Affin Hwang Asset Management adalah sebuah firma pengurusan aset di bawah Affin Bank. Ia diwujudkan untuk memenuhi keperluan pelaburan syarikat korporat, dana pencen, institusi, syarikat berkaitan kerajaan, individu berharta dan lain-lain. Antara dana pelaburan yang mereka tawarkan adalah seperti ekuiti, bon, pasaran wang, produk berstruktur dan ETF. TradePlus adalah sayap mereka dalam penawaran produk pelaburan ETF.
Kenali TradePlus
TradePlus mula diperkenalkan pada tahun 2017. Ia menawarkan pelbagai dana pelaburan ETF seperti Equity ETF, Commodity ETF dan Leveraged & Inverse ETF. ETF atau Exchange Trade Fund adalah satu instrumen dana pelaburan yang didagang di pasaran saham Bursa Malaysia. Kali ini kita akan melihat secara mendalam terhadap pembelian emas dengan ETF yang dikategorikan sebagai Commodity ETF.
GOLDETF
Satu aset komoditi yang ditawarkan oleh TradePlus dalam bentuk ETF ialah GOLDETF. Ia boleh didagangkan di pasaran saham dan merupakan dana TradePlus Shariah Gold Tracker. Dana ini adalah patuh syariah, berdasarkan penilaian perunding syariah Amanie Advisor Sdn Bhd. Kini, TradePlus Shariah Gold Tracker merupakan satu-satunya dana pelaburan emas ETF berstatus patuh syariah di Malaysia yang berpandukan pada harga emas semasa.
Pelaburan ini membolehkan kita melabur kepada emas fizikal tanpa perlu memegang secara nyata. 95% daripada aset dana ini telah dibeli secara fizikal dari London Bullion Market Association (LBMA) dan kemudian jongkong emas ini disimpan di Singapura. Selebihnya, akan didagangkan dalam bentuk pasaran kewangan patuh syariah.
GOLDETF ini didagangkan di pasaran Bursa Malaysia melalui platform dagangan. Sebelum pembelian ini dilaksanakan, kita perlulah membuka terlebih dahulu akaun CDS melalui broker. Transaksi jual atau beli ETF ini boleh dilaksanakan pada waktu pasaran Bursa Malaysia.
Secara umumnya, satu unit GOLDETF bersamaan dengan 0.01 gram nilai tunai emas semasa. Sama seperti saham dagangan yang lain, pembelian minimum adalah 1 lot (100 unit) bersamaan 1 gram emas. Berdasarkan harga diatas, kos yang perlu dibayar adalah RM 2.45 x 100 unit = RM 245.00 dan ditambah dengan kos broker. Jika dilihat pembelian emas dengan GOLDETF merupakan antara yang termurah di pasaran.