Pada artikel yang lalu bertajuk Melabur Saham Dengan Teknik CANSLIM, kami ada memaklumkan pembaca tentang pengasas teknik tersebut, iaitu William J. O'Neil. Namun tahukah anda, selain teknik CANSLIM, beliau juga adalah pencipta kepada corak dagangan yang popular, iaitu cup & handle atau di dalam Bahasa Melayu bermaksud cawan dan pemegang. Teknik dagangan menggunakan corak cup & handle ini juga terdapat di dalam buku penulisan beliau yang sama, iaitu How To Make Money in Stocks.
Maksud cup & handle
Cup atau cawan yang dimaksudkan di sini bukanlah cawan yang digunakan oleh kita untuk minum, tetapi ianya sejenis petunjuk teknikal yang membuat bentuk seakan-akan bentuk lengkungan mangkuk cawan. Cawan tersebut membuat bentuk “U” manakala pemegangnya (handle) sedikit menurun ke bawah sebelum membuat kenaikan untuk mencapai bentuk cawan yang sempurna.
Teknik ini digemari ramai kerana ia memberikan petanda bahawa kenaikan harga saham akan berlaku. Kebiasaannya, pembentukan corak cup & handle ini boleh berlaku dalam jangka masa 7 sehingga 65 minggu.
Bagaimana teknik ini berfungsi?
Cup haruslah menyerupai bentuk mangkuk atau bahagian bawah berbentuk bulat (rounding bottom). Pembentukan yang sempurna mestilah mempunyai ketinggian yang sama di kedua-dua sisi, namun kebiasaannya pembentukan pemegang yang sempurna jarang berlaku.
Untuk mengenal pasti corak cup & handle, pelabur perlu memastikan cup mempunyai bentuk "U", kerana bentuk ini menandakan tanda kenaikan yang kuat. Akan tetapi, cup yang terbaik hendaklah tidak terlalu dalam kerana handle akan terbentuk kurang separuh dari kedalaman cup itu. Pembentukan cup & handle ini juga bergantung kepada pergerakan volume, dimana volume bertindak sebagai penanda untuk pengesahan teknik ini.
Cup & handle ini berlaku apabila sesuatu saham itu telah mencapai kenaikan harga yang tinggi kemudian menghadapi tekanan penjualan akibat pengambilan keuntungan. Harganya akan jatuh dan seakan-akan cenderung ke fasa penurunan. Namun, penurunan itu akan membuat dasar untuk beberapa ketika sebelum membuat kenaikan. Teknik cup & handle ini boleh dikatakan corak kesinambungan kenaikan harga dan boleh dianggap sebagai peluang untuk pelabur.
Kajian kes cup & handle
Sebagai contoh, pembentukan cup untuk saham syarikat AWC Berhad (AWC) mengambil masa selama 6 bulan iaitu dari bulan Jun 2020 sehingga Januari 2021.
Handle perlu lebih kecil dan tidak jatuh ke bahagian bawah cup. Seperti rajah di bawah, jika cup terbentuk antara RM 0.350 dan RM 0.525, handle harus terbentuk tidak kurang separuh dari harga tertinggi corak ini.
Setelah pembentukan ini terjadi, volume akan memberi pengesahan untuk saham ini melakukan kenaikan.
Jika kita lihat rajah di atas, kaunter ini berjaya membuat kenaikan cemerlang selepas pembentukan handle selesai. Walaupun begitu, teknik ini hanyalah bersifat sementara. Oleh itu, adalah amat penting untuk pelabur mengambil keuntungan atau meletakkan stop loss jika bercadang untuk memegang saham ini pada jangka masa yang panjang.
Kekurangan teknik cup & handle
Seperti teknik dagangan yang lain, teknik cup & handle ini juga tidak boleh lari dari kekurangan. Antara kekurangan tersebut adalah:
- Pembentukan kebiasaannya memakan masa yang lama, oleh itu membuatkan keputusan pelabur untuk melakukan pelaburan menjadi lambat. Kadang-kala pembentukan juga boleh jadi dengan cepat, sejurus itu boleh membuatkan corak ini menjadi samar-samar.
- Pembentukan boleh menjadi penanda palsu dan tidak membuat kenaikan.
- Pembentukan cup boleh terjadi tanpa handle. Justeru, tiada retracement yang akan berlaku dan menyebabkan pelabur terlepas peluang.
Kesimpulan
Setiap teknik hanyalah bertindak sebagai pembantu kepada pelabur sebelum memulakan dagangan. Walaupun teknik cup & handle mempunyai sejarah kenaikan yang cemerlang, hakikatnya, pelabur masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melakukan dagangan. Pelan dagangan perlulah dibuat untuk mengurangkan risiko jika teknik yang digunakan tidak menjadi.