FOMO merupakan singkatan kepada 'Fear of Missing Out' iaitu perasan takut apabila ketinggalan dari perkembangan semasa. Misalnya, apabila panas satu isu di media sosial, kita tertanya-tanya dan tercari-cari isu apa yang hangat dibincangkan. Kita tak nak jadi satu-satunya orang yang tak tahu. Takut-takut kawan kita semua bersembang pasal isu terkini, kita pula tak tahu apa-apa. Dalam situasi ini, kita menjadi FOMO, lalu kita terus siasat isu apa yang dipanaskan. Dalam pelaburan saham pula, pelabur FOMO kerana takut ketinggalan dari menyertai saham yang sedang naik dengan rancak.
Apabila saham sesuatu kaunter meningkat, kita pasti akan berasa tidak mahu ketinggalan dalam melabur saham tersebut. Sampai satu tahap pelabur dalam pasaran beli saham tersebut sehingga mencapai berlipat kali ganda peratusan peningkatan. Dalam post kali ni, kita akan melihat beberapa situasi dan sebab FOMO berlaku sampai berlakunya kesilapan serta kekeliruan dalam pembelian saham.
Kegilaan GameStop
GameStop merupakan salah satu syarikat yang terlibat dalam game video dan barangan elektronik yang berasal daripada Amerika Syarikat yang mempunyai hampir 5000 buah kedai. Disebabkan pasca pandemik Covid-19, syarikat GameStop terpaksa menutup sebanyak 3,500 buah kedai. Pada penghujung bulan Januari 2021 saham GameStop telah berlakunya peningkatan mendadak.
Fenomena ini bermula apabila satu medium perbincangan forum di Reddit yang dikenali sebagai "Wallstreetbets" telah viral dalam kalangan 3 juta pengguna. Dipendekkan cerita, ramai pelabur FOMO untuk beli saham GameStop pada 28 Januari 2021. Kesannya, saham ini telah meningkat sebanyak 400% seminggu sehingga paras tertinggi AS$483 seunit.
Saham | GameStop |
Harga Sebelum Fomo | AS$17.26 seunit (4 Jan 2021) |
Peningkatan Paras Harga Tertinggi | AS$483 seunit (28 Jan 2021) |
Peratusan Kenaikan | 1500% dalam masa 2 minggu |
Salah FOMO
GameStop didagangkan di New York Stock Exchange (NYSE) menggunakan nama saham GME. Namun disebalik kerancakan peningkatan saham GameStop, terdapat GME lain yang didagangkan di Australia turut mengalami kenaikan. GME yang didagangkan di pasaran Australia ini adalah GME Resources Ltd yang menjalankan perniagaan industri perlombongan logam nikel dan kobalt di Australia Barat.
Disebabkan simbol saham yang sama, pelabur yang FOMO tekan saham yang tidak berkaitan, menyangka mereka membeli GameStop. Kesannya, saham GME syarikat lombong di Australia ini mengalami peningkatan sebanyak 60%.
Tersalah "Signal"
Sebut sahaja Elon Musk, pasti ramai yang mengenali beliau yang terkenal dalam pelbagai industri meliputi teknologi, angkasa, solar dan lain-lain. Elon Musk juga terkenal dan berpengaruh dalam aplikasi Twitter yang mempunyai pengikut sebanyak 42 juta follower. Setiap kali tweet dilaksanakan oleh Elon Musk, pasti akan mendapat perhatian pengikutnya.
Segalanya bermula apabila CEO Tesla ini telah tweet "Use Signal" di Twitter pada 7 Januari. Tweet ini telah ditujukan kepada aplikasi mesej iaitu Signal. Aplikasi mesej Signal ini telah ditubuhkan pada tahun 2014 oleh bekas pengasas WhatsApp, Brian Acton selepas WhatsApp dibeli oleh Facebook. Ada yang sememangnya faham, Elon Musk sebut tentang aplikasi mesej ini. Namun ada juga pelabur terkeliru dan "tersalah signal" dengan membeli saham Signal Advance yang didagangkan di platform jual beli OTC.
