Theoretical Opening Price
Theoretical Opening Price adalah sistem penentuan harga buka yang ditetapkan oleh pengendali pasaran saham seperti Bursa Malaysia di negara kita. Ianya dirujuk sebagai TOP oleh Bursa Malaysia atau T-O dalam platform M+ Online. T-O akan dikira tiga kali dalam sehari pada sesi Pre-Open/Close. Pertama adalah pada Pre-Open sesi pagi, seterusnya Pre-Open selepas rehat tengahari dan akhirnya pada sesi Pre-Close sebelum trading at last (sebelum pasaran ditutup).
Pada waktu yang disebut di atas tadi, anda akan lihat pesanan harga seolah-olah tak betul. Contohnya harga semasa berada pada RM 1, tapi harga yang beratur untuk beli boleh jadi lebih tinggi seperti RM 1.05, RM 1.10 dan sebagainya. Sebenarnya, pasaran berada dalam keadaan waktu rehat buat masa tersebut. Pesanan hanya akan terpadan apabila pasaran memasuki semula sesi melabur. Apabila pasaran bersambung semula, harga buka akan dicari mengikut algorithm carian T-O.
Bagaimana Theoretical Opening Price ditentukan?
Satu perkara yang anda perlu faham ialah suatu saham mempunyai hanya satu harga semasa. Maka dari pesanan yang beratur tadi, Bursa perlu memilih satu harga yang akan menjadi harga saham ketika sesi trading bersambung melalui sebuah algorithm. Algorithm ini mengambil kira kriteria di bawah, tapi sekiranya susah nak difahami (memang agak susah), boleh baca penerangan di perenggan seterusnya.
- Membolehkan padanan paling banyak berdasarkan volume
- Jika terdapat lebih dari satu harga dari kriteria 1, baki lot tak terpadan yang lebih rendah antara harga-harga ini akan diberi keutamaan.
- Jika masih terdapat lebih dari satu harga dari kriteria 2, harga ditentukan berdasarkan kecenderungan Market Pressure (sama ada ke bullish atau bearish).
- Sekiranya ketiga-tiga kriteria ini tak tercetus (triggered), harga market open akan ditentukan berdasarkan harga market close sesi sebelumnya
Penerangan Algorithm T-O Bursa
Algorithm T-O Bursa ini mengambil kira semua senario yang boleh terjadi ketika pasaran dibuka. Oleh itu, ia perlu diperincikan sehingga beberapa peringkat saringan untuk penentuan harga.
Pertama sekali, algorithm ini akan menapis harga beratur yang mempunyai paling banyak padanan berdasarkan harga dan volume. Harga belian yang tinggi boleh dipadankan dengan harga jualan yang lebih rendah, manakala harga jualan yang lebih rendah pula boleh dipadankan dengan harga yang lebih tinggi.
Apa yang berlaku dalam algorithm ni adalah sebuah titik tengah akan dicari berdasarkan volume kesemua pesanan yang beratur. Dan sekiranya titik tengah itu melibatkan lebih daripada dua harga, satu harga akhir akan dipilih berdasarkan tekanan pasaran sama ada bullish atau bearish. Proses ini akan berulang setiap kali terdapat pesanan baru dalam sistem sehinggalah pasaran dibuka.
Jalan pintas mendapatkan T-O
Kebiasaannya, anda tak akan mengira T-O secara manual. Semuanya telah pun diautomasikan dalam platform trading anda. Contohnya dalam M+ Online (melalui browser sahaja), anda boleh lihat ruangan T-O dari senarai saham. Ruangan ini akan memberitahu anda harga T-O yang telah dikira setiap kali mana-mana pelabur meletakkan pesanan pada sesebuah saham. Jadi, ianya sentiasa mengikuti masa terkini ketika sesi Pre-Open/Close.
Seperti yang disebut sebelum tadi, T-O akan berlaku pada sesi pagi, tengah hari dan petang. Maka pada Pre-Open/Close anda dapat lihat T-O dikosongkan semula untuk mendapatkan harga T-O baru pada sesi melabur yang akan bersambung selepasnya.
Apa yang berlaku bila pasaran dibuka
Apabila pasaran berehat, tiada pesanan jual beli saham yang akan dipadankan. Pada waktu ini, pesanan jual beli pada saham boleh ada banyak padanan. Namun ia hanya akan dipadankan ketika pasaran bersambung semula. Harga yang akan dipadankan pula adalah pada harga T-O.
