ASAS

17-FEB-2022

Maksud Winding Up dan Kesannya Terhadap Syarikat


 


Mungkin ada yang terbaca berita baru-baru ini tentang petisyen penggulungan syarikat yang diterima oleh lima anak syarikat milik Sapura Energy. Hal ini adalah berhubung jumlah kontrak yang belum dibayar, jumlah perjanjian penyelesaian dan jumlah penghakiman berjumlah kira-kira RM 47.5 juta.

Saham syarikat Sapura Energy
Saham syarikat Sapura Energy mencecah paras all-time-low selepas berita petisyen penggulungan dikeluarkan.

Berita ini telah menyebabkan saham syarikat Sapura Energy mencecah paras terendah. Jadi, apakah maksud winding up atau penggulungan? Dan apa yang akan terjadi kepada syarikat-syarikat yang menerima petisyen penggulungan ini?

Maksud penggulungan

Winding up atau penggulungan adalah apabila sesuatu syarikat itu dibubarkan akibat syarikat tersebut gagal dalam meneruskan perniagaan mereka. Tujuan penggulungan syarikat berlaku adalah untuk membuat pembayaran kepada pemiutang. Aset-aset syarikat akan dicairkan untuk pembayaran hutang, dan bakinya akan dibahagikan kepada pemegang saham dan penyumbang syarikat mengikut kelayakan mereka.

Penggulungan syarikat

Namun begitu, istilah ini adalah tidak sama dengan bankrap, tetapi ia lebih kepada pembubaran syarikat.

Cara penggulungan syarikat

Terdapat 2 cara penggulungan syarikat, iaitu secara sukarela dan melalui perintah mahkamah. Kedua-dua cara penggulungan syarikat ini tertakluk kepada Akta Syarikat 1965 (AS 1965) dan Akta Syarikat 2016 (AS 2016).

1. Secara sukarela

Penggulungan syarikat secara sukarela ini kebiasaannya dilakukan dengan menubuhkan satu resolusi khas. Ia boleh dilakukan oleh ahli-ahli syarikat atau oleh pemiutang melalui mesyuarat di antara pemegang saham dan pemiutang yang dibuat untuk membubarkan syarikat tersebut.

Situasi pasaran turut memainkan peranan dalam membuat keputusan penggulungan syarikat ini. Sekiranya pihak berkepentingan memutuskan syarikat akan menghadapi cabaran yang tidak dapat diatasi, mereka mungkin akan meminta penyelesaian untuk menamatkan perniagaan.

2. Melalui perintah mahkamah

Syarikat juga boleh digulung dengan perintah mahkamah atas petisyen yang dibuat oleh mana-maha pihak yang berhak, seperti pemiutang, pelikuidasi dan pendaftar syarikat. Pihak-pihak ini kebiasaannya adalah yang pertama menyedari tentang masalah kewangan syarikat.

Di Malaysia, kebanyakan penggulungan syarikat berlaku melalui perintah mahkamah. Penggulungan ini adalah wajib dan kebanyakan syarikat yang menerima perintah mahkamah ini adalah syarikat yang tidak mampu untuk membayar hutang mereka.

Pemiutang, berdasarkan Seksyen 218, Akta Syarikat 1965, boleh menghantar surat tuntutan kepada syarikat tersebut untuk dibayar dalam masa 21 hari. Jika syarikat tersebut gagal untuk membuat pembayaran, pemiutang boleh memfailkan petisyen penggulungan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi penggulungan syarikat. Kebiasaannya, pemfailan petisyen penggulungan boleh menyebabkan kerosakan reputasi terhadap sesuatu perniagaan.

Penggulungan bukan bankrap

Penggulungan syarikat adalah berbeza dengan bankrap, walaupun kebiasaannya ia akan berakhir dengan bankrap. Perniagaan yang bankrap adalah apabila perniagaan itu tidak mampu lagi untuk membayar hutang-hutang milik mereka. Kebankrapan ialah suatu prosiding undang-undang yang melibatkan pemiutang cuba mendapatkan akses kepada aset syarikat supaya ia boleh dibubarkan untuk membayar hutang.

Penggulungan syarikat pula adalah apabila perniagaan dihentikan dan tidak lagi boleh berjalan seperti biasa. Sebaliknya, syarikat tersebut perlu melengkapkan proses pencairan dan pembahagian aset kepada pemiutang dan pemegang saham.

Kesan penggulungan

Penggulungan syarikat ini semestinya bukan suatu perkara yang baik, justeru ia memberi kesan seperti berikut:

1. Syarikat

Apabila penggulungan syarikat bermula, perniagaan hendaklah dihentikan. Seterusnya, kontrak pekerjaan juga ditamatkan. Syarikat juga tidak boleh melupuskan aset dan pindah milik saham syarikat. Pada masa yang sama, tiada tindakan boleh diambil ke atas syarikat tersebut kecuali dengan kebenaran mahkamah.

2. Pengarah syarikat

Pengarah syarikat tidak lagi berkuasa dalam mentadbir hal ehwal syarikat. Pentadbiran akan diberikan kepada penyelesai semasa proses penggulungan syarikat ini bermula. Pengarah syarikat juga hendaklah memberi mengemukakan segala dokumen dan maklumat tentang ehwal syarikat seperti aset dan liabiliti. Pengarah juga dikehendaki untuk melengkapkan dan mengemukakan penyata hal ehwal syarikat kepada penyelesai.

3. Penyumbang syarikat

Walaupun penyumbang syarikat tidak menanggung hutang syarikat, namun, penyelesai boleh mengarahkan penyumbang untuk membayar apa-apa syer syarikat yang belum dibayar.

4. Pemiutang

Terdapat dua jenis pemiutang, iaitu bercagar dan tidak bercagar. Bagi pemiutang tidak bercagar, keutamaan mengikut undang-undang diberikan kepada pemiutang tidak bercagar yang utama seperti pekerja syarikat. Selepas itu barulah akan diagihkan secara sama rata kepada pemiutang tidak bercagar yang lain.

Bagi pemiutang bercagar pula, mereka boleh menjual aset syarikat yang telah dicagarkan sebagai cagaran untuk melangsaikan hutang. Sekiranya terdapat lebihan dari hasil jualan aset, ia perlu diserahkan kembali kepada penyelesai. Jika terdapat defisit, mereka boleh memfailkan bukti hutang dan mereka akan dianggap sebagai pemiutang tidak bercagar.

Rumusan

Penjelasan di atas sedikit sebanyak adalah gambaran tentang penggulungan syarikat di Malaysia. Setiap penggulungan syarikat yang berlaku haruslah berpandukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016.

Seksyen 619, Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa syarikat yang sedang dalam proses penggulungan sebelum akta ini dikuatkuasakan, iaitu pada 31 Januari 2017, perlu meneruskan proses penggulungan menggunakan Akta Syarikat 1965 sehingga syarikat dibubarkan.

Rujukan

  1. Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  2. Investopedia

< kembali ke laman blog utama