IPO

20-JUN-2024

IPO GOHUB: Penyedia Perkhidmatan IT Sektor Pengangkutan


AA    


Butiran IPO Syarikat GOHUB
 

Berdasarkan prospektus syarikat, Go Hub Capital Berhad bakal menerbitkan sebanyak 107.18 juta saham baharu pada harga terbitan RM0.35 seunit. Daripada, jumlah tersebut, 20 juta saham baharu diperuntukkan untuk orang awam melalui kaedah undian manakala sebanyak 12 juta saham diperuntukkan untuk pengarah yang layak serta pekerja syarikat. Baki sebanyak 75.18 juta saham akan dikhususkan secara persendirian kepada pelabur terpilih. 
 

Latar Belakang Perniagaan Syarikat


Diperbadankan pada tahun 2022, GOHUB merupakan sebuah syarikat pemegang pelaburan dengan kepakaran utama dalam dalam menyediakan servis IT khususnya untuk sektor pengangkutan. Antara servis yang ditawarkan ialah sistem perisian untuk segmen bas dan juga rel. Perkhidmatan lain termasuk servis penyelenggaraan dan juga sokongan untuk perkhidmatan terminal yang salah satunya dilakukan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Model perniagaan syarikat GOHUB adalah seperti yang berikut:


Prestasi Kewangan Syarikat


Berdasarkan laporan prospektus, GOHUB merekodkan peningkatan dari segi pendapatan dari tahun 2020 higga 2023. Jika dilihat dengan lebih mendalam, peningkatan yang ketara direkodkan dari tahun 2022 ke 2023 dengan kenaikan melebihi 60%. Menurut prospektus, faktor utama kenaikan pendapatan ini disebabkan dari perolehan kontrak untuk segmen AFC (automated fare collection system) rel operator bernilai RM 17.85 juta.

 



Segmen TOS (terminal operation service) untuk bas dan rel merupakan penyumbang utama pendapatan GOHUB untuk tahun 2020 hingga 2022.  Untuk tahun 2023, segmen AFC rel menjadi sumber utama pendapatan syarikat ini. Kejatuhan segmen TOS (terminal operation system) dapat diperhatikan dari tahun 2022 hingga 2023. Salah satu punca kejatuhan segmen ini disebabkan ketiadaan perolehan kontrak baru selepas kerja pemasangan sistem integrasi terminal bas Gombak siap pada tahun 2021.

 


Penggunaan Dana IPO

 

GOHUB bercadang untuk menggunakan majoriti daripada dana yang diterima dari penyenaraian untuk mengembangkan lagi bisnes semasa dengan 65.88% atau RM24.715 juta. Antara langkah yang akan dilakukan untuk merealisasikan cadangan adalah dengan menambah keterlibatan dalam segmen bas dan juga rel di kawasan baru dan juga mengembangkan servis IT dalam segmen baharu iaitu segmen feri.

GOHUB turut bercadang untuk menambah bilangan pekerja mahir dengan memfokuskan untuk merekrut sebanyak 49 tenaga kerja yang baru seperti jurutera perisian, dan juga juruteknik. Di samping itu, RM6.50 juta akan digunakan untuk membeli kelengkapan dan juga peralatan IT yang baru dengan harapan untuk menambah baik sistem BOS (bus operating system) sedia ada dengan pengenalan sistem tanpa tunai atau pembayaran terbuka.

Sebagai tambahan, syarikat ini turut merancang untuk membeli Star Central Office Tower bernilai RM3.72 juta di Cyberjaya, yang akan menjadi ibu pejabat GOHUB yang baru. Di samping itu, untuk menambah kecekapan operasi, GOHUB akan menggunakan RM1.90 juta dari dana untuk membeli teknologi AI yang memfokuskan kepada enjin Chatbot AI. Akhir sekali, GOHUB akan menggunakan sebanyak RM4.00 juta untuk membayar hutang pinjaman bank dan amaun yang sama akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.
 

Analisis Bisnes & Industri:

GOHUB secara jelas terlibat dalam menyediakan perkhidmatan IT kepada industri bas juga rel. Antara produk utama syarikat ini ialah sistem perisian seperti TOS, AFC dan juga BOS.
 

Prestasi Industri


Laporan IMR dari prospektus menunjukkan peningkatan dari segi pendapatan tahun ke tahun industri servis IT. Mengikut rekod, saiz pasaran servis IT di Malaysia bernilai RM19.98 bilion pada tahun 2022 meningkat 6.6% dari tahun sebelumnya. Data yang dikeluarkan DOSM meramalkan angka ini dijangka terus meningkat sehingga tahun 2028. Walaupun begitu, jika dilihat dari perspektif CAGR, industri ini dilihat tidak mengalami kenaikan yang konsisten dengan sedikit kejatuhan dilihat dari tahun 2022 ke 2023.

 

 

Perbincangan
 

Secara keseluruhan, GOHUB menyediakan perkhidmatan IT dengan fokus utama kepada sektor pengangkutan bas dan juga rel. Dengan penyenaraian IPO ini, GOHUB akan mengembangkan lagi servisnya ke segmen feri. Dari segi kewangan, syarikat GOHUB dilihat mampu menjana pendapatan yang stabil dengan peningkatan dilihat dari tahun 2020 hingga 2023. Walau bagaimanapun, syarikat ini turut mencatatkan kejatuhan untuk margin keuntungan kasar dan bersih khususnya untuk 2022 ke 2023.

Jika dilihat kepada penggunaan dana yang akan diterima melalui IPO ini, syarikat ini memfokuskan untuk mengembangkan bisnes terkini dengan pengembangan segmen feri, pembelian bangunan pejabat dan juga peralatan IT yang baru seperti enjin Chatbot AI. Langkah ini secara jelas merupakan langkah positif untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan dan kecekapan operasi GOHUB. Oleh itu, GOHUB perlu membuktikan keberkesanan strategi mereka apabila disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia tak lama lagi.
 


< kembali ke laman blog utama