintu besi (baca: bingkai pintu diperbuat dari besi), set pintu rintangan api, pintu dan kelengkapan pintu. Syarikat ini bakal menerbitkan IPO dengan butiran di bawah:
- Harga IPO:
- RM 0.28
- Status syariah:
- Diluluskan oleh SAC
- Pasaran:
- ACE
- Market Capitalisation:
- RM 91 juta
- Nisbah PE:
- 11.2 (FYE 2019)
- Permohonan dibuka:
- 5 Oktober 2020
- Permohonan ditutup:
- 12 Oktober 2020
- Tarikh penyenaraian:
- 27 Oktober 2020
Gambaran keseluruhan bisnes Econframe
Econframe telah beroperasi sejak tahun 2001 dengan aktiviti pembuatan bingkai besi pintu dan tingkap. Bingkai pintu dan tingkap besi dijual di bawah nama ECONFRAME dan DUROE untuk set pintu rintangan api.
Pasaran utama Econframe ialah Malaysia. Produk syarikat dijual ke syarikat kontraktor atau bahagian pemerolehan bahan pembinaan pemaju untuk projek-projek perumahan, komersial dan industri. Jualan produk ini adalah berasaskan projek.
Bahan pembuatan yang dibeli oleh Econframe adalah untuk pembuatan dan dagangan. Antara barangan yang mereka beli ialah gegelung besi, kelengkapan pintu, papan kalis api, plywood, pintu kayu dan bahan penebat. Kebanyakan pembekal mereka adalah dari Malaysia. Namun, papan rintangan api dan kelengkapan pintu iaitu ironmongery ada yang dibeli dari China.
Kesan Covid-19 terhadap bisnes
Selepas PKP dikuatkuasakan, Econframe mengalami kelewatan dalam pengeluaran yang secara langsungnya melewatkan penghantaran. Projek pembinaan yang turut mengalami kelewatan juga mengakibatkan penghantaran untuk dilewatkan seketika.
Ketika ini juga, jualan juga mengalami kelembapan. Walaubagaimanapun, setakat ini tiada pesanan yang dibatalkan oleh pelanggan.
Di kala pandemik ini berlaku juga, Econframe telah membuat modul pembasmi kuman yang kebanyakannnya digunakan di tapak pembinaan. Ianya merupakan salah satu langkah adaptasi yang mereka jalankan di kala perubahan paradigma ekonomi ini.
Pada kemuncak pandemik ini pada April 2020, Econframe mengalami kerugian dalam anggaran RM 0.38 juta kerana masih perlu untuk keluarkan kos overhead walaupun pengeluaran tidak berjalan. Namun, mereka melihat pengeluaran dan penghantaran yang beransur pulih apabila PKP semakin dilonggarkan untuk pemulihan ekonomi.
Prestasi kewangan
Jika melihat pada 3 tahun prestasi kewangan dari 2017 hingga 2019, kita dapat lihat bahawa pendapatan dan keuntungan Econframe semakin meningkat dengan konsisten. Namun, seperti yang dinyatakan dalam prospektus, syarikat ternyata terkesan dengan wabak Covid di mana permintaan berkurang dengan ketara. Dalam rekod kewangan terbaru, tahun kewangan Mei 2020 dibandingkan dengan 2019. Dari sini, kita dapat lihat penurunan keuntungan selepas cukai dari RM 5.6 juta pada 2019 ke RM 4.2 juta pada 2020.
Strategi IPO
Dana IPO sejumlah RM 18.2 juta akan digunakan untuk tujuan tersebut:
Dana | Nilai (Juta) | Peratusan (%) |
---|---|---|
Pembelian tanah dan pembinaan kilang pengeluaran baru | 5.0 | 27.5 |
Automasi proses pengeluaran | 4.0 | 22.0 |
Modal kerja | 6.2 | 34.1 |
Perbelanjaan penyenaraian | 3.0 | 16.4 |
Setakat ini, tanah fasiliti Econframe adalah sebesar 39,000 kps yang merangkumi pejabat, kilang dan gudang. Isu dengan kilang sekarang ialah ianya kurang optimum untuk barangan jualan Econframe yang besar.
Sebanyak RM 5 juta akan digunakan untuk membiayai kos pembelian tanah baru sebesar 65,000 kps yang merangkumi kilang baru sebesar anggaran 55,000 kps, gudang, D&D, dan ruang pejabat. Kilang baru ini dijangka beroperasi secara penuh menjelang separuh kedua tahun 2022. Sebanyak RM 3.6 juta pula akan digunakan dari duit syarikat sedia ada dan/atau pinjaman bank untuk kerja pembinaan dan bayaran professional.
Econframe juga berhasrat untuk lebih mengautomasikan fasiliti mereka dengan pembelian robotic welding line dan juga CNC bending machine.
Selain dari itu, dana IPO ini akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
Analisis bisnes dan industri Econframe
Saiz dan prestasi industri
Industri pintu dan bingkai pintu besi (Malaysia), CAGR 2016 - 2018: 4.86%
Industri pintu rintangan api dan bingkai pintu besi (Malaysia), CAGR 2016 - 2018: 9.36%
Pemacu utama industri
- Penggunaan bingkai pintu besi yang meningkat atas sebab ketahanan dan kecekapan kos memacu permintaan bingkai pintu besi
- Kriteria pengawalseliaan untuk mempunyai elemen rintangan api memacu permintaan pintu rintangan api
- Permintaan hartanah meningkatkan permintaan bingkai pintu besi, pintu dan kelengkapan pintu
Cabaran dan risiko utama industri
- Bisnes yang dijalankan oleh Econframe adalah bergantung kepada pasaran hartanah
- Econframe membeli produk besi yang terdedah kepada turun naik harga besi global
Pemain industri utama
Jika dibandingkan dengan pemain industri lain, Econframe mempunyai margin keuntungan yang jauh lebih tinggi. Sebagai perbandingan, syarikat yang mempunyai perniagaan yang agak serupa adalah Ajiya.
Kesimpulan
Skor iSaham: 4/4
Satu perkara yang membuatkan kita perlu berjaga-jaga ialah kesan Covid terhadap Econframe dan industri hartanah secara umumnya. Selain itu, banyak perkara positif yang kita boleh lihat dari IPO ini seperti margin keuntungan yang tinggi, strategi IPO yang agresif dan bisnes yang berkembang sebagai poin utama di sini. Untuk cara-cara membeli IPO, anda boleh pergi ke tutorial di link di bawah ini.
Tutorial membeli IPO dengan Maybank (video)