Signal, aplikasi mesej itu sendiri tidak didagangkan sebagai saham. Namun, pelabur tetap mencari sehinggalah terjumpa "Signal". Signal Advance merupakan syarikat yang telibat dalam pengeluaran elektronik komponen kecil perubatan dan teknologi dalam kawalan kenderaan. Syarikat ini terletak di Rosharon, Texas dengan nilai market capital sebanyak AS$192.6 juta. Kekeliruan ini telah menyebabkan saham Signal Advance melonjak sebanyak 6300% dalam masa 3 hari pasaran.
Saham | Signal Advance |
Harga sebelum FOMO | AS$0.60 ( 6 Jan 2021) |
Peningkatan Paras Harga Tertinggi | AS$38.70 (11 Jan 2021) |
Peratusan Kenaikan | 6300% (3 hari) |
Zoom yang mana satu?
Permulaan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 telah menyebabkan seluruh penduduk di dunia melakukan tugas secara 'work from home'. Pelaksanaan ini telah menyebabkan teknologi secara maya seperti Zoom mendapat sambutan. Kesannya Zoom telah memperoleh keuntungan sebanyak 4 bilion selama 3 bulan serta pasaran saham sektor tersebut melambung tinggi.
Tetapi tahukah anda, apabila fenomena ini berlaku, ada saham syarikat lain terkena tempias peningkatan. Syarikat lain yang sama nama dengan Zoom bernama ZOOM Technologies turut berkongsi pentas. ZOOM Technologies, pembuatan komponen telefon bimbit ini berpangkalan di Beijing dengan nilai pasaran AS$18 juta. Ia didagangkan di pasaran menggunakan nama saham ZOOM, manakala Zoom Video Communications pula menggunakan nama saham ZM.
Perbezaan simbol ini telah mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pelabur yang beranggapan nama saham ZOOM ini adalah untuk Zoom Video Communications. Kesannya, saham ZOOM Technologies telah meningkat dua kali ganda sehingga mencapai AS$20.84 seunit selama seminggu. Berikutan daripada situasi ini, ZOOM Technologies telah menukar nama saham kepada ZTNO untuk mengelakkan kekeliruan.
Saham | Zoom Tecnhologies |
Harga sebelum FOMO | AS$3.08 (2 Mac 2020) |
Peningkatan Paras Harga Tertinggi | AS$20.839 seunit (20 Mac 2020) |
Peratusan Kenaikan | 50% (seminggu) |
Kaesang Pangarep
Kaesang Pangarep merupakan anak bongsu kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi. Pemuda yang berusia 26 tahun ini juga terkenal dalam laman sosial seperti youtube, twitter, dan blogger. Pada 14 Januari, Kaesang telah berkongsi kajian analisis teknikal dan fundamental di twitter mengenai prospek saham Bank Pembangunan Daerah Jawa Timur (BJTM).
BJTM merupakan satu institusi kewangan yang menjalankan perkhidmatan perbankan di Indonesia. Disebabkan perkongsian ini dibuat oleh anak Presiden, ramai yang menganggap terdapat sebuah hint di sebalik perkongsian ini. Akibat FOMO, saham BJTM telah meningkat pada keesokan harinya sebanyak 19%. Peningkatan ini telah mencapai paras tertinggi Rp 965 seunit semenjak saham BJTM mula didagangkan pada tahun 2012.
Saham | Bank Pembangunan Daerah Jawa Timur |
Harga sebelum FOMO | Rp 710 seunit (13 Jan 2021) |
Peningkatan Paras Harga Tertinggi | Rp 965 seunit (15 Jan 2021) |
Peratusan Kenaikan | 19% dalam masa sehari |
Kesimpulan
Disebabkan FOMO, apabila harga laju meningkat kebanyakan pelabur akan mencuba nasib tanpa memikirkan risiko dan kerugian yang bakal dialami. Sampai ke satu tahap boleh menyebabkan kesilapan serta kekeliruan dalam pembelian kaunter saham. Namun sebagai seorang pelabur bijak kita perlulah membuat analisis melalui aspek teknikal dan fundamental sebelum melakukan sesuatu pembelian kaunter saham.