Antara cara yang memudahkan pelabur untuk membuat pemilihan saham yang berpotensi adalah dengan menggunakan bantuan screener. Terdapat banyak screener percuma di iSaham. Salah satu screener tersebut ialah screener CANSLIM.
CANSLIM adalah akronim untuk teknik pemilihan saham pertumbuhan yang dicipta oleh seorang pelabur terkenal di Amerika Syarikat, William O'Neil yang bermaksud:
- C: Current quarterly earnings
- A: Annual earnings growth
- N: New product, service, management or price high
- S: Supply and Demand
- L: Leader or Laggard
- I: Institutional sponsorship
- M: Market Direction
Kaedah CANSLIM menggabungkan kaedah fundamental dan teknikal untuk membantu para pelabur mencari saham yang berpotensi.
Siapakah William O’Neil?
William O’Neil, yang dilahirkan pada 25 Mac 1933, ialah seorang usahawan, penulis, broker saham dan juga pegasas Investor’s Business Daily. O’Neil telah menulis beberapa buah buku, iaitu How to Make Money in Stocks, The Successful Investor, and 24 Essential Lessons for Investment Success. Teknik CANSLIM diterangkan oleh beliau di dalam salah satu bukunya iaitu How to Make Money in Stocks. Teknik CANSLIM dicipta oleh O’Neil semasa beliau masih bekerja sebagai seorang broker saham.
Ciri-ciri CANSLIM
Berdasarkan teknik CANSLIM, setiap akronim menggambarkan ciri-ciri pemilihan saham yang berpotensi. Untuk memudahkan pemahaman pembaca, syarikat Vitrox Corporation Berhad akan dijadikan kajian kes untuk teknik CANSLIM ini.
Current quarterly earnings
Pendapatan sesuatu syarikat adalah syarat pertama yang perlu dilihat untuk teknik CANSLIM ini. Current quarterly earnings atau pendapatan syarikat pada suku tahun terkini haruslah meningkat sekurang 25% daripada suku sebelumnya.
Untuk syarikat Vitrox Corporation Berhad, pendapatan Quarter on Quarter (QoQ) untuk suku terkini adalah 120.92%.
Annual earnings growth
Annual earnings growth atau pertumbuhan pendapatan tahunan dapat dilihat pada pendapatan Year on Year (YoY) sesebuah syarikat. Pendapatan YoY haruslah meningkat sekurangnya 25% untuk teknik CANSLIM ini. Selain itu, Return of Equity (ROE) atau pulangan ekuiti syarikat yang dicadangkan haruslah sekurangnya 17%.
Syarikat Vitrox Corporation Berhad mengalami kenaikan pendapatan YoY sebanyak 89.03% manakala ROE mereka pula ialah 22.56% lebih tinggi dari tahun sebelumnya.
New product, service, management or price high
Ini membawa maksud apa-apa sahaja hal yang dapat menunjukkan bahawa sesuatu syarikat mempunyai pembangunan dan inovasi yang berterusan. Perkara-perkara ini boleh menarik pelabur untuk melabur ke dalam syarikat tersebut dan juga menjadi pemangkin kepada kenaikan harga saham.
Supply and Demand
Permodalan pasaran | 9,368 Juta |
Bilangan saham | 472 Juta |
Supply and demand atau penawaran dan permintaan sesebuah syarikat memainkan peranan penting untuk teknik CANSLIM ini. Semakin tinggi permintaan terhadap sesebuah saham syarikat, semakin tinggi nilai saham boleh meningkat. Anda juga boleh lihat pada pergerakan carta harga saham. Sekiranya harga bergerak dengan cantik, ada naik turun yang baik, tak sikat, maknanya ada supply dan demand yang baik.
Selain itu, bilangan unit saham yang terhad dapat memberi impak terhadap permintaan saham bagi sesebuah syarikat. Keseimbangan permodalan pasaran dengan jumlah saham dalam pasaran juga boleh membuatkan harga saham naik dengan sihat.
Leader or Laggard
Sebaiknya, syarikat yang dipilih adalah peneraju sesuatu industri dari jumlah permodalan pasaran. Saham syarikat tersebut haruslah mengatasi prestasi persaingannya. Tambahan lagi, kenaikan peneraju juga hendaklah selari dengan kenaikan sektor industri tersebut.
Seperti senarai di atas, Vitrox Corporation Berhad menerajui industri Automated Test Equipment (ATE) berbanding persaingannya iaitu UWC Berhad dan Greatech Technology Berhad.
Institutional sponsorship
Institusi | Jumlah Pegangan (Juta) |
---|---|
DBS Bank Ltd | 183.59 |
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) | 166.73 |
Citibank New York | 98.35 |
Credit Suisse | 79.62 |
Public Islamic Select Treasures Fund | 73.06 |
Institutional sponsorship atau tajaan institusi bermaksud terdapat institusi dengan dana yang besar di dalam industri kewangan turut memiliki saham sesuatu syarikat tersebut. Kebiasaannya, para institusi hanya akan melabur di dalam syarikat yang mempunyai kualiti dan potensi yang tinggi.
Vitrox Corporation Berhad juga mempunyai pelabur dari institusi yang besar, antaranya ialah Credit Suisse, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan banyak lagi.
Market Direction
Memastikan arah pergerakan saham adalah antara perkara yang penting sebelum membuat pelaburan. Pelabur harus memastikan saham yang ingin dibeli berada di dalam keadaan menaik. Jika tidak, pelabur mungkin akan terperangkap di dalam saham yang sedang melakukan penurunan.
Sebagai contoh, seperti yang boleh dilihat di graf di atas, saham syarikat Vitrox Corporation Berhad masih di dalam fasa kenaikan dan baru sahaja breakout. Sekiranya anda merasakan posisi breakout agak berisiko, anda boleh skip saham ni dan lihat pada saham lain dalam screener CANSLIM. Atau, sekiranya anda sanggup tunggu dan cari entry yang lebih selamat, itu juga boleh menjadi satu pilihan.
Dengan menggunakan kesemua ciri-ciri teknik CANSLIM ini, pelabur boleh menilai sendiri sama ada saham syarikat Vitrox Corporation Berhad sesuai untuk dibeli atau boleh diabaikan.
Berhasilkah teknik CANSLIM ini?
Teknik CANSLIM adalah teknik hibrid yang menggabungkan analisa fundamental dan teknikal. Teknik ini dapat membantu pelabur mencari syarikat yang mempunyai pertumbuhan yang kukuh dan berdaya maju. Pada masa yang sama, teknik ini turut mencari syarikat yang berada di dalam keadaan menaik. Justeru itu, dapat memberikan peluang kepada pelabur untuk melabur di dalam saham dengan momentum yang kuat.
Walaubagaimanapun, teknik ini hanyalah sebagai alat untuk membantu pelabur mencari saham yang berpotensi. Teknik ini bukanlah 'buy call' dan pelabur haruslah membuat kajian tersendiri berdasarkan garis panduan di atas sebelum memulakan pelaburan.