Kebanyakan saham dalam pasaran kini telah jatuh akibat pertarungan dengan wabak Covid-19 ni. Maka, sekarang ni dikatakan waktu yang sesuai untuk melabur sebab harga saham sudah menjadi murah. Sebenarnya, kita belum tahu sepenuhnya sama ada pasaran telah pulih sepenuhnya. Namun, peluang pelaburan itu sentiasa ada.
Dalam waktu ini, ramai juga yang ingin mula melabur melihatkan harga saham "mampu milik" tapi tak tahu macam mana nak mula. Sebenarnya dah menjadi adat apabila kita memulakan sesuatu, kita belum biasa. Cara untuk membiasakan dengan pasaran ni adalah dengan melabur. Dengan ini, anda boleh rasa bagaimana permainan perasaan dan gelora jiwa ketika harga saham bergerak. Bila dah biasa, mungkin anda akan lebih yakin dan emosi semakin kental bila melabur.
Di sini, kami ada beberapa cadangan yang anda boleh pertimbangkan untuk memulakan pelaburan saham. Konsepnya adalah meminimakan risiko pelaburan. Harga saham telah pun menunjukkan kenaikan semula daripada kejatuhan teruk kira-kira sebulan yang lepas. Namun, sama ada harga saham akan terus naik atau akan turun semula masih belum terdapat tanda-tanda yang meyakinkna. Jadi, pendekatan yang kita boleh ambil adalah melabur dalam setting yang lebih defensif. Ini adalah antara saham-saham yang anda boleh cari di kala waktu yang tak menentu ni.
Small & Mid Cap
Apakah Mid Cap, dan kenapa Mid Cap? Small Cap ula untuk siapa? Ok. Kita fahamkan dulu apa itu konsep market capitalization. Ianya adalah nilai pasaran syarikat itu sendiri dan ia dapat memberikan gambaran saiz sesebuah syarikat. Market Capitalization untuk syarikat dikelaskan dalam tiga kategori - Blue Chip, Mid Cap dan Small Cap.
Blue Chip adalah syarikat-syarikat besar yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan market capitalization lebih dari RM 10 bilion. Syarikat ini sememangnya telah pun berdiri kukuh di pasaran dan mempunyai risiko yang rendah dari segi pelaburan. Namun, pertumbuhan modal dari kenaikan saham dalam segmen ini boleh jadi agak perlahan.
Small Cap pula adalah syarikat yang mempunyai market capitalization dari RM 200 juta sehingga RM 1 bilion. Pelaburan dalam saham small cap ini boleh jadi sangat menguntungkan, namun boleh juga merugikan. Pendek kata, high risk, high reward. Dalam keadaan pasaran yang sihat, saham-saham ini akan menjadi agak popular untuk didagangkan. Namun, dalam waktu yang kurang menentu, risiko pelaburan agak tinggi.
Mid Cap pula mempunyai market capitalization antara RM 1 bilion hingga RM 10 bilion. Risiko pelaburan dalam segmen ini adalah agak sederhana. Syarikat dalam kategori mid cap mempunyai kedudukan yang lebih stabil dari small cap. Pergerakan saham pula lebih kuat daripada saham Blue Chip. Secara ringkasnya, saham Mid Cap sesuai untuk dilabur ketika krisis ini atas sebab risiko dan ganjaran yang sederhana. Ianya dah cukup bagus dalam keadaan yang tak menentu ini.
Setiap saiz syarikat mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, tapi boleh kita simpulkan di sini mid cap bersifat sederhana, sesuai untuk yang baru nak bermula pelaburan, manakala mereka yang mempunyai pelan perdagangan (trading plan) dan pengalaman dalam saham, small cap boleh memberi pulangan yang lebih tinggi dengan risiko yang tinggi. Anda juga boleh memperoleh diskaun duti setem untuk pembelian saham dalam kategori small & mid cap.
Long Term Stability
Dalam keadaan pasaran yang tak menentu ini, apa-apa boleh jadi dalam jangka masa pendek. Oleh itu, strategi yang lebih sesuai sekarang adalah mensasarkan pelaburan untuk jangka masa yang lebih panjang.
Di sini, ada satu screener yang kita boleh lihat iaitu Long Term Stability (LTS). Dalam kriteria Long Term Stability, kita melihat pada syarikat yang dapat meraih pendapatan yang stabil dan juga mempunyai kenaikan harga yang stabil. Dalam erti kata lain, syarikat mencatatkan pulangan yang konsisten untuk jangka masa yang lama.
Sekiranya pendapatan syarikat adalah stabil, maka pelabur juga akan lebih yakin dengan syarikat seperti ini. Oleh itu, ia mengurangkan pendedahan syarikat terhadap sentimen yang tak sepatutnya mempengaruhi harga saham.
Pengurusan risiko pelaburan
Dalam mana-mana situasi pun, anda masih perlu berjaga-jaga dan peka dengan keadaan pasaran semasa. Seandainya berlaku penurunan harga atas sebab-sebab mikro atau makroekonomi, anda perlu membuat pilihan sama ada mengekalkan atau melepaskan pegangan syarikat.
Mungkin anda merasakan dalam waktu ini, campak duit ke mana-mana pun ia akan memberikan hasil lumayan. Sebenarnya masih tiada jaminan untuk itu. Saham adalah instrumen pelaburan yang berisiko tinggi. Anda masih terdedah kepada risiko kerugian. Oleh itu, anda perlu merancang pelan tindakan sekiranya hasil pelaburan tak seperti yang dijangka.
Anda juga perlu percaya bahawa sekiranya rezeki itu bukan sekarang, banyak lagi peluang yang ada di masa akan datang. Contohnya kalau harga saham jatuh, kita mungkin ada peluang untuk beli di harga yang lebih rendah. Oleh itu, jangan mengalah, dan terus membina pengalaman dan pengetahuan.