Terdapat banyak saham syarikat yang tersenarai di dalam Bursa Malaysia. Sudah pasti semua saham ini tidak akan bergerak pada masa yang sama. Ada saham yang melonjak naik, ada yang membuat kejatuhan dan ada juga yang tidak bergerak semasa hari dagangan.
Jika ada berita baik dalam sesuatu industri, akan ada saham yang awal membuat kenaikan. Tetapi ada juga saham dalam industri tersebut bergerak dengan lambat. Inilah yang boleh diklasifikasikan sebagai saham leader dan laggard, dimana leader adalah peneraju sesuatu sektor manakala laggard adalah follower.
Memahami maksud disebalik leader dan laggard
Leader
Leader atau dalam bahasa melayu ialah pemimpin. Saham leader inilah yang menerajui sesebuah industri. Kebiasaan saham leader mempunyai kewangan yang paling kukuh, pertumbuhan pendapatan suku tahunan dan tahunan terbaik serta pulangan ekuiti tertinggi, margin keuntungan terluas, pertumbuhan jualan paling kukuh. Jika ada sebarang catalyst tentang sesuatu sektor, harga saham leader yang akan bergerak paling awal mengikut sentimen tersebut.
Laggard
Laggard pula bermaksud sesuatu yang lambat atau ketinggalan. Kebiasaannya laggard ini mempunyai prestasi yang lebih rendah berbanding pesaingnya dalam industri. Saham laggard ini juga mempunyai pulangan yang lebih kecil daripada purata. Sebagai contoh, saham ABC merekodkan pulangan tahunan hanya 2% manakala syarikat lain dalam industri menunjukkan purata pulangan sebanyak 5%. Oleh itu, saham ABC boleh dikategorikan sebagai saham laggard,
Harga saham laggard ini akan memberikan respon yang lewat sedikit berbanding saham leader jika ada sebarang berita dalam sektornya. Leader dan laggard ini adalah bertentangan antara satu sama lain.
Mengenal pasti saham leader dan laggard
Bagaimanakah kita boleh membezakan antara leader dan laggard? Selain mengkaji fundamental syarikat, terutamanya pertumbuhan pendapatan dan kekuatan kewangan syarikat, pelabur boleh lihat daripada beberapa perkara seperti berikut:
Market capitalization
Market capitalization, juga dikenali sebagai permodalan pasaran adalah nilai pasaran saham syarikat. Kebiasan saham leader mempunyai saiz market cap yang berjumlah lebih besar dalam sesuatu sektor. Manakala, saham laggard pula mempunyai saiz market cap yang lebih kecil.
Gambar diatas merupakan syarikat berkaitan logam dan produk logam termasuk aluminium, silikon dan tembaga di Bursa Malaysia. PMETAL adalah satu contoh saham leader daripada industri ini dengan market cap sebanyak RM44.74 bilion. Diikuti dengan PMBTECH dengan RM28.3 bilion. Manakala contoh saham laggard pula adalah seperti PA, LIONIND dan lain-lain.
Kenaikan saham
Satu lagi kaedah untuk mengenal pasti saham leader atau laggard ini dengan melihat kepada pergerakan sahamnya. Saham-saham dalam sesuatu industri tidak akan bergerak sama antara satu sama lain.
Contoh dalam sektor logam, PMETAL sebagai saham leader, manakala PA sebagai saham laggard mengikut kepada jumlah market cap seperti dijelaskan diatas.
Harga saham PMETAL meningkat secara konsisten sejak 2016 hingga kini (tahun 2021) dan sudah berjaya membuat kenaikan melebihi 1000%. Manakala saham PA pula menunjukkan prestasi kurang baik sejak tahun 2016 sehingga 2019 dan mula membuat kenaikan pada awal tahun 2020.
Reaksi terhadap catalyst
Reaksi pergerakan saham leader dan laggard terhadap berita berkaitannya juga boleh dikaji. Kebiasaannya saham leader akan bergerak memberi respon awal jika ada berita berkaitan sektornya. Manakala saham laggard bergerak lewat sedikit berbanding leader.
Contoh, pada 10 Oktober 2021 kerajaan membenarkan untuk rentas negeri bermula 11 Oktober 2021. Antara sektor yang memberikan reaksi positif terhadap berita itu termasuk sektor pengangkutan dan perlancongan.
Carta saham AirAsia Bhd
AirAsia adalah antara saham leader dalam sektor perlancongan. Manakala, E&O adalah contoh saham laggard dalam industri ini. Saham AirAsia telah membuat kenaikan awal pada 23 September 2021 iaitu sebelum berita tersebut. Tetapi E&O bergerak sehari selepas berita itu diumumkan iaitu pada 11 Oktober 2021.
Kesimpulan
Mengenal pasti saham leader dan laggard adalah antara teknik yang mudah yang boleh digunakan untuk melabur di dalam pasaran saham. Selain menganalisa saham secara teknikal, pelabur juga perlu kaji fundamental syarikat seperti latar belakang, kewangan, jenis perniagaan dan lain-lain yang berkaitan.