BERITA

11-NOV-2021

iSaham Menjalinkan Kerjasama dengan Ethis Ventures dan GlobalSadaqah


FN    


Hari ini bersamaan 11 November 2021, iSaham telah menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) dengan Ethis Ventures Sdn Bhd dan juga GS Global Guardian Sdn Bhd (GlobalSadaqah) untuk menjalin kerjasama strategik bersama kedua-dua pihak.

Ethis Ventures

Ethis Ventures atau Ethis merupakan Pengendali Pasaran Dikenalpasti (RMO) yang diperakui oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menjalankan aktiviti Equity Crowdfunding dan pelaburan lain yang berkaitan. Platform mereka di ethis.co memadankan pelabur dan penderma global secara langsung dengan projek dunia sebenar yang berimpak tinggi dan lestari di Asia Tenggara.

ethis website landing page
Ethis memadankan dana pelaburan dan derma kepada projek kewangan sosial

Antara pelabur yang menggunakan platform ini juga datang daripada latar belakang yang meluas, dari high net worth individuals, yayasan, institusi dan juga korporat.

Sejak kehadiran Covid-19, mereka telah melancarkan produk pelaburan baru popular, antaranya termasuk projek jangka pendek pembiayaan rantaian nilai berpulangan tinggi. Selain itu, platform mereka juga menempatkan peluang pelaburan ekuiti dalam "future tech" untuk syarikat startup di Malaysia.

GlobalSadaqah

GlobalSadaqah ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam membina dan mengendali operasi platform crowdfunding melalui GlobalSadaqah.com. Dengan platform ini, antara usaha yang mereka dapat jalankan ialah program CSR, pengurusan zakat dan juga wakaf. Usaha ini dijalankan dengan kerjasama badan keagamaan, yayasan, bank, korporat dan juga masyarakat awam untuk meningkatkan kecekapan, kelestarian dan impak Kewangan Sosial.

Global Sadaqah
GlobalSadaqah memadankan dana penderma dengan kempen kebajikan serata dunia

Syarikat ini berpangkalan di Malaysia, dan mereka juga memiliki cawangan di Singapura dan Indonesia. Namun, capaian mereka untuk menyampaikan amal kebajikan merentasi sempadan di serata dunia.

Platform mereka di GlobalSadaqah.com memberi kemudahan badan organisasi untuk menghebahkan inisiatif yang mereka ingin jalankan. Inisiatif ini memerlukan sejumlah dana untuk dilaksanakan, oleh itu memerlukan sumbangan masyarakat umum. Sesiapa yang ingin berkongsi sebahagian rezeki mereka untuk berbuat kebaikan pula boleh memberikan sumbangan melalui kempen yang sedia ada di GlobalSadaqah.com.

Dengan ekosistem ini, amalan kebajikan menjadi semakin mudah dijalankan di setiap tahap pelaksanaan. Pihak penganjur boleh menumpukan pada pelaksanaan kempen, individu boleh memberikan sumbangan melalui platform yang disediakan, dan dengan kemudahan ini juga, semoga lebih ramai masyarakat di dunia mendapat manfaat sedikit sebanyak dari kempen yang dijalankan.

Majlis menandatangani MoU

Dalam majlis menandatangani MoU pada pagi tadi, iSaham Sdn Bhd diwakili dengan pengasasnya, Encik Anas Ahmad Faris, manakala bagi pihak organisasi Ethis Ventures Sdn Bhd, diwakili oleh CEO, Encik Wan Mohd Dazriq, dan GlobalSadaqah pula diwakili oleh CEO, Encik Irfan Tarmizi.

MoU

Dari kiri: CEO Ethis Ventures, pengasas iSaham dan CEO GlobalSadaqah.

 

MoU

Inisiatif kerjasama yang dijalankan ini adalah untuk menyediakan pelaburan alternatif kepada para pelabur dan juga dapat memudahkan orang ramai untuk membuat sumbangan bagi yang memerlukan. Menurut pengasas iSaham,

"Kami di iSaham ingin membantu pelabur untuk melabur dengan lebih baik. Jadi, dengan kolaborasi ini, dapat memudahkan kami untuk mencapai misi kami. Dengan Ethis, pelabur tidak terhad untuk melabur hanya pada syarikat yang telah tersenarai, malah mereka kini mempunyai peluang untuk melabur kepada syarikat pemula."

Menurut beliau lagi,

"Melabur dengan baik juga bermaksud melabur pada masa hadapan, iaitu melabur untuk akhirat. Kolaborasi bersama GlobalSadaqah ini dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mempunyai masa hadapan yang lebih baik, bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat jua."

Semoga kerjasama ini dapat berkekalan dan memberi manfaat kepada orang ramai.


< kembali ke laman blog utama