Potong barisan dalam saham
Seperti yang disebut tadi, selepas habis rehat, pasaran akan bersambung semula pada harga T-O. Maka di sini ada satu cara untuk anda terus beli saham pada harga T-O. Anda boleh beratur pada harga belian yang tinggi pada Pre-Open/Close dan ia masih akan terpadan pada T-O. Sekiranya anda ingin menjual, boleh letak pesanan pada harga lebih rendah daripada T-O.
Contoh situasi T-O
Untuk menggambarkan pemilihan harga T-O, kita akan gunakan contoh ringkas di bawah.
Beli | Jual | ||||
---|---|---|---|---|---|
# Pesanan | Kuantiti | Harga | Harga | Kuantiti | # Pesanan |
001 | 10 | 1.40 | 1.00 | 100 | 006 |
002 | 20 | 1.30 | 1.10 | 90 | 007 |
003 | 30 | 1.20 | 1.20 | 80 | 008 |
004 | 40 | 1.10 | 1.30 | 70 | 009 |
005 | 50 | 1.00 | 1.40 | 60 | 010 |
Mengikut peraturan padanan, harga belian yang lebih tinggi boleh dipadankan dengan harga jualan lebih rendah. Sebaliknya pula dengan harga jualan yang rendah, ia boleh dipadankan dengan harga belian yang lebih tinggi. Maka cara pengiraan untuk mendapatkan T-O boleh disusun seperti di bawah:
Jumlah belian boleh padan | Kuantiti belian | Harga (RM) | Kuantiti jualan | Jumlah jualan boleh padan | Jumlah tertinggi padanan |
---|---|---|---|---|---|
10 | 10 | 1.40 | 60 | 400 | 10 |
30 | 20 | 1.30 | 70 | 340 | 30 |
60 | 30 | 1.20 | 80 | 270 | 60 |
100 | 40 | 1.10 | 90 | 190 | 100 |
150 | 50 | 1.00 | 100 | 100 | 100 |
Tumpuan pengiraan ini adalah mencari satu harga akhir, maka harga disusun mengikut urutan. Setiap harga boleh ada permintaan jual dan beli. Belian di harga lebih tinggi boleh dipadankan dengan jualan di harga lebih rendah. Oleh itu, semakin banyak padanan boleh berlaku pada harga yang lebih rendah.
Kita boleh lihat dalam column Jumlah belian boleh padan, angka ini bertambah apabila semakin menuruni jadual. Ini adalah kerana harga RM1.40 boleh dipadankan dengan jualan pada harga RM1.30. Harga-harga yang lebih tinggi ini pula boleh juga terpadan pada harga yang lebih rendah. Sebaliknya pula berlaku untuk jualan dengan Jumlah jualan boleh padan yang semakin banyak apabila lihat jadual dari bawah ke atas.
Dari sini, anda dapat lihat jumlah tertinggi yang boleh terpadan adalah sebanyak 100 lot dari 2 harga yang berbeza, RM 1.10 dan RM 1.00 berdasarkan kriteria algorithm T-O yang pertama. Kriteria kedua pula akan menapis dari sudut baki tak terpadan yang lebih rendah. Jika kita lihat pada contoh, baki transaksi tak terpadan dari harga RM 1.10 adalah 90 lot jualan, manakala RM 1.00 pula berbaki 50 lot belian. Oleh itu, RM 1.00 akan menjadi T-O untuk contoh ringkas ini.
Apabila pasaran dibuka, lot belian pada pesanan 001 (Jadual 1) akan dipadankan terlebih dahulu, diikuti dengan 002, 003 dan 004 mengikut urutan. Semuanya sebanyak 100 lot akan terpadan dengan pesanan 006 pada RM 1.00 yang menjadi harga terkini. Pesanan 005 tidak terpadan dan akan menjadi Best Buy. Best Sell pula akan didahului oleh pesanan 007.
Belian | Jualan | ||||
---|---|---|---|---|---|
# Pesanan | Kuantiti | Harga | Harga | Kuantiti | # Pesanan |
005 | 50 | 1.00 | 1.10 | 90 | 007 |
1.20 | 80 | 008 | |||
1.30 | 70 | 009 | |||
1.40 | 60 | 010 |