Seperti yang mungkin kita semua sedia maklum, jadual berdagang di Bursa adalah seperti di bawah:
Sesi 1 (Pagi)
Pre-Opening | 8.30 am |
Main Trading Phase | 9.00 am |
Closing & Rehat | 12.30 pm |
Sesi 2 (Petang)
Pre-Opening | 2.00 pm |
Main Trading Phase | 2.30 pm |
Pre-Closing | 4.45 pm |
Trading at Last | 4.50 pm |
Market Closed | 5.00 pm |
Penerangan fasa dagangan
Secara ringkas, transaksi dagangan hanya berlaku pada fasa Main Trading Phase dan Trading at Last sahaja. Waktu yang bersepadan dengan fasa yang disebut tadi ialah 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari, 2.30 hingga 4.45 petang dan 4.50 hingga 5.00 petang.
Pada peringkat Pre-Opening, rehat tengah hari dan Pre-Closing, anda boleh memasukkan, mengubah dan membatalkan pesanan. Pada fasa ini, tiada transaksi yang akan berlaku.
Apabila Market Closed, pesanan anda akan luput dari platform dagangan Bursa dan anda perlu masukkan pesanan yang baru untuk dagangan keesokan hari.
Selepas beberapa ketika anda di pasaran saham, mungkin anda perasan kegilaan pasaran pada Pre-Opening waktu pagi dan Pre-Closing selepas pukul 4.45 petang.
Apa yang Berlaku pada Pre-Opening dan Pre-Closing?
Dalam fasa Pre-Opening dan Pre-Closing, Bursa akan mengira Theoretical Opening Price (atau T-O dalam M+ Online) dan Theoretical Closing Price (TCP). Setiap pagi ketika Pre-Opening, T-O akan dikira untuk menentukan harga bukaan pasaran (market opening price). Pada Pre-Closing di waktu petang pula, TCP dikira untuk menentukan satu harga untuk didagangkan semasa Trading at Last. Harga ketika Pre-Opening dan Closing ini ditentukan menggunakan algoritma yang telah ditetapkan.
Semasa Pre-Opening, suatu saham itu belum ada harga semasa. Antara market closing dan opening pada hari berikutnya, terdapat kemungkinan contohnya berita tentang perkara yang terjadi antara US dan China akan memberi kesan kepada pergerakan harga saham di Malaysia. Oleh itu, harga saham pada bukaan adalah agak volatile dan ramai berteka-teki sama ada harga saham tersebut akan bullish atau bearish. Atas sebab ini, terdapat pelbagai jangkaan pada harga saham yang menyebabkan harga di queue mungkin tak masuk di akal.
Situasi ini adalah sama untuk Pre-Closing ketika sistem Bursa ingin menentukan harga penutup. Pada lima minit Pre-Closing iaitu 4.45 hingga 4.50 petang, harga saham akan ditentukan untuk Theoretical Closing Price. Maka dalam waktu yang pendek ini juga ada kemungkinan kegilaan harga yang sama tadi boleh berlaku kerana masing-masing berteka-teki dan tak nak terlepas queue.
Pernah trade lepas pukul 4.50 petang tapi kena reject?
Dalam fasa Trading at Last, hanya satu harga yang akan digunakan sebagai harga penutup. Ia adalah harga yang dikira dalam fasa Pre-Closing tadi. Selepas harga penutup ini diperoleh, semua pesanan baru selain harga ini tidak akan diterima ataupun direject dalam sistem dagangan. Pesanan lama yang tak sama dengan harga Theoretical Closing Price (TCP) pula tak akan terdagang sehinggalah anda ubah kepada harga TCP tadi.
Sebenarnya, sebelum peraturan ini diperkenalkan, terdapat lompong dalam sistem Bursa di mana harga saham boleh dimanipulasi pada saat-saat akhir di pasaran. Dengan memperkenalkan peraturan ini, harga saham dapat dikawal supaya menjadi lebih stabil. Peraturan ini juga sebenarnya mengikut piawai semasa di negara-negara maju. Jadi, ianya suatu yang normal di peringkat antarabangsa.