IPO

20-JUN-2024

IPO OFS: Penyedia Makanan Laut Sejuk Beku


AA    


 

Butiran IPO Syarikat Ocean Fresh Berhad


Menurut prospektus, OFS akan mula disenaraikan bermula 4 Julai 2024 di pasaran ACE Bursa Malaysia. Untuk IPO ini, OFS menerbitkan sebanyak 50.5 juta saham baharu yang mana sebanyak 37.83 juta akan dikhususkan secara persendirian untuk pelabur terpilih. Selain itu, sebanyak 10.51 juta akan diberikan secara undian kepada orang awam manakala 1.71 juta saham akan di dikhaskan untuk pengarah dan pekerja yang layak. Di samping itu, syarikat ini turut disahkan patuh Syariah oleh Securities Commissions.

 

Latar Belakang Perniagaan Syarikat

OFS diasaskan  pada tahun 2002 oleh Tan Song Hoak dan Kee Yow Lee. Syarikat ini terlibat dalam pemprosesan dan penjualan makanan laut sejuk beku. Antara produk utama OFS ialah otoshimi dan surimi. Syarikat ini telah memperoleh kebenaran untuk mengeksport produk perikanan ke negara-negara luar seperti di Eropah melalui sijil nombor 75 EU daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Antara negara-negara yang  telah menjadi tapak kepada syarikat ini ialah Itali, Sepanyol, Portugal, Korea, Singapura dan Indonesia.
 

Model perniagaan syarikat adalah seperti berikut:

 

 

Prestasi Kewangan Syarikat

 

 

Menurut rekod kewangan syarikat, OFS mencatatkan peningkatan dari segi pendapatan tahun dari 2020 hingga 2023. Peningkatan yang tidak terlalu ketara direkodkan dari tahun 2022 hingga 2023 manakala untuk 2020 ke 2021, peningkatan yang drastik direkodkan kerana peningkatan permintaan dari negara Turki dan juga Thailand. Jika dilihat dengan lebih mendalam, terdapat sedikit kejatuhan untuk pendapatan jika dibandingkan 2021 ke 2022, tetapi OFS tetap mampu untuk membuat kenaikan dari segi keuntungan kasar.

 

Dari perspektif segmen geografi, negara China merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan OFS dengan merekodkan pendapatan sebanyak 33.49% atau RM53.4 juta. Ia diikuti dengan negara Turki dan Malaysia iaitu sebanyak 24.83% dan 17.21% atau RM39.57 juta dan RM27.44 juta. Menurut sumber, produk cengkerang iaitu seperti sotong, sotong kurita dan kerang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan OFS sejak 2021. Untuk tahun 2023, produk ini menyumbang sebanyak 64.33% kepada pendapatan syarikat atau RM102.59 juta.

 

Penggunaan Dana IPO

 

OFS bercadang untuk memfokuskan penggunaan dana yang diterima untuk tujuan mengembangkan lagi perniagaan. Majoriti dari dana atau 57.09% dari keseluruhan dana akan digunakan untuk menampung perbelanjaan fasiliti penyimpanan sejuk beku yang baru. Fasiliti yang terletak di Kuantan ini akan dibina bersebelahan dengan kilang B yang sedia ada dan akan meningkatkan pengeluaran dari 1700 tan ke 4700 tan. Antara fasiliti yang dicadangkan ialah 6 unit bilik sejuk beku berkeluasan 2622 meter persegi, ruangan memunggah berkeluasan 240 meter persegi dan juga ruangan pejabat berkeluasan 600 meter persegi.

OFS turut bercadang untuk menggunakan dana yang diterima untuk menampung modal kerja iaitu sebanyak RM2.51 juta atau 17.94% dengan pembelian bahan asas seperti makanan laut segar dan sejuk beku. Di samping itu, baki sebanyak RM3.5 juta atau 24.97% dari keseluruhan dana akan digunakan untuk membayar kos penyenaraian.
 

Analisis Bisnes & Industri

OFS terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pembekalan makanan laut sejuk beku. Jadi, OFS secara jelas terlibat dalam industri makanan dengan fokus utama kepada makanan laut.

Prestasi Industri

Secara kasarnya, industri makanan laut sejuk beku merekodkan pertumbuhan dari tahun 2017 hingga tahun  2023. Bagi rantau Asia Pasifik, industri ini merekodkan pertumbuhan CAGR sebanyak 6.7% bagi tahun 2017 - 2023 dengan jumlah penjualan terkini direkodkan pada tahun 2023 sebanyak RM19.2 bilion. Jika dilihat pada pasaran Malaysia, industri pemprosesan makanan laut merekodkan pertumbuhan dari tahun 2015 hingga 2023. Mengikut statistik, pendapatan industri ini meningkat dengan pertumbuhan CAGR direkodkan dari 2015 hingga 2023 sebanyak 9.7%. Pada tahun 2022, industri ini merekodkan sedikit penurunan disebabkan pengurangan permintaan oleh kerana peningkatan harga makanan laut khususnya ikan. Namun angka ini meningkat semula pada tahun berikutnya dengan merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM6.1 bilion.

 

 

Laporan IMR yang dikeluarkan oleh Providence meramalkan industri ini akan terus berkembang pada kadar CAGR 9.4% untuk tahun 2024 hingga 2026. Walaupun begitu, OFS masih terdedah dengan risiko-risiko seperti  cuaca buruk dan juga keterjaminan kualiti produk yang akan memainkan peranan penting dalam menentukan pertumbuhan industri ini.

 

Perbincangan

 

Sebagai rumusan, OFS merupakan syarikat yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan juga pembekalan makanan laut. Dari segi kewangan, syarikat ini merekodkan kewangan yang stabil dengan pendapatan meningkat dari 2020 hingga 2021, dan 2022 hingga 2023. Walaupun terdapat sedikit penurunan pendapatan dicatatkan bagi tahun 2021 ke tahun 2022, nilainya tidaklah terlalu drastik dan berlaku diseluruh dunia disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Dari segi penggunaan dana pula, OFS dilihat menumpukan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada dengan fokus utama tertumpu pada pembinaan fasiliti sejuk beku yang baru. Menurut prospektus, dengan pembinaan fasiliti ini, ia mampu meningkatkan kadar pengeluaran dari 1700 tan ke 4700 tan. Ini bermakna, jika dibandingkan pengeluaran sekarang, melalui pembinaan IPO ini pendapatan syarikat dijangka meningkat melebihi 2 kali ganda iaitu sekitar RM400 juta. Ayuh sama-sama kita lihat adakah OFS mampu untuk mencapai jangkaan ini.


< kembali ke laman blog utama