ASAS

12-AUG-2021

Merancang Pelaburan dengan Rule of 72


AS    


Di dalam pelaburan, Rule of 72 merupakan satu kaedah mudah untuk membuat anggaran kasar berapa tahun yang diperlukan untuk sesuatu pelaburan menjadi sekali ganda berdasarkan kadar pulangan tahunan yang tetap.

Rule of 72 juga boleh digunakan untuk membuat anggaran kepada sesuatu yang boleh berkembang dengan eksponen (exponential growth) seperti kadar pertumbuhan negara (GDP), kadar populasi sesebuah negara ataupun sesuatu yang boleh menurun dengan eksponen (expontential decay) seperti kesan inflasi terhadap kuasa beli pengguna.

Formula pengiraan

rule-of-72-formula

Untuk mengetahui berapa tahun yang diperlukan untuk pelaburan tersebut menjadi sekali ganda, caranya adalah 72 dibahagikan dengan kadar pulangan tahunan sesuatu pelaburan.

Aplikasi Rule of 72 dalam kehidupan

Pelaburan

Contoh mudah, sekiranya kita mempunyai pelaburan bernilai RM 10,000 dan pulangan pelaburan adalah 6% setiap tahun, maka untuk jumlah tersebut menjadi sekali ganda, ia akan mengambil masa selama 12 tahun. (72/6 = 12).

Sebagai pembandingan, mari kita lihat gambar rajah di bawah:

rule-of-72-chart-years-to-double

Boleh dirumuskan bahawa semakin tinggi kadar pulangan tahunan, semakin cepat nilai pelaburan tersebut menjadi sekali ganda. Kita juga boleh lihat bahawa walaupun peratusan pulangan hanya berbeza 2% di antara satu sama lain, jurang tahun untuk pelaburan menjadi berganda adalah besar.

Contohnya, perbezaan kadar pelaburan menjadi sekali ganda antara 4% dan 6% adalah sebanyak 6 tahun. Namun begitu, semakin tinggi peratusan meningkat iaitu selepas 8% peratus dan keatas, jurang perbezaan tahun untuk pelaburan berganda semakin mengecil.

Adakah Rule of 72 tepat?

Rule of 72 tepat untuk kadar pulangan yang rendah iaitu antara 6% hingga 10%. Jika kadar pulangan semakin tinggi, ketepatan akan semakin menurun.

Jadual di bawah membandingkan data Rule of 72 dengan data sebenar untuk pelaburan menjadi sekali ganda:

Peratus Pulangan Rule of 72 (Tahun) Tahun Sebenar Perbezaan Tahun
2% 36.0 35.0 1.0
3% 24.0 23.45 0.6
5% 14.4 14.21 0.2
7% 10.3 10.24 0.0
9% 8.0 8.04 0.0
12% 6.0 6.12 0.1
25% 2.9 3.11 0.2
50% 1.4 1.71 0.3
72% 1.0 1.28 0.3
100% 0.7 1 0.3

Inflasi

Inflasi bermaksud suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Kadar inflasi pula ialah ukuran bagi kadar peningkatan harga dalam bentuk peratusan. Sebagai contoh, jika kadar inflasi sesebuah negara ialah 2%, bermaksud perbelanjaan purata individu atas barangan utama dan perkhidmatan telah meningkat pada kadar 2% sepanjang tempoh setahun.

Pada setiap bulan, Jabatan Perangkaan Malaysia akan mengeluarkan data terkini Indeks Harga Pengguna (IHP). Untuk Jun 2021, IHP meningkat 3.4% berbanding tempoh yang sama dari tahun sebelum ini.

Antara penyumbang utama kepada kenaikan inflasi keseluruhan negara adalah:

Pada April 2021, kadar inflasi di Malaysia dilaporkan melonjak kepada 4.7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan tertinggi sejak 2018.

cpi-malaysia-june
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia.

Apakah kepentingan data inflasi kepada pelabur?

Jika pelaburan kita boleh berkembang sekali ganda dalam tempoh tertentu, maka inflasi juga boleh berlaku sebegitu kerana sifat pelaburan dan inflasi hampir sama iaitu berkembang secara eksponen.

Sebagai contoh, kadar inflasi adalah 2%. Pada tahun ini, kita membeli beberapa barangan keperluan harian dengan harga RM 100. Namun setelah 36 tahun (72/2 = 36 tahun), dengan menggunakan modal yang sama, kita hanya mampu membeli separuh sahaja barangan keperluan asas berbanding dahulu. Oleh itu, nilai wang yang kita ada sekarang adalah berbeza pada masa akan datang.

Di dalam pelaburan pula, jika pelaburan kita boleh memberi pulangan 7% setiap tahun, maka untuk tahu nilai sebenar pelaburan kita pada waktu akan datang, peratusan pulangan hendaklah ditolak dengan kadar inflasi. Maka, jumlah nilai pulangan sebenar adalah (7%-2%) = 5%.

Di bawah menunjukkan kiraan dan graf nilai sebenar pulangan pelaburan jika pulangan tahunan pelaburan adalah 7% dan kadar inflasi adalah 2%.

impact-inflation-on-investment

Berdasarkan graf di atas, setelah kesan inflasi diambil kira, pulangan pelaburan yang akan diterima iaitu sebanyak RM 38 ribu pada masa akan datang adalah bernilai sebanyak RM 26 ribu pada masa sekarang.

Apa yang boleh dipelajari?

Mula sekarang

Rule of 72 memberi gambaran walaupun perbezaan sekecil 1% contohnya peratus pulangan tahunan di dalam pelaburan, ia memberi kesan besar untuk tempoh pelaburan tersebut menjadi berganda.

Selain itu, amat penting untuk kita membuat perancangan kewangan, menggariskan keperluan dan kehendak dan membuat pelaburan untuk menghadapi cabaran inflasi.

Jika ditanya, bilakah waktu sesuai untuk melabur? Jawapannya adalah sekarang. Terdapat banyak jenis pelaburan yang kita boleh sertai seperti membuat simpanan di KWSP, Tabung Haji, ASB, pelaburan emas ataupun membuat pelaburan di Bursa Malaysia.

Kita perlu memastikan pulangan pelaburan kita itu lebih tinggi dari kadar inflasi yang dijangkakan agar kita dapat menjalani kehidupan yang selesa terutamanya di waktu bersara kelak.

Menganalisa pelaburan

Untuk seseorang yang melabur di pasaran saham, ilmu pelaburan sangatlah penting untuk berjaya. Pelabur perlu mempunyai trading plan supaya sasaran keuntungan tercapai serta dapat meminimakan risiko kerugian.

Disebabkan tiada siapa yang akan memberi tahu berapa pulangan kita setiap tahun, pelabur seeloknya mengambil inisiatif untuk membuat jurnal pelaburan seperti berapa pulangan pelaburan setiap bulan supaya kita dapat mengetahui kedudukan pelaburan kita. Ini untuk mengelakkan wang yang kita labur menjadi lebur.

Rujukan

  1. Investopedia
  2. Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia
  3. Berita Harian

< kembali ke laman blog utama