Dalam pelaburan saham, analisis dari segi fundamental adalah bertujuan untuk mendapatkan nilai sebenar atau nilai wajar sesuatu saham. Dengan nilai yang didapati ini, saham tersebut akan dinilai sama ada wajar dibeli ataupun tidak berdasarkan kedudukan harga berbanding nilai sebenar. Analisis ini dibuat dengan menggunakan instrumen-instrumen seperti kecekapan kewangan, nisbah kewangan, penyata imbangan syarikat dan juga penilaian kualitatif berdasarkan kecekapan pengurusan, model perniagaan, keadaan ekonomi semasa dan akan datang.
Kecekapan kewangan diukur dalam bentuk nisbah dan peratusan untuk mengukur kecekapan syarikat dalam menggunakan aset dan liabiliti untuk menjana pendapatan. Antara nisbah atau peratusan yang dikira adalah:
- Operating Margin - ukuran keuntungan selepas kos operasi
- Return on Asset - kecekapan aset untuk menjana pendapatan
- Inventory Turnover - kekerapan jualan inventori
- Return on Equity - kecekapan pelaburan syarikat pegangan untuk menjana pendapatan
- Current Ratio - ukuran kecairan aset untuk menanggung liabiliti
- Debt to Equity - perbandingan jumlah hutang syarikat dengan ekuiti
Ini hanyalah beberapa contoh nisbah yang dikira untuk analisis fundamental. Selain pengiraan nisbah kewangan, penganalisa fundamental juga akan mengambil kira keadaan ekonomi terhadap sesuatu syarikat itu. Sebagai contoh, perubahan kadar OPR akan memberi kesan kepada pasaran wang. Maka perubahan dasar ini akan mengubah penilaian dari segi fundamental terhadap syarikat berasaskan khidmat perbankan. Antara contoh lain yang boleh dilihat adalah perbentangan belanjawan negara apabila sesebuah sektor diberikan keutamaan.
Baca: Belanjawan 2020: Saham yang Anda Boleh Pantau
Data yang digunakan
Sebagai syarikat yang tersenarai awam, laporan kewangan syarikat haruslah dikeluarkan kepada awam. Dari laporan ini, pelabur boleh menganalisa kekuatan fundamental syarikat berdasarkan pendapatan, keuntungan, potensi masa hadapan dan pelbagai lagi data yang dikeluarkan untuk mendapatkan nilai sesebuah syarikat itu.
Baca: Bagaimana Membuat Saringan Pertama Kekuatan Fundamental Syarikat
Selain itu, berita juga boleh menjadi suatu sumber penilaian. Sekiranya berita tersebut boleh berikan impak positif kepada syarikat, di situ ada potensi untuk saham yang terlibat menaik lebih tinggi. Contohnya, berita tentang pemotongan bekalan minyak boleh jadi penyebab saham berkaitan minyak naik disebabkan harga minyak akan jadi lebih mahal. Maka berita juga adalah sahabat baik kepada pelabur fundamental.
Pendekatan kuantitatif dan kualitatif
Dalam analisis fundamental, suatu penilaian boleh dibuat melalui pendekatan kualitatif ataupun kuantitatif. Pendekatan kualitatif merujuk kepada perkara yang boleh dikira, contohnya untung rugi, nisbah kewangan, penyata imbangan, kecekapan penggunaan aset dan sebagainya. Pendekatan kualitatif pula merujuk kepada penilaian yang bersifat abstrak seperti model perniagaan, pentadbiran korporat, kelebihan persaingan dan pengurusan.
Memahiri Fundamental
Sekiranya anda ingin menjadi mahir dalam analisis fundamental, mungkin anda boleh contohi tokoh-tokoh pelabur fundamental seperti Warren Buffett, Joel Greenblatt, Benjamin Graham dan sebagainya. Untuk menjadi mahir dalam fundamental juga, anda perlu mempunyai penilaian yang bagus terhadap kegiatan perniagaan yang dijalankan. Oleh itu, pengetahuan industri yang lebih mendalam juga akan membantu untuk memberikan penilaian yang lebih kukuh. Pendeknya, analisis fundamental adalah suatu penilaian yang mendalam dan mungkin akan memberikan dapatan yang berbeza berdasarkan pemahaman seseorang itu pada keadaan ekonomi.