Tarikh 18 Mac 2020 merupakan suatu peristiwa dimana perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam memutuskan rantaian Covid-19. Pandemik ini telah memberi impak terhadap isi rumah, pihak kerajaan, tenaga buruh dan sektor swasta sehingga merencatkan pertumbuhan ekonomi dalam negara. Tamparan hebat Covid-19 ini sekaligus memberi luka yang mendalam bukan sahaja dalam peringkat domestik, malah sehingga peringkat global.
Selepas setahun berlalu, jika diperhatikan terhadap beberapa sektor mengalami fasa menaik dan menurun dalam Bursa Malaysia. Pengenalan vaksin yang dilancarkan di seluruh dunia dijangka akan memberi penawar terhadap pandemik Covid-19, sekaligus akan memberi pertumbuhan positif terhadap sektor ekonomi.
Minyak
Pandemik Covid-19 menyebabkan berlakunya krisis terhadap industri pasaran minyak dunia semakin parah. Pada awalnya, harga minyak dunia telah merosot sehingga AS$16.27 setong berbanding AS$63.27 pada awal Januari 2020. Faktor ini menyebabkan Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) telah mengurangkan jumlah output pengeluaran minyak mentah untuk menstabilkan harga komoditi tersebut.
Krisis ini berlanjutan sehingga tercetusnya perang harga antara Rusia dan Arab Saudi dalam pengeluaran tong minyak. Apabila perintah kawalan dilaksanakan di seluruh dunia, permintaan terhadap minyak berkurangan. Kesannya, negara pengeluar utama seperti Arab Saudi mengalami lambakan sebanyak 10 juta tong minyak sehari.
- Paras Sebelum Covid-19 : AS$63.27 (3 Januari 2020)
- Paras Terendah : AS$16.27 setong (28 April 2020)
- Paras Krisis 1998 : AS$12.50 setong (27 Mac 1998)
- Paras Terkini : AS$65 setong (21 Mac 2021)
Industri Sarung Tangan
Secara keseluruhannya pada tahun 2020 industri sarung tangan merupakan lubuk sektor yang mendapat permintaan yang tinggi sehingga dianggap sebagai industri 5 bintang dalam kalangan pelabur. Hal ini dapat dilihat, pengeluar sarung tangan mendominasi Bursa Malaysia pada 2020.
Dari segi aspek ekonomi, industri sarung tangan getah telah menyumbang hampir 90 peratus daripada pendapatan eksport barangan getah Malaysia. Peningkatan penularan wabak Covid-19 menyebabkan permintaan sarung tangan semakin meningkat. Syarikat utama seperti Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan sentiasa menjadi tumpuan pelabur. Kesannya empat pengeluar sarung tangan utama ini, mencatatkan jumlah urus niaga lebih daripada RM40 bilion (13.5 peratus jumlah transaksi di Bursa Malaysia) sepanjang tahun 2020.
Apa yang menariknya, beberapa buah syarikat seperti Mahsing, Luster, AT, Salcon dan lain-lain yang bukannya aktiviti utama dalam industri sarung tangan turut sama ingin mengembangkan operasi dalam industri ini. Ketika keyakinan vaksin semakin meningkat dalam membasmi Covid-19, hal ini menyebabkan sentimen pelabur terhadap harga saham sarung tangan semakin menurun.
Namun begitu, jumlah pendapatan syarikat dalam industri sarung tangan menunjukkan peningkatan berlipat kali ganda. Misalnya, syarikat Top Glove Corp Bhd mencatatkan pendapatan jualan suku tahunan sebanyak RM5.37 bilion berakhir pada 28 Februari 2021. Ia peningkatan sebanyak 336 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
Teknologi
Sektor teknologi merupakan aspek yang penting dalam pertumbuhan ekonomi dalam sesebuah negara. Teknologi dapat dikategorikan seperti teknologi hijau, semikonduktor, LED, OSAT, software dan lain-lain. Apabila perintah kawalan pergerakan dilaksanakan pada 8 Mac 2020, sektor teknologi tak terkecuali menunjukkan penurunan dan kembali uptrend sehingga 11 Jan 2021. Namun menjelang tahun 2021, saham teknologi kembali melonjak sehingga mencapai ke paras tertinggi pada 91.74 (2 Mac 2021).
Peningkatan ini didorong oleh pemintaan terhadap produk yang berkaitan teknologi seperti kenderaan elektrik, solar dan lain-lain. Misalnya, pasaran semikonduktor sebelum ini hanya melibatkan dalam telefon pintar. Namun pada era ni, pengenalan teknologi dalam kenderaan elektrik telah memberi peningkatan permintaan dalam sektor semikonduktor. Sentimen ini telah menarik minat para pelabur terhadap pasaran saham teknologi.
Work From Home
Apabila perintah kawalan pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan, masyarakat hanya boleh duduk dirumah dan keluar sekiranya mempunyai urusan yang penting. Hal ini menyebabkan, wujudnya istilah work from home bermaksud pekerja bekerja di rumah dengan menggunakan teknologi sedia ada dari rumah. Secara tidak langsung, masyarakat meluangkan banyak masa di rumah sehingga menyebabkan trend beli belah secara online telah melonjak dalam industri e-dagang.
Misalnya industri e-dagang seperti Shopee, Lazada, CJWOW SHOP, dan lain-lain. Pembeli dari e-dagang bukan sahaja membeli barangan keperluan runcit, malah berlakunya perningkatan permintaan dalam peralatan rumah seperti perabot, aksesori komputer, dan lain-lain bertujuan mewujudkan suasana yang kondusif di rumah.
Kesannya, sektor pembuatan kayu, sektor logistik penghantaran barangan dan makanan seperti Grab, Foodpanda, Pos Laju, GDEX, Nationwide Express dan lain-lain telah mendapat permintaan amat tinggi. Misalnya, Pos Laju telah menerima parcel sebanyak 770,000 sehari berbanding kapasiti biasa 350,000 bungkus sebelum PKP dilaksanakan.
Industri Pelancongan
Malaysia merupakan bumi bertuah yang kaya dengan biodiversiti alam, pulau, budaya pelbagai kaum, syurga makanan dan lain-lain. Faktor ini menjadi tarikan kepada pelancong luar negara, malah pelancong domestik. Namun apabila pandemik Covid-19 melanda negara Malaysia, industri ini paling teruk terjejas berbanding sektor lain. Penutupan pintu sempadan dan perintah kawalan pergerakan menyebabkan beberapa industri pelancongan semakin lumpuh seperti :
- Sektor Pehotelan dan Penginapan
- Sektor Pengangkutan (Bas Ekspres, Pemandu Teksi)
- Agensi Pelancongan
- Pelancongan Perubatan
Mengikut statistik pada tahun 2019 Malaysia mencatat sejumlah 26,100,784 pelancong antarabangsa dan menyumbang pendapatan negara sebanyak RM86.14 bilion. Namun pada tahun 2020, Malaysia mencatatkan kerugian hampir RM100 bilion dalam industri pelancongan tempatan.
Kesimpulan
Selepas setahun berlalu, penganalisis ekonomi berpendapat krisis pandemik Covid-19 telah menjejaskan beberapa industri perniagaan sehingga menyebabkan wujudnya keluk ekonomi baharu iaitu keluk-K. Namun disebalik cabaran ini, ekonomi Malaysia mula bangkit semula dalam menangani pandemik Covid-19 melalui bantuan dan inisiatif diberi oleh pihak pentadbir negara.