Kami pernah menjelaskan tentang kos-kos yang terlibat dalam jual beli saham pada suatu ketika dulu. Kos-kos ini termasuklah bayaran broker, duti setem, bayaran pelepasan dan cukai kerajaan.
Namun, pada 29 Oktober yang lalu, pembentangan Belanjawan 2022 telah dibuat oleh Menteri Kewangan Malaysia, dan terdapat beberapa perubahan terhadap kos pembelian saham telah diumumkan.
Terkini, pada 19 Jun 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kadar duti setem saham akan dikurangkan daripada 0.15% kepada 0.1%, tertakluk kepada had maksimum RM 1,000 setiap kontrak berkuat kuasa Julai 2023.
Terdapat beberapa perkara yang akan memberi perubahan terhadap kos pembelian saham di Bursa Malaysia. Antaranya ialah:
- Duti setem nota kontrak yang diturunkan daripada 0.15% kepada 0.1%.
- Had duti setem sebanyak RM200 bagi setiap nota kontrak akan dimansuhkan.
- Aktiviti pembrokeran dagangan saham tidak lagi dikenakan cukai oleh kerajaan.
Walau bagaimanapun, pada 30 Disember 2021, Kementerian Kewangan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa amaun maksimum duti setem yang akan dikenakan bagi setiap nota kontrak dihadkan kepada RM 1,000.
Duti setem
Secara ringkasnya, kadar duti setem yang baharu ini membawa maksud, bagi setiap RM 1,000 saham yang didagangkan, terdapat RM 1.00 kadar duti setem yang akan dikenakan.
Namun demikian, terdapat perbezaan kadar maksima duti setem mengikut jenis saham yang didagangkan. Kadar maksima duti setem dan jenis saham dibahagikan seperti berikut:
1. Kadar maksima RM 1,000, bersamaan 0.1%
- Saham induk
- Saham pinjaman
- Saham keutamaan
- Exchange Traded Bond
2. Kadar maksima RM 200, bersamaan 0.1%
- Waran
- Rights
- REIT
- Unit amanah
- Dana tertutup
Manakala untuk Exchange Traded Fund (ETF) pula, ia diberikan pengecualian duti setem sehingga tahun 2025.
Lain-lain caj
Bagi bayaran broker, anda perlu merujuk broker masing-masing untuk mengetahui caj yang dikenakan oleh mereka. Untuk M+ dan CGS-CIMB, bayaran broker kekal pada kadar 0.08% atau minima RM 8 untuk setiap transaksi. Manakala bayaran pelepasan oleh Bursa Malaysia pula kekal dengan kadar 0.03%.
Oleh itu, mari kita lihat cara pengiraan kos yang terlibat dalam jual beli saham bermula 1 Januari 2022.
Contoh kiraan kos jual beli saham
Contoh 1: Saham ABC, kuantiti 10,000 unit.
Harga saham | RM 0.80 |
Kuantiti | 10,000 unit |
Bayaran broker | RM 8 |
Bayaran pelepasan | 0.03% |
Duti setem | 0.1% |
Pengiraan:
RM 8000 + (RM 8 + RM 2.40 + RM 8) = RM 8018.40
Oleh kerana 0.08% dari RM 8,000 adalah RM 6.40, jadi, caj minima bayaran broker sebanyak RM 8 dikenakan.
Contoh 2: Saham ABC, kuantiti 100,000 unit.
Harga saham | RM 0.80 |
Kuantiti | 100,000 unit |
Bayaran broker | 0.08% |
Bayaran pelepasan | 0.03% |
Duti setem | 0.1% |
Pengiraan:
RM 80,000 + (RM 64 + RM 24 + RM 80) = RM 80,168
Contoh 3: Saham ABC, kuantiti 1,000,000 unit.
Harga saham | RM 0.80 |
Kuantiti | 1,000,000 unit |
Bayaran broker | 0.08% |
Bayaran pelepasan | 0.03% |
Duti setem | 0.1% |
Pengiraan:
RM 800,000 + (RM 640 + RM 240 + RM 800) = RM 801,680
Oleh kerana terdapat had maksima caj duti setem, jumlah yang akan dicaj adalah RM 1,000 dan bukanlah RM 1,200.
Rumusan
Jelas dilihat melalui pengiraan, caj duti setem yang baharu ini akan lebih memberi kesan kepada pelabur yang melabur dalam jumlah yang besar. Namun begitu, penetapan had limit yang diumumkan sedikit sebanyak dapat membantu untuk menjadikan pasaran Bursa Malaysia kekal rancak dan dinamik.
Selain mengira kos jual beli saham secara manual, anda juga boleh menggunakan Buy Calculator kami. Kalkulator ini menggunakan kadar broker yang ditetapkan oleh Malacca Securities (M